Memelihara hak Melayu Islam demi kestabilan sosiopolitik 

Nasional
Typography

MASYARAKAT dan politik merupakan dua unsur penting yang mempengaruhi kestabilan sesebuah negara. Walaupun Malaysia dikenali sebagai negara yang berbilang kaum, namun jangan sama sekali memandang remeh terhadap hak istimewa Melayu Bumiputera yang mendominasi komposisi kaum dalam negara ini.

Ingatan Nabi

Nabi telah mengajar kita bagaimana memelihara kestabilan sosiopolitik dalam negara. Sabdanya:

الأئمة من قريش

"Pemimpin-pemimpin mestilah dalam kalangan Quraisy"

(HR al-Hakim)

Jika dibaca Hadis ini secara literal, sudah pasti muncul persoalan adakah Islam mengajar konsep fanatik perkauman? Sehingga Nabi meletakkan syarat pemimpin mestilah dipilih dari kaum Quraisy. Tidak, hadis ini tidak cukup difahami secara literal.

Kaum yang dominan

Tokoh Ilmu Sosiologi dan Politik Islam, Ibnu Khaldun mengulas Hadis di atas dalam konteks kenegaraan yang lebih luas. Nabi memetik nama Quraisy memandangkan kaum tersebut mendominasi masyarakat Arab ketika itu.

Dalam erti kata lain, kestabilan sesebuah negara bergantung kepada kaum yang dominan. Hak mereka tidak boleh diganggu dan diperkecilkan. Hak istimewa dan kedudukan posisi-posisi penting mestilah diserahkan kepada kaum yang dominan. Mereka kunci kestabilan negara.

Bukan fanatik, tetapi hak

Dalam konteks Malaysia, bangsa Melayu Bumiputera merupakan kaum yang dominan. Bahkan secara politik pun, kita perlu menyedari bahawa Melayu Bumiputera merupakan pemegang undi teras Malaysia.

Ditambah lagi dengan agama yang mengidentitikan Melayu, iaitu Islam melengkapkan karakteristik corak sosiologi di Malaysia. Itu realiti yang perlu diperakui oleh semua.

Hentikan tindakan provokatif

Ekoran dari penukaran tampuk kekuasaan selepas PRU14 yang lepas, kita mengharapkan Kerajaan Persekutuan hari ini agar lebih cermat dalam bertindak. Terutamanya yang melibatkan hak Melayu Bumiputera. Begitu juga posisi-posisi penting dalam hierarki Pentadbiran Negara, mestilah diserahkan kepada Melayu Islam.

Mesej ini bukan berunsurkan fanatik perkauman. Sebaliknya bertujuan menyedarkan politikus yang sedang berkuasa agar cermat memelihara kestabilan sosiopolitk Malaysia dengan tidak mengganggu kedudukan Melayu Islam.

Polemik cubaan melantik Peguam Negara yang bukan dalam kalangan Melayu Islam, isu cubaan merungkai hak istimewa Bumiputera dalam sektor pendidikan dan penerapan konsep Malaysian Malaysia hanya menatijahkan ketidakstabilan sosiopolitik dalam negara kita.

Hati-hati.

ABDUL MU'IZZ MUHAMMAD
3 Jun 2018 - HARAKAHDAILY 3/6/2018