Ramai yang miskin lepas raya?

Nasional
Typography

BAHANG Lebaran 2018 masih lagi panas walaupun telah seminggu umat Islam merainya.

Rata-rata meraikan "dua raya" selepas kerajaan berubah wajah dari 60 tahun bawah rejim Umno-BN kini di bawah blok PH yang sedang mula menyusun langkah melaksana acuan pemerintahan mengikut agenda mereka. (Foto di atas sekadar hiasan.)

Apa pun rakyat secara umumnya sedang berada pada fasa "honey moon" selepas Pilihan Raya dan meraikan Hari Raya.

Pasaraya dan gedung jualan pada minggu akhir Ramadan cukup meriah, apatah lagi tatkala dilaksana GST 'zero rate' dan kuasa membeli rakyat kembali bertenaga.

Malah, selepas dua hari raya sekalipun pasar dan gedung di pinggir bandar tetap meriah tatkala orang bandar yang pulang ke desa masih terus berbelanja "sakan" kerana kantung masih penuh, apatah lagi GST zero rate.

Rakyat Malaysia yang berpendapatan sederhana dan rendah dikatakan membelanjakan antara RM3,000 hingga RM3,600 pada musim perayaan kali ini.

Laporan trend perbelanjaan raya ini dipaparkan dibeberapa media tempatan. Lebih menggerunkan ada dalam kalangan mereka ini sanggup berhutang untuk kelihatan "mewah" semasa beraya di kampung termasuk pinjaman peribadi dibuat dengan bank, ahlong dan sebagainya.

Natijahnyamereka terperangkap dengan beban hutang selepas raya. Bukan sahaja hutang dengan saudara mara, lebih berat ada yang sanggup berhutang dengan bank (pinjaman peribadi), dengan lintah darat (ahlong) dan sebagainya semata-mata mahu bergaya di hari raya.

Trend menunjuk-nunjuk kemewahan 'palsu' di hadapan saudara mara, kenalan di kampung menyebabkan golongan ini sanggup berdepan risiko menanggung beban hutang selepas raya.

Ada dalam kalangan mereka ini juga dikatakan sanggup menyewa kereta mewah seperti Alphard, Vellfire, Audi tidak kurang ada yang sanggup menyewa BMW, Mercedes demi menampakkan hidup mewah mereka kepada orang kampung.

"Seorang rakan saya ni dia kerja pegawai pemasaran sahaja, gaji kira-kira RM5,000 sebulan termasuk komisen yang diperolehi, namun pulang beraya dengan Vellfire, dan bila ditanya dia kata sewa seminggu untuk beraya sakan.

"Sewa antara RM8,000 seminggu dihabiskan dengan pinjaman peribadi Xpress pula tu, hanya semata-mata nak bergaya depan sanak saudara," kata Jasni Ahmad 44, seorang rakan penulis yang sama-sama beraya di Felda baru-baru ini.

Trend berhutang demi bergaya mewah semasa sambutan lebaran ini semakin menjadi-jadi saban tahun. Anak muda khasnya tidak segan silu untuk menjadi antara penyumbang "penghutang" tegar dalam kalangan masyarakat demi kehidupan bergaya.

Natijahnya ada yang terpaksa 'ikat perut' selepas raya dan berdepan tekanan untuk membayar semula hutang-hutang mereka, tidak kurang ia menyumbang kepada porak perandanya rumah tangga, tekanan hidup dan sebagainya yang menjadikan mereka termasuk golongan "stress" dengan hutang yang bertimbun.

Ada pun mereka ini sanggup "miskin" kerana hutang asalkan mereka nampak bergaya semasa beraya. Trend ini harus diperhatikan dan dihentikan dengan kesedaran melalui pendidikan pengurusan hutang dan hidup oleh agensi kerajaan dan badan tertentu agar kehidupan yang jauh lebih sihat dapat diamalkan dalam kalangan anak muda.

Jika tidak, golongan anak muda yang diharapkan menjadi penyumbang pembangunan negara bakal menjadi "golongan miskin bergaya" dan hidup sentiasa dalam tekanan kerana beban hutang yang panjang. - HARAKAHDAILY 26/6/2018