Pelihara keutamaan Bahasa Kebangsaan

Nasional
Typography

KEDUDUKAN dan martabat Bahasa Malaysia sebagai Bahasa Kebangsaan mesti terus dipelihara dan diperkasa sebagai jati diri dan identiti utama negara ini. Malah, ia telah menjadi penyatu penting perpaduan dan keharmonian pelbagai bangsa serta kaum yang wujud di Malaysia sejak kedaulatan ini dibentuk.

Penggunaannya dalam semua urusan negara adalah selaras peruntukan di dalam Perlembagaan Malaysia; Perkara 152 (1) (a) jelas menyebut Bahasa Melayu perlu digunakan serta diutamakan dalam urusan rasmi Kerajaan. Bahkan selari dengan Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67 serta dalam semua pekeliling Kerajaan.

Oleh itu, seluruh warganegara, lebih-lebih lagi pihak Kerajaan, mestilah memastikan penggunaannya sebagai bahasa utama dalam pertuturan dan tulis rasmi serta awam. Maka wajib Menteri Kewangan menilai tindakannya mengguna Bahasa Mandarin sebagai salah satu medium utama Kementerian itu.

Tidak dinafikan bahasa lain bangsa Malaysia adalah penting dan PAS menyokong penuh penggunaan bahasa ibunda terutama dalam pendidikan. Tetapi mengesampingkan keutamaan Bahasa Kebangsaan dalam urusan rasmi adalah tindakan mencabar dan memperlekehkan tonggak negara ini sendiri.

Kami berpendapat tidak salah mengeluarkan terjemahan dalam pelbagai bahasa bagi memberi lebih kefahaman terhadap sesuatu perkara, terutama polisi Kementerian ataupun Kerajaan. Namun biarlah ia berdasarkan keperluan dan bukannya dijadikan keutamaan, di mana tentunya dalam hal ini Kerajaan sendiri wajib menjadi contoh.

Kami menyeru semua pihak agar menumpukan kepada pembangunan negara, memakmur dan mengharmonikan masyarakat. Pilihan raya telah tamat dan keputusan telah muktamad. Cukuplah 'politiking' tanpa mengira waktu, di mana sekarang adalah masa untuk berkerja.

Rakyat amat memerlukan perhatian dari segenap sudut dan mendambakan perubahan sebagaimana undi yang telah mereka terjemahkan pada PRU14 lalu. Hargailah sokongan rakyat dan tunaikanlah janji-janji telah diberikan tanpa alasan dan dalih lagi. Usah hanya “Menang sorak, kampung tergadai".

"Sejahtera Bersama Islam"
"Mara Menuju Cita"

YB USTAZ MUHAMMAD KHALIL ABDUL HADI
Ketua Pemuda
Dewan Pemuda PAS Malaysia - HARAKAHDAILY 26/6/2018