Bangkit melawan fitnah

Nasional
Typography

WALAUPUN PRU14 sudah selesai, tetapi api fitnah terus dibakar kepada PAS. Mereka tidak puas hati walaupun sudah menang di peringkat Kerajaan Pusat. Namun masih tidak puas hati, hajat hendak melenyapkan terus daripada persada politik tanah air tidak tercapai. Strategi tidak menjadi. Mereka menggunakan portal-portal yang memang diketahui umum sebagai portal yang cukup anti PAS. Tajuk-tajuk di dalam portal ini akan ditular walaupun tajuknya berbeza dengan kandungan berita supaya wujud persepsi buruk.

Mereka menyamar dalam akaun palsu dan meletakkan profile palsu supaya susah untuk dikenali. Kadang-kadang tulisan mereka bukan sahaja memaki PAS, malahan menghina Islam. Kita tidak ketahui, sama ada mereka ini Islam atau tidak.

Apabila PAS menjawab tuduhan fitnah. Maka mulalah mereka berhujah, PAS parti jumud, tidak boleh dikritik, parti suci, rasis, pelampau agama, walaun, pemimpin PAS maksum dan bermacam-macam gelaran. Oleh itu, kita jangan peduli cacian mereka. Teruskan menjawab.

Ahli PAS perlu bangkit melawan dengan hujah dan membetulkan dengan fakta. Jangan berundur terus melawan. Pembaca cerdik akan boleh menilai hujah kita dengan hujah mereka. Jika kita diam dan tidak menjawab fitnah mereka, kita bimbang fitnah ini akan melekat di fikiran pembaca.

Yang pandai buat poster, silakan buat. Yang pandai menulis, silakan menulis. Yang bijak bahasa Inggeris, yang bijak bahasa Mandarin, Tamil, Arab teruskan menulis. Yang bijak buat video sila lakukan.

Pemerhatian saya pemfitnah ini ulang tuduhan yang sama sahaja. Walaupun kita jawab, mereka teruskan fitnah. Oleh itu kita juga perlu terus jawab dan serang mereka dengan fakta. Walaupun berulang kali. Ahli PAS seramai 1 juta, mustahil tidak ada 100,000 untuk bertugas menjadi benteng pertahanan PAS di media sosial. Saya yakin kita mampu, walaupun kita tidak ada wang tetapi kita ada semangat untuk berlawan.

Kalau boleh yang bertugas memfitnah PAS biar jelas profile FB mereka supaya senang kita taaruf sesama sendiri. Jangan main pukul curi, sembunyi diri dan guna akaun palsu. PAS bersedia untuk dikritik, pemimpin PAS bukan maksum. Kami tidak rela difitnah.

Nasihat saya kepada pembela PAS dan juga diri saya supaya jangan fitnah walaupun pada musuh kita. Biar mereka fitnah PAS. Hujah pemfitnah tidak kuat. Bila kita jawab dengan fakta pemfitnah akan terkedu dan tidak berani muncul. Pemfitnah walaupun nampak kuat, mereka tidak bermaya. Mereka yang menegak kebenaran walaupun nampak lemah tetapi mereka akan menang, insya Allah.

USTAZ IDRIS AHMAD
Naib Presiden PAS
23 Jun 2018 – HARAKAHDAILY 23/6/2018