Pelaksanaan pemberian air percuma di T'ganu

Nasional
Typography

PELAKSANAAN air percuma telah dilaksanakan dalam tiga bentuk:

Kerajaan BN Terengganu penggal lalu, telah merealisasi air percuma kepada rakyat yang menggunakan kurang daripada 21 m3 sahaja di penghujung kepimpinan Dato Seri Ahmad Razif dan hampir PRU14. Sesiapa yang menggunakan air lebih daripada 20 m3, dia mesti membayar sepenuhnya. Contohnya penggunaan 19 m3 adalah percuma, tetapi apabila digunakan 22 m3, anda mesti membayar sepenuhnya harga 22 m3 itu.

Cuba bayangkan, satu pasangan miskin yang mempunyai anak yang ramai, pasti tahap penggunaan airnya tinggi maka mereka terpaksa membayarnya penuh dengan sebab penggunaan melebihi daripada 20 m3. Bandingkan pula pasangan yang kaya hanya tinggal berdua atau memiliki keluarga kecil yang tahap penggunaan airnya sedikit, maka dia tidak perlu membayar dengan sebab penggunaan air kurang daripada 20 m3. Mekanisma ini jelas hanya memberi peluang golongan kaya seperti contoh di atas untuk mendapat kelebihan daripada tawaran ini, tidak kepada keluarga miskin yang besar. Adil atau tidak mekanisma ini?

Kerajaan Selangor yang kaya pula telah menawarkan 20 m3 air percuma pada seluruh rakyat sama ada kaya atau miskin. Mekanisma sangat baik dan sememangnya menjadi impian Kerajaan Negeri Terengganu untuk turut melaksanakannya. Akan tetapi persoalannya, adakah Kerajaan Terengganu mampu melaksanakan mekanisma ini dalam masa yang singkat ini. Sedangkan, negeri-negeri lain yang lebih kaya daripada Terengganu belum lagi mampu menawarkannya.

Kerajaan Terengganu yang baharu, sebelum ini telah menawarkan dalam Manifesto PRU14 kepada rakyat Terengganu untuk memberi 20 m3 air percuma kepada golongan miskin dan berpendapatan rendah sahaja. Tawaran yang ke-8 dalam manifesto ini jelas ditulis hanya kepada golongan miskin, berpendapatan rendah dan dibuat sebagai satu penyelesaian untuk meringankan beban kos sara hidup golongan sasaran ini.

Kerajaan Negeri Terengganu di bawah PAS juga sangat realistik, ada kajiannya yang terperinci dalam membuat manifesto dan tidak mahu memberikan satu janji yang sangat besar, dianggap melampau dalam berjanji yang akhirnya membebankan kewangan negeri, dan rakyat turut merasa tertipu. Oleh itu, Kerajaan Negeri Terengganu tidak memberi jaminan untuk memberikan air 20 m3 percuma kepada semua golongan, tetapi mensasarkan hanya golongan miskin di Terengganu sahaja.

Kerajaan Negeri Terengganu meletakkan asas dalam pembangunan ekonomi rakyat dan kebajikan hidup mereka berteraskan Islam. Ekonomi Islam meletakkan keutamaan dalam sumbangan kebajikan dan bantuan kepada golongan miskin dan berpendapatan rendah. Ekonomi Islam meletakkan asas kawalan agar jangan kekayaan itu berlegar antara golongan kaya dan mewah sahaja.

PAS dalam manifestonya juga tidak pernah berjanji untuk melaksanakan segera atau dalam tempoh 100 hari pemerintahannya misalnya atau waktu-waktu tertentu. Hanya PAS berjanji untuk dilaksanakan, ketika PAS memerintah iaitu dalam tempoh 5 tahun. Walaupun demikian, Kerajaan Terengganu agak cepat bertindak untuk melaksanakan segera tawaran ini dalam tempoh 30 hari supaya rakyat berpendapatan rendah dan miskin dapat mengecapi janji ini.

Pada peringkat permulaan, tawaran ini akan dikecapi oleh golongan miskin yang disenaraikan dalam e-Kasih sahaja dahulu. Sebagaimana yang Kerajaan Negeri Terengganu tekankan sebelum ini, apa-apa sistem tinggalan kerajaan terdahulu yang difikirkan baik, akan diguna pakai sebagai rujukan, sebelum sebarang perubahan dilakukan. Kerajaan Negeri Terengganu sedang merancang untuk mengkaji semula senarai e-Kasih. Di samping itu, Kerajaan Negeri Terengganu sedang membina mekanisma baru untuk mengenalpasti golongan miskin dan berpendapatan rendah yang tiada dalam senarai e-Kasih bagi sama-sama menikmati kemudahan ini.

Moga rakyat Terengganu bersabar untuk melihat kejayaan pelaksanaan tawaran ini agar dapat dirasai oleh golongan yang benar-benar layak untuk meringankan beban hidup keluarga. Kerajaan juga menyeru agar segala maklumat berkenaan perkara melibatkan dasar Kerajaan Negeri, rakyat mendapatkannya melalui saluran rasmi, dan bukannya khabar-khabar angin di alam maya yang mungkin dimanipulasikan oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab.

Terima kasih.

YB USTAZ MOHD NOR HAMZAH
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan,
Dakwah dan Penerangan Negeri Terengganu
12 Syawal 1439/26 Jun 2018 - HARAKAHDAILY 26/6/2018