Cadangan PAS rungkai kebuntuan politik

Nasional
Typography

KERAJAAN Perpaduan yang PAS cadangkan di Kedah adalah sebagai jalan keluar kepada kebuntuan kerajaan 18 kerusi Pakatan Harapan (PH) yang bakal berdepan pelbagai masalah dan kemungkinan selama 5 tahun, bukan kerana PAS kebulur mahu menempatkan diri dalam politik kuasa seperti dakwaan Mahfuz Omar.

Pandangan Mahfuz bahawa Kerajaan Perpaduan hanyalah alat bagi PAS adalah benar, namun alat ini sebetulnya akan membawa faedah untuk kerajaan, rakyat dan negeri. PAS tidak kehilangan apa-apa jika Mahfuz menolak cadangan itu, nothing to lose!

PAS tidak meminta Kerajaan Perpaduan di Perak, Perlis, Selangor, Johor, Pahang dan Pulau Pinang walaupun PAS ada kerusi di sana kerana di negeri-negeri itu, kerajaan sedia ada tidak menemui jalan buntu untuk memerintah. PAS sedia menjadi pembangkang yang efisyen. Demikian juga di Kelantan dan Terengganu, tiada kebuntuan politik seperti di Kedah.

Harus Mahfuz sedari, perbincangan tentang pelantikan Speaker dibuat atas jemputan YAB MB Kedah yang perlukan sokongan pembangkang, bukan PAS yang terhegeh-hegeh mahu berunding mahukan jawatan Speaker. PH turut mengadakan perbincangan dengan Adun-adun BN meminta sokongan. Terpulanglah kepada PAS dan BN mahu memberi atau tidak apa yang mereka minta, seperti mana mereka tidak menerima cadangan PAS.

PAS sejak awal sedia berbincang untuk Kerajaan Perpaduan dan pelantikan Speaker adalah permulaan yang baik. Sejak awal lagi, PAS telah memutuskan untuk menghantar calon Speaker dan Timbalan Speaker untuk dilantik melalui undian dalam sidang Dun yang pertama bulan Julai nanti. PAS bersiap untuk bertanding dalam Sidang Dewan bagi pelantikan Speaker, dan siap menerima apa sahaja keputusan pengundian nanti.

PAS tidak akan hilang apa-apa jika PH memperolehi undi majoriti dalam pelantikan Speaker. Tapi kekalutan akan melanda Kerajaan PH, jika PAS menang. PH sebetulnya gelabah dengan membuat andaian bahawa PAS akan menggulingkan kerajaan dengan kelebihan undi yang ada pada Speaker Dewan.

PAS juga diandaikan akan menolak belanjawan kerajaan dengan undi Speaker dan kerajaan akan rebah apabila bajet ditolak. Dengan andaian itu, PH mengatakan Pilihan Raya Negeri tidak dapat dielak.

Jika prinsip asas demokrasi mengizinkan sesuatu tindakan politik diambil oleh parti-parti politik, tidak boleh salahkan PAS kononnya mabuk kuasa kerana bertindak berlandaskan prinsip itu. Seingat saya Mahfuz adalah pendukung setia demokrasi melebihi segalanya. Dia meninggalkan PAS dan melanggar baiah sendiri pun berlandaskan prinsip demokrasi. Jangan cuba salahkan PAS dengan berbagai tuduhan jika hasrat PH tidak dicapai. Inikan proses demokrasi.

Saya sudah ingatkan MB Kedah bahawa kebelakangan ini PAS tidak pernah menolak bajet seperti mereka lakukan di Dewan Rakyat beberapa kali. Dalam bajet tahunan, terdapat peruntukan tertentu yang menjadi hak rakyat yang tidak boleh diganggu. Paling kuat PAS pernah lakukan adalah berkecuali dalam pengundian bajet. Mahfuz dan PH patut memeriksa rekod ini.

Jika PRN adalah penyelesaian yang mereka fikir lebih baik daripada Kerajaan Perpaduan, PAS Kedah bersedia menghadapinya tanpa gentar.

MUHAMMAD SANUSI MD NOR
Sik Kedah.
Respon sepintas lalu kepada Dato' Mahfuz Omar - HARAKAHDAILY 24/6/2018