LGE orang Malaysia atau orang Cina?

Nasional
Typography

PERSOALAN ini amatlah wajar ditanya kepada Menteri Kewangan kerana pada hari pertama dia dilantik sebagai Menteri, Lim Guan Eng (LGE) pernah berkata:

"Saya minta maaf, saya tidak anggap diri saya sebagai seorang Cina. Saya orang Malaysia," 

Ini apa yang dilafaz olehnya pada 12 Mei 2018.

Semalam, LGE mempertahankan tindakan kenyataan rasmi Menteri Kewangan yang bertarikh 21 Jun 2018 berkenaan isu Tun Razak Exchange yang diterbitkan dalam Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dan Mandarin. Apa yang lebih malang, kenyataannya malam tadi diterbitkan dalam Bahasa Mandarin sahaja.

LGE menggunakan Perkara 152 Perlembagaan Malaysia bagi mempertahankan tindakannya.

Perkara 152 tersebut ialah:

"(1)     Bahasa Kebangsaan ialah Bahasa Melayu dan hendaklah dalam tulisan yang diperuntukkan melalui undang-undang oleh Parlimen:

"Dengan syarat bahawa:-

"(a)     tiada seorang pun boleh dilarang atau dihalang daripada menggunakan (selain bagi maksud rasmi), atau daripada mengajarkan atau belajar, apa-apa bahasa lain; dan

"(b)     tiada apa-apa jua dalam Fasal ini boleh menjejaskan hak Kerajaan Persekutuan atau hak mana-mana Kerajaan Negeri untuk memelihara dan meneruskan penggunaan dan pengajian bahasa mana-mana kaum lain di dalam Persekutuan."

Sememangnya tidak ada halangan pun untuk menggunakan atau mengajar bahasa selain Bahasa Melayu bagi urusan yang bukan rasmi.

Persoalan sekarang ialah LGE menggunakan Bahasa Mandarin dalam urusan rasmi kerajaan.

Adakah LGE terlupa bahawa dia kini sudah bergelar Menteri Kewangan Kerajaan Persekutuan? Dia bukan sekadar berjawatan Setiausaha Agung DAP. 

Sebagai Menteri, semestinya urusan rasmi perlu menjunjung martabat Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan.

Jikalau perkara asas sebegini pun LGE gagal fahami sebaiknya, dia masuk semula kelas Bahasa Melayu bersama Peguam Negara yang baru, Tommy Thomas yang juga tidak pandai ber-Bahasa Melayu.

Sejak 1 September 1967, Bahasa Kebangsaan hendaklah digunakan bagi maksud rasmi sebagaimana diperuntukkan di bawah Seksyen 2 Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67 [Akta 32]:

“Bahasa Kebangsaan hendaklah digunakan bagi maksud rasmi

“(2)      Kecuali sebagaimana yang diperuntukkan dalam Akta ini dan tertakluk kepada perlindungan-perlindungan yang terkandung dalam Perkara 152 (1) Perlembagaan berhubung dengan mana-mana bahasa lain dan bahasa mana-mana kaum lain di Malaysia Bahasa Kebangsaan hendaklah digunakan bagi maksud rasmi.”

Penggunaan Bahasa Kebangsaan bagi urusan rasmi oleh Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri diperuntukkan di dalam Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 9 Tahun 2011, “Panduan penggunaan Bahasa Kebangsaan dalam perkhidmatan awam”. 

Hal ini juga selaras dengan peruntukan di bawah Perkara 152 (6) Perlembagaaan Persekutuan yang dibaca seperti berikut:-

“152. (6) Dalam Perkara ini, “maksud rasmi” ertinya apa-apa maksud Kerajaan, sama ada Kerajaan Persekutuan atau Kerajaan Negeri, dan termasuklah apa-apa maksud sesuatu pihak berkuasa awam.”

Belum pun cukup 100 hari Kerajaan Pakatan Harapan (PH) memerintah, pelbagai perkara mahu diubah atas nama Malaysia Baru.

LGE usahlah bersandiwara kononnya mengaku sebagai rakyat Malaysia bukan orang Cina tetapi dia sendiri gagal menghormati kedudukan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan.

Bukankah bahasa itu jiwa bangsa? Atau sebenarnya LGE sedang melaksanakan agenda DAP secara halus bagi mengganggu-gugat kedudukan Bahasa Melayu?

Kemenangan PH pada PRU14 bukanlah lesen bagi mengubah semua perkara yang sudah sedia termaktub dalam Perlembagaan Negara ini.

Catatan oleh;
SYED AHMAD FADHLI 
Pegawai Pusat Penyelidikan PAS
25 Jun 2018 - HARAKAHDAILY 26/6/2018