PAS lega pemimpin bermasalah sertai PAN

Nasional
Typography

PAS Tumpat melahirkan rasa lega apabila bekas pemimpin PAS di peringkat cawangan yang bermasalah sejak sekian lama kini bersama Parti Amanah Negara (PAN).

Yang Dipertua PAS Tumpat Ustaz Datuk Bentara Kanan Ahmad Yakob berkata pemimpin yang mengumumkan keluar PAS seorang bermasalah sejak lama dahulu.

“Ini dapat menyelamatkan PAS daripada orang seperti itu,” katanya pada reaksi spontan pada perjumpaan dengan tenaga penceramah PAS di JKR 10 Kota Bharu malam tadi.

Hadir sama Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Datuk Dr Johari Mat, Pengarah Pilihan Raya Zulkifli Mamat dan Setiausaha Jabatan Pilihan Raya PAS Negeri Dr Wan Nik Wan Yussof.

Baru-baru ini bekas Ketua Cawangan PAS Kampung Laut, Nordin Adam mengumumkan keluar PAS pada ceramah anjuran PAN di kampung tersebut 9 Mac lepas.

Beliau juga mengumum membubarkan PAS cawangan berkenaan pada majlis ceramah tersebut. Sedangkan cawangan itu masih lagi wujud dengan didokong lebih 100 lagi ahli.

Pengarah Pilihan Raya PAS Dun Pasir Pekan Jamaluddin Ishak berkata, Cawangan PAS Kampung Laut mempunyai seramai 164 ahli yang berdaftar.

Katanya, Setiausaha Cawangan itu iaitu Adun Kelaboran Mohd Zaki Ibrahim.

“Tindakan Nordin mengumum membubarkan cawangan itu bukan bidang kuasanya kerana cawangan itu masih wujud sehingga sekarang,” katanya.

Penghulu Mukim Kampung Laut Ghazali Harun berkata, hanya Nordin dan keluarga dan beberapa lagi ahli yang menyertai PAN.

Menurutnya sehingga sekarang masih terdapat lebih 100 lagi ahli di cawangan berkenaan. – HARAKAHDAILY 14/3/2017