Geoeskatologi (27): Barat

Nasional
Typography

ZON Barat mengikut kefahaman nas merupakan segala tanah yang berada di sebelah Barat tempat turunnya wahyu dari awal hingga akhir. Dikira secara longitud tanpa mengambil kira latitud. Mengikut lakaran peta, segala kawasan yang berada dikiri tempat turun wahyu adalah Barat. Kawasan turun wahyu pula kebanyakannya sama ada Makkah dan Madinah.

Justeru Mesir dan Syam adalah berada pada kategori Barat walaupun dunia politik mengenalinya sebagai sebahagian rantau Timur (Timur Tengah). Perkara ini boleh disahkan melalui sebuah Hadis yang selari dengan sebuah lagi Hadis menceritakan mengenai pejuang Baitulmaqdis (rujuk bab Baitulmaqdis). Sabda Rasulullah S.A.W:

لَا يَزَالُ أَهْلُ الْغَرْبِ ظَاهِرِينَ عَلَى الْحَقِّ حَتَّى تَقُومَ السَّاعَةُ

"Akan sentiasa ada penduduk Barat yang akan tegas dengan kebenaran sehingga berlaku kiamat."

[HR Muslim]

Perbezaan ini disebabkan oleh penentuan Pusat bumi yang berbeza antara Barat dan Islam. Barat menjadikan Greenwich sebagai Meridian pangkal manakala Islam mengiktiraf Makkah sebagai Pusat bumi.

Jika dibuat perbandingan, dari sudut keluasan tanah (area spread) bumi, memang fakta akan menunjukkan Kaabah berada betul-betul di titik tengah bukan sahaja Timur dan Barat, juga Utara dan Selatan. Jika dikaji dari sudut sosiologi pula, Kaabah merupakan titik tengah yang menyaksikan sejarah peradaban dunia berlegar dan bertukar di sekelilingnya. Bermula daripada Tamadun Mesopotamia yang dikatakan menjadi tamadun awal manusia sehinggalah kepada hari ini, Makkah menjadi titik yang penting dalam membahaskan perkara yang berkait dengan Sains Sosial seperti politik, ekonomi dan kemasyarakatan global.

Namun pada tahun 1884, British yang ketika itu menjadi kuasa dunia pada Era Kolonialisme mengisytiharkan bahawa Pusat bumi ataupun dikenali sebagai Meridian pangkal (prime meridian) adalah di Greenwich, London. Dengan pengisytiharan tersebut, segala perkara yang berkait dengan geografi seperti koordinat, navigasi, waktu, penentuan hari dan lain-lain adalah mengikut Meridian pangkal tersebut. Implikasinya turut melibatkan ibadat Muslim yang berkaitan dengan hari, seperti Solat Jumaat.

Antara Hadis yang khusus mengenai Barat adalah mengenai lokasi Pulau Dajjal. Sahabat bernama Tamim ad-Dari sebelum memeluk Islam telah mengembara ke arah Barat, sebelum dipukul ribut menyebabkan beliau bersama anak kapal yang lain terdampar di sebuah pulau. Di sana, beliau bertemu dengan seekor binatang bernama Jassasah sebelum bertemu Dajjal dan berdialog tentang kemunculannya di akhir zaman. (Rujuk bab Tasik Tiberias).

Ada pendapat yang merujuk kedudukan Dajjal di  Segitiga Bermuda. Ia terletak di perairan Tenggara Benua Amerika Utara. Banyak kejadian aneh berlaku di sana seperti misteri kehilangan kapal dan pesawat. Walau bagaimanapun, tiada siapa boleh menerangkan fenomena ini secara saintifik ataupun mengaitkan watak Dajjal dengannya.

Sebelum berlaku kiamat, dunia bakal menyaksikan perubahan peredaran alam cakerawala. Matahari yang biasanya terbit dari arah Timur akan bertukar kepada arah Barat. Sabda Rasulullah S.A.W:

لَا تَقُومُ السَّاعَةُ حَتَّى تَطْلُعَ الشَّمْسُ مِنْ مَغْرِبِهَا، فَإِذَا رَآهَا النَّاسُ آمَنَ مَنْ عَلَيْهَا ، فَذَاكَ حِينَ: لَا يَنْفَعُ نَفْسًا إِيمَانُهَا لَمْ تَكُنْ آمَنَتْ مِنْ قَبْلُ

"Tidak akan berlaku kiamat sehinggalah matahari terbit dari arah Barat. Apabila manusia melihatnya, mereka terus beriman. Maka ketika itu, tidak berguna lagi iman mereka yang tidak beriman sebelumnya."

[HR Bukhari]

Ia merupakan tanda besar berlakunya kiamat. Setelah peristiwa itu berlaku, tertutuplah pintu taubat. Mereka yang baru hendak beriman dan memeluk Islam sudah tidak ada gunanya lagi. Kiamat akan berlaku tidak berapa lama selepas itu. Sesungguhnya kiamat hanyalah satu hukuman dan pembuktian bagi mereka yang sebelum ini tidak percaya dengannya. Orang yang beriman walaupun sebesar zarah akan dimatikan sebelum itu. Sabda Rasulullah S.A.W:

يَخْرُجُ الدجالُ في أُمَّتِي ، فيمكثُ أربعينَ ، فيبعثُ اللهُ تعالى عيسى ابنَ مريمَ كأنه عُرْوَةُ بنُ مسعودٍ الثقفيُّ ، فيَطْلُبُه ، فيُهْلِكُه ، ثم يمكثُ الناسُ سبعَ سِنِينَ ، ليس بين اثنينِ عداوةٌ ، ثم يُرْسِلُ اللهُ رِيحًا باردةً من قِبَلِ الشامِ ، فلا يَبْقَى على وجهِ الأرضِ أحدٌ في قلبِه مِثْقالُ ذَرَّةٍ من إيمانِ إلا قَبَضَتْهُ ، حتى لو أنَّ أحدَكم دخل في كَبِدِ جَبَلٍ لَدَخَلَتْ عليه ، حتى تَقْبِضَه ، فيَبْقَى شِرَارُ الناسِ ، في خِفَّةِ الطيرِ ، وأحلامِ السِّباعِ ، لا يَعْرِفُونَ معروفًا ، ولا يُنْكِرونَ مُنْكَرًا،

"Dajjal keluar di kalangan umatku. Dia tinggal selama 40 hari. Lalu diutuskan Isa bin Maryam dalam rupa Urwah bin Mas`ud at-Thaqafi. Nabi Isa memburu Dajjal lalu menghapuskannya. Kemudian manusia hidup selama 7 tahun. Dalam tempoh tersebut, tidak berlaku sebarang permusuhan sesama manusia. Kemudian Allah menghantar angin yang lembut dari arah Syam. Maka semua yang memiliki iman walau sebesar zarah akan diambil nyawanya, sehingga mereka yang berada di dalam perut bukit pun akan dimasuki oleh angin tersebut dan mengambil nyawa mereka. Maka yang tinggal hanyalah sejahat-jahat manusia, melampias nafsu ibarat burung berterbangan, ganas dan kejam ibarat binatang liar, tidak mengenal kebaikan, dan tidak mencegah keburukan."

[HR Muslim]

Wallahualam.

(Petikan dari buku Hadis Geo-Eskatologi; Lokasi dan Kronologi akhir zaman yang bakal diterbitkan.)

(ALANG IBN SHUKRIMUN)
27 Ramadan 1439
12 Jun 2018 - HARAKAHDAILY 13/6/2018