Awasi spesies ikan asing dalam alam sekitar

Nasional
Typography

SPESIES ikan asing diketahui telah memasuki kawasan perairan negara seperti di dalam tasik, sungai dan empangan. Namun kehadiran ikan-ikan yang jarang ditemui itu tidak pula diberi perhatian sewajarnya. Spesies ikan-ikan seperti piranha, ikan keli Afrika, pirarucu (arapama gigas), peacock bass dan tilapia, ditemui dengan banyaknya dalam kawasan perairan kita, malah sesetengahnya dibela dalam kolam untuk projek akuakultur.

Kebelakangan ini muncul berita mengenai penemuan dua ikan pemangsa asing baharu yang dikenali sebagai ‘earth eater’ dan ‘black ghost knife’. Situasi agak getir berikutan amaran yang dikeluarkan oleh pakar-pakar mengenai bencana ekologi daripada spesies seumpamanya. Ekosistem di seluruh dunia boleh berubah secara dramatik apabila spesies ikan berpindah ke merata tempat sama ada untuk tujuan komersial atau untuk dijadikan perniagaan hiasan dalam akuarium.

Manusia merupakan pakar dalam membantu spesies bergerak daripada habitat asalnya dan masuk ke perairan baharu. Habitat baharu itu mungkin sesuai dengan ikan penceroboh sehingga membawa kesan buruk kepada spesies tempatan. Ia mampu membiak dengan cepat dan dengan ketiadaan haiwan pemangsa, ia menghapuskan banyak spesies semula jadi yang hidup di dalam sungai kita.

Spesies hidupan air dipindahkan ke seluruh dunia ke kolam penternakan ikan, dan apabila ia terlepas, ia menyesuaikan diri dalam banyak kawasan hingga menyebabkan kerosakan kepada spesies dan habitat tempatan. Selain itu memancing untuk tujuan rekreasi juga boleh dipersalahkan bagi perebakan spesies yang menceroboh. Perdagangan spesies ikan asing untuk dipelihara dalam akuarium boleh menyebabkan pencerobohan kawasan perairan dengan terdapat peminat yang memelihara ikan eksotik, tumbuhan marin, haiwan invertebrat dan karang dalam akuarium. Apabila penggemar ikan mempunyai terlalu banyak ikan yang terkumpul, ataupun selepas mendapati ikan peliharaan terlalu besar dan sukar diurus, ia kemudian akan dilepaskan ke sungai atau tasik.

Melepaskan Nemo ke laut seolah-olah suatu tindakan yang wajar namun ia boleh menimbulkan ancaman besar kepada ekosistem tempatan. Ikan emas yang kelihatan tidak berbahaya sekalipun boleh mengganggu lingkaran makanan termpatan dengan memakan telur ikan atau binatang invertebrat yang kecil, menyebabkan pertumbuhan algae berlebihan dengan membuatkan akar tumbuhan tercabut serta melepaskan nutrien dan sebagainya.

Pemancing ikan, yang biasanya jahil tentang proses biologi, mengandaikan bahawa menambah lebih banyak ikan ke sungai, empangan atau tasik sedikit sebanyak mampu membantu alam. Beberapa spesies ikan air tawar yang digunakan untuk kegiatan memancing dilepaskan ke sungai, empangan dan tasik tanpa melakukan penilaian terlebih dahulu bagi kesannya terhadap alam sekitar atau pemantauan demi memberi keseronokan kepada kumpulan pemancing. Kegiatan begini begitu berleluasa sehingga ramai yang menyangka sebahagian daripada spesies yang menceroboh itu sebenarnya adalah spesies ikan tempatan.

Dalam satu persidangan PBB mengenai spesies asing di Norway pada 1996, pakar-pakar daripada 80 negara menyimpulkan bahawa “spesies asing yang menceroboh menjadi ancaman utama kepada pemuliharaan biodiversiti dan berkemungkinan merupakan ancaman terhebat selepas pemusnahan habitat.”

Menangani masalah spesies yang menceroboh sukar dilakukan kerana bilangannya terlalu banyak hingga tidak terkawal. Orang awam pula tidak tahu atau tidak peduli akan kehadiran spesies ikan penceroboh, selain ketiadaan langkah pencegahan yang berkesan.

Pengurusan spesies ikan asing perlu diberi perhatian segera dan Sahabat Alam Malaysia (SAM) menggesa agar Jabatan Perikanan:

• Menguatkuasakan undang-undang terhadap mereka yang didapati mengimport, menjual dan memelihara ikan pemangsa yang asing;
• Menghentikan pengenalan ikan spesies asing semata-mata untuk tujuan keseronokan; dan
• Mengharamkan kedai akuarium daripada pengimport spesies yang diharamkan, sementara kolam ternakan ikan dilarang daripada membiakkan spesies ikan, yang apabila terlepas, boleh membesar hingga menjadi saiz raksasa.

Penyertaan dan kesedaran orang awam adalah penting demi mencegah perebakan spesies penceroboh.

S.M. Mohamed Idris
Presiden Sahabat Alam Malaysia