Ulamak Nusantara sebelum abad ke-15

Nasional
Typography

KEMASUKAN Islam ke Nusantara sehingga membawa kepada berdirinya daulah-daulah Islam adalah berhubung rapat dengan peranan dan gerakan para ulamak. Pergerakan ulamak di Nusantara sejak abad kesembilan hingga abad ke-15M adalah dakwah secara damai seperti yang telah dibahaskan sebelum ini. Setelah berjaya meng-Islamkan beberapa Raja Melayu, pengukuhan Islam dibuat dengan membina para pendakwah tempatan dan memupuk kehidupan beragama dalam masyarakat. Proses ini mengambil masa yang agak panjang, tetapi dapat membina kekuatan dalaman bagi orang Melayu. Tempoh 500 tahun untuk mengembangkan Islam telah memperlihatkan hasil apabila Kerajaan Melaka menutup tirai sejarahnya pada 1511M dengan menyaksikan kewujudan Kerajaan-kerajaan Islam di seluruh Nusantara dan kemasukan orang Melayu secara besar-besaran ke dalam Islam. Tinggal lagi proses ini dibantutkan oleh kejatuhan Granada di Eropah pada 1492M dan juga Melaka pada 1511M.

Para ulamak yang bergerak sejak tahun 800M boleh dilihat dalam beberapa peringkat. Yang pertama, generasi ulamak pendakwah dari luar yang bergerak di beberapa kawasan sebelum 1400M; kedua, abad ke-15M yang menyaksikan gerakan besar-besaran para ulamak dan munculnya Empayar Islam yang kuat; dan ketiga, peranan Majlis Dakwah Wali Songo di Jawa khususnya yang berjaya meruntuhkan pengaruh Hindu di pulau tersebut dan membangkitkan Kerajaan-kerajaan Islam kemudiannya. Di beberapa kawasan seperti Brunei, Mindanoa, Pattani, Sulawesi, Maluku dan Padang, menyaksikan kemunculan Kerajaan-kerajaan Islam mulai pertengahan abad ke-15M, sedangkan kawasan teras Sriwijaya yang dahulunya Buddha iaitu Palembang dan Jambi telah tunduk kepada Melaka, setelah Parameswara sebagai putera Palembang memeluk Islam pada 1414M. Gambaran ini adalah memperlihatkan kesan gerakan ulamak sebelum abad ke-15M dan mencapai kemuncak pada seratus tahun sebelum kedatangan penjajah.

Ulamak pendakwah generasi awal

Tidak banyak catatan mengenai ulamak-ulamak yang bergerak di Nusantara pada peringkat awal dakwah berlaku, selain kedatangan Sheikh Rukunuddin dari Makkah pada 628M dan juga kumpulan pendakwah yang diketuai oleh Nakhoda Khalifah pada dekad pertama 800M. Hikayat-hikayat dan kronik Melayu mencatatkan secara terpisah mengenai kehadiran mereka, seperti Hikayat Raja-raja Pasai, Silalatus Salatin (Sejarah Melayu), Hikayat Merong Mahawangsa dan seumpamanya. Di samping itu, sebahagian petunjuk adalah inskripsi pada batu-batu nisan yang banyak terdapat di Nusantara. Kedatangan Nakhoda Khalifah, iaitu utusan Kerajaan Syiah yang dipimpin oleh Abdullah bin Muawwiyah di Madian, Parsi pada awal 800M bersama Sheikh Ali bin Mohammad bin Jaafar as-Siddiq telah berjaya meng-Islamkan Perlak, sebelum Sheikh Ismail dan Faqir Muhammad diutuskan kemudiannya bagi mengembangkan Mazhab Sunni.

Pada abad ke-10 dan 11M, hampir tiada catatan mengenai tokoh-tokoh ulamak yang berperanan, melainkan tokoh-tokoh yang dibawa dari Parsi, Arab dan India untuk mengajar di Dayah Cot Kala (888M), dan beberapa dayah yang muncul pada abad ke-11 dan 12M. Ketika ini, para ulamak yang tertumpu di Aceh telah melahirkan tokoh pendakwah tempatan seperti Teungku Mohamad Amin (912M), Teungku Sirajuddin (1012M), Teungku Yaakob (1153M) dan Teungku Ampon Tuan yang merupakan kerabat diraja Perlak. Turut aktif ialah Sheikh Abdullah Kan'an (1196M) yang berasal dari Palestin, selain kedatangan Sheikh Abdullah Qumairi al-Yamani yang berjaya meng-Islamkan Raja Kedah pada 1136M dan Sheikh Abdullah Arif, penulis Bahr al-Lahut ke Pasai. Boleh dikatakan, hampir keseluruhan gerakan ulamak sebelum abad ke-14 adalah berpusat di Aceh.

Selepas kejatuhan Perlak, bangkit Kerajaan Samudera-Pasai yang menyaksikan gelombang baru gerakan ulamak pada abad ke-14. Dari satu sudut, terdapat ulamak asing yang aktif dalam Kerajaan Samudera-Pasai seperti Amir Dawlasa dari India, Syed as-Syirazi (Amer Qadhi) dari Syiraz, Parsi dan Sheikh Tajuddin al-Isfahani dari Isfahan, Parsi bersama beberapa fuqaha lain menurut catatan Ibnu Batutah bertarikh 1345-1346M. Serentak dengan itu, pendakwah Arab dari India, Syed Hussein Jamadil Kubra telah tiba di Samudera-Pasai bersama tiga adiknya, Syed Thanauddin (Sheikh Mohamad Saman Shah), Syed Qamaruddin dan Syed Majduddin. Turut menyertai beliau ialah Maulana Malik Ibrahim dari Parsi (ada dakwaan bahawa beliau anak Syed Hussin Jamadil Kubra) yang merupakan pengasas Wali Songo. Pada 1339M, Syed Hussein Jamadil Kubra dan Syed Thanauddin bergerak ke Kelantan, sebelum meng-Islam Che Bo Nga (Sultan Zainal Abidin), Raja Champa pada 1360M. Dalam sejarah Nusantara, ulamak asing terkenal yang terakhir ialah Sheikh Nuruddin ar-Raniri (berkhidmat di Aceh 1637-1644M) yang berasal dari Ranir, Gujerat.

Abad ke-15M: Kemuncak gerakan dakwah di Nusantara

Konflik dan pergolakan politik yang berlaku terhadap Kerajaan-kerajaan Islam di Barat Asia dan Utara Afrika telah memberikan kesedaran kepada para ulamak untuk memperhebatkan gerakan dakwah di Asia Tenggara. Tindakan Sultan Mohamad Tughluq mengirimkan Syed Hussien Jamadil Kubra dan saudara-saudaranya ke Pasai, kemudian ke Kelantan dan Champa adalah berkait rapat dengan kejatuhan Baghdad ke tangan Mongol pada 1258M. Mereka adalah anak kepada Syed Ahmad Shah Jalal Khan, Gabenor Deccan, India yang bergelar Amir al-Muazzam Shah. Begitu juga dengan pengutusan Syed Abdul Aziz ke Melaka dan Sulu dari Jeddah pada 1414M. Hal ini telah menyemarakkan proses dakwah terutama perkembangan dakwah di Kelantan, Pattani dan Champa; Melaka; Brunei, Sulu dan Maguindanao; serta Jawa. Peng-Islaman empat wilayah ini telah membawa perubahan pada abad ke-16 dan 17M, di mana berlaku peng-Islaman kawasan pulau-pulau Nusantara, Sulawesi, Kalimantan dan juga Selatan Sumatera yang merupakan kubu Buddha sebelumnya.

Sebelum kedatangan Sayyid Abdul Aziz di Mindanao, Tuan Maqbalu telah bergiat sejak sebelum 1310, kemudian baru didatangi oleh Tuan Masyaikh di Sulu, Tuan Syarif Aulia (Karimul Makhdum) dan Sayyid an-Nikab (Makhdum Aminullah) pada pertengahan abad ke-15M. Yang terawal tiba di Sulu ialah Sheikh Abu Bakar yang digelar Syarif Hashim pada 1405M, kemudian Syarif Maraja dan Syarif Hassan bersaudara pula berdakwah di Maguindanao, sebelum Syarif Kebungsuwan tiba pada 1515M. Di Kelantan, kejayaan Raja Bharubasha (Sultan Mahmud Syah) membangunkan kerajaan di Kota Jeddah telah mendorong Syed Hussein Jamadil Kubra berpindah ke sana dan mengembangkan dakwahnya di Kelantan, Pattani dan Champa. Anak-anaknya iaitu Sayyid Barakat Zainal Alam, Sayyid Ibrahim Asmara (Sunan Krisik) dan Syed Nurul Alam (Sultan Qanbul) adalah tokoh-tokoh dakwah yang penting abad ke-15, sebelum muncul generasi cucunya seperti Wan Bo Tri-tri, Maulana Rahmatullah (Sunan Ampel) dan Maulana Ishak.

Di sudut yang lain, beberapa ulamak juga patut dicatatkan sumbangan mereka pada abad ke-15M ini seperti Sheikh Shafiyiyuddin dan Sheikh Said di Pattani, Syarif Ali di Brunei, Sunan Gunung Jati dan Sunan Fatahillah di Demak, Sheikh Mansor di Tidore, Maulana Abu Bakar di Melaka, Makhdum Patakan Abdul Rahman ar-Rumi di Pasai dan lain-lain. Dalam konteks ini, sangat jelas bahawa Melaka yang menjadi pusat pengembangan Islam utama abad ke-15M, mempunyai ulamak yang paling ramai seperti Maulana Abu Bakar, Syed Yusof Abdul Aziz, Maulana Sadar Jahan, Maulana Jalaluddin, Qadhi Yusof, Qadhi Munawar dan Sheikh Ahmad Makhtum. Selain itu, tumpuan ulamak juga di Pulau Jawa dengan terbentuknya gerakan Wali Songo yang dipimpin oleh Maulana Malik Ibrahim yang diasaskan pada 1404M.

Majlis Wali Songo dan gerakannya

Antara sumbangan terbesar Syed Hussin Jamadil Kubra ialah melahirkan generasi ulamak penggerak Majlis Dakwah Wali Songo sejak 1404. Beliau sendiri berpindah dari Champa ke Jawa, kemudian ke Makassar pada 1452M dan wafat di sana setahun kemudian. Majlis Dakwah Wali Songo dikatakan ditubuhkan oleh Kerajaan Othamiyah, dengan mengarahkan ulamak berketurunan Sayyid Azmatkhan Ba'lawi untuk menyebarkan Islam di Pulau Jawa. Majlis sembilan ulamak ini membahagikan wilayah mereka kepada tiga daerah iaitu Jawa Timur, Jawa Tengah dan Jawa Barat. Mereka menubuhkan pondok pesantren untuk menyebarkan ilmu, di samping pelbagai gerakan dakwah lain, termasuk kejayaan Sunang Gunung Jati mengasaskan Kesultanan Demak pada 1475M. Pada peringkat awal Wali Songo dianggotai oleh Maulana Malik Ibrahim (Parsi), Maulana Ishak (Bukhara), Syed Hussein Jamadil Kubra (India), Maulana Mohamad al-Maghribi (Moroko), Maulana Malik Israel (Turki), Maulana Mohamad Ali Akhbar (Parsi), Maulana Hassanuddin (Palestin), Maulana Alauddin (Palestin) dan Sheikh Subakir (Parsi).

Pada 1421M, Raden Rahmat (Sunan Ampel) menyertai Wali Songo menggantikan Maulana Malik Ibrahim, manakala pada 1436M, Syed Jaafar Sadiq dan Syarif Hidayatullah (Sunan Gunung Jati) telah masing-masing menggantikan Maulana Malik Israel dan Maulana Mohamad Ali Akhbar. Raden Paku (Sunan Giri), Raden Said (Sunan Kalijaga) dan Raden Makhdum Ibrahim (Sunan Bonang) menyertai Wali Songo pada 1463M dengan masing-masing menggantikan Maulana Ishak, Sheikh Subakir dan Maulana Hassanuddin. Raden Fatah dan Fatahillah Khan pula menyertainya pada 1466M bagi menggantikan Syed Hussein Jamadil Kubra dan Maulana Maghribi. Raden Umar Said (Sunan Muria) menyertainya pada hujung abad ke-15. Disebutkan bahawa Sheikh Siti Jenar juha pernah menyertai Wali Songo, tetapi digantikan oleh Sunan Buyut kerana isu wehdatul wujud. Kejayaan dakwah menjadi sebutan seluruh Nusantara dan terkenal hingga kini.

MOHD FADLI GHANI
Pusat Penyelidikan PAS
10 Syawal 1439 / 24 Jun 2018 - HARAKAHDAILY 24/6/2018