Pertahan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan

Nasional
Typography

PARTI Islam Se-Malaysia (PAS) memandang serius tindakan Menteri Kewangan, YB. Lim Guan Eng, yang menerbitkan Kenyataan Rasmi Kerajaan menggunakan tiga bahasa iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dan Bahasa Cina. Ini suatu perkara yang tidak pernah berlaku atau dilakukan (unprecedented) dalam sejarah pentadbiran tanah air apabila seorang Menteri menerbitkan Kenyataan Rasmi Kerajaan menggunakan Bahasa Cina, walaupun sebagai terjemahan.

PAS juga melihat tindakan YB. Lim Guan Eng yang sekali lagi menerbitkan kenyataan media terbaru di Facebook beliau dengan menggunakan Bahasa Cina sahaja bagi mempertahankantindakan beliau sebelum ini sebagai bersikap angkuh da n sombong. Lebih malang lagi beliau dipercayai secara sengaja dan berhelah membuat suatu tafsiran salah dan ‘mengarut’ terhadap Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan apabila beliau berkata, “Atas semangat perlembagaan, apa salahnya mengeluarkan kenyataan media yang diterjemahkan ke dalam bahasa Cina dan bahasa lain?”

PAS tidak menafikan hak penggunaan Bahasa Cina atau lain-lain bahasa di negara ini, namun penggunaan bahasa selain Bahasa Melayu sebagai Bahasa Rasmi Kerajaan adalah satu kesilapan yang nyata. Sememangnya, penggunaan lain-lain bahasa dilindungi oleh Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan, namun peruntukan Perkara 152(1)(a) secara jelas menyatakan bahawa “Bahasa Melayu perlu digunakan dalam urusan rasmi kerajaan”.

YB. Lim Guan Eng perlu sedar sebagai seorang Menteri, beliau perlu mematuhi tatacara urusan rasmi kerajaan sepertimana yang termaktub dalam Perkara 152(6) Perlembagaan Persekutuan; “Dalam Perkara ini, “maksud rasmi” ertinya apa-apa maksud Kerajaan, sama ada Kerajaan Persekutuan atau Kerajaan Negeri, dan termasuklah apa-apa maksud sesuatu pihak berkuasa awam.”
Seksyen 2, Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67 [Akta 32] pula menyebut; “Bahasa kebangsaan hendaklah digunakan bagi maksud rasmi “(2) Kecuali sebagaimana yang diperuntukkan dalam Akta ini dan tertakluk kepada perlindungan-perlindungan yang terkandung dalam Perkara 152 (1) Perlembagaan berhubung dengan mana-mana bahasa lain dan bahasa mana-mana kaum lain di Malaysia bahasa kebangsaan hendaklah digunakan bagi maksud rasmi.”
Adalah menjadi makluman umum juga bahawa terdapat banyak pekeliling pentadbiran yang secara jelas menuntut agar Bahasa Melayu digunakan dengan baik dan diutamakan dalam semua urusan kerajaan.

Justeru, PAS dengan tegas memperingatkan YB. Lim Guan Eng agar tidak cuba “bermain api” yang akan membangkitkan kemarahan rakyat dengan sikap angkuh dan sombongnyamemper lekehkan martabat Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan atas nama semangat ‘Malaysia Baru’ kerajaan pimpinan Pakatan Harapan.

Lim Guan Eng tidak harus menjadi anai-anai yang memakan teras perpaduan dan persefahaman dalam negara ini yang sudah lama terbina melalui pelbagai cabaran dan peristiwa buruk oleh pemipin dan orang terdahulu untuk diwarisi dan dinikmati oleh kita sekarang.
Tegasnya tindakan YB. Lim Guan Eng ini atau yang seumpamanya jelas suatu bentuk hasutan, provokasi serta boleh mengundang rasa benci membenci di kalangan rakyat, keresahan dan syak wasangka yang pasti mengganggu-gugat perpaduan kaum di negara ini. Memetik kata-kata ahli falsafah dan salah seorang daripada pengasas negara Amerika, Thomas Paine, “the duty of a true patriot is to protect his country from its government”,
PAS tidak akan sekali-kali berkompromi dan bertolak ansur dalam isu yang dangkal begini walau dibangkitkan oleh siapa sahaja.

Dato’ Takiyuddin Hassan, JP.
Setiausaha Agung PAS - HARAKAHDAILY 26/6/2018