61 tahun tidak faham lagi ke...

Nasional
Typography

BAHASA anugerah Allah untuk memudahkan berkomunikasi. Sudah 61 tahun merdeka, sudah tentu kita faham bumi yang dipijak dan langit yang dijunjung. Bahasa Melayu ialah bahasa rasmi kerajaan, kemudian diikuti oleh bahasa lain jika perlu. Tiba-tiba rakyat Malaysia dikejutkan dengan tindakan Menteri Kewangan Malaysia Baru mengeluarkan kenyataan media utama Kementerian Kewangan dalam bahasa Mandarin. Perkara yang tidak dijangkakan boleh berlaku di dalam kerajaan baru dan rakyat Malaysia setelah 61 tahun merdeka.

Bahasa Melayu yang digunakan selama ini tidak mendatangkan masalah. Malahan ramai dalam kalangan orang bukan Melayu menulis dan bertutur dengan baik. Kenapa pula Menteri Kewangan Lim Guan Eng cuba mencari pasal dan mewujudkan suasana yang tidak kondusif.

Sepatutnya ini bukan menjadi agenda keutamaan LGE dan kerajaan baru sehingga menimbulkan suasana yang tidak selesa. Apakah tindakan ini mendapat restu anggota kabinet? Apakah sengaja untuk mengalih isu ekonomi yang agak suram? Apakah sengaja supaya rakyat tidak membincang isu janji manis di dalam manifesto PH yang menjanji bintang dan bulan, seolah-olah menang akan dapat dilaksanakan terus pada esok hari? Tiba-tiba lain pula jadinya.

Apakah sikap pejuang bahasa yang menjadi penyokong tegar PH dalam isu ini?

USTAZ IDRIS AHMAD
Naib Presiden PAS
25 Jun 2018 – HARAKAHDAILY 25/6/2018