Sumpah sokong Umno baru dapat hamper?

Nasional
Typography

PILIHAN raya umum kali ini bukan lagi menghidang laluan mudah bagi Umno mempertahankan tiga Dun dan parlimen Jeli memandangkan berlaku perpecahan dalaman parti itu.

Sehingga sekarang difahamkan kira-kira 500 bekas ahli dan penyokong Umno berhijrah menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

PPBM Jeli sekarang diketuai bekas anggota jawatankuasa Umno Jeli, Dr Aminuddin Yaacub. PPBM Jeli juga disertai bekas Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan dan aktivis Parti Amanah Negara (PAN).

Berikutan keadaan yang semakin mendesak sekarang menyebabkan Umno Jeli melancarkan program Jalinan Rakyat dengan membawa hamper ke rumah penduduk.

Program itu difahamkan digerak wanita Umno Jeli, membawa barangan keperluan harian yang diagih dari rumah ke rumah di Dun Bukit Bunga.

Bagaimanapun penduduk bukan mendapat percuma hamper sebaliknya dikatakan perlu bersumpah menyokong Umno pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14.

Seorang penduduk memberitahu petugas Umno membawa barangan keperluan harian termasuk beras, gula, biskut dan sebagainya.

“Ada penduduk dipaksa bersumpah mengundi BN pada PRU 14 kalau mahu hamper tersebut. Hanya selepas sumpah barulah barangan keperluan harian itu diberi,” dakwa penduduk terbabit.

RamziMYPenyelia Dun Bukit Bunga, Ramzi Mohd Yusof berkata, ramai penduduk di sini memberitahu mereka didatangi rombongan Umno yang membawa hamper.     

Katanya, gerakan Umno itu dikesan berlaku di taman perumahan JPN di Batu Gajah.

“Taktik tersebut hanya mengulangi apa yang pernah dilakukan pada PRU lepas di mana anak perantau yang pulang mengundi diminta mengambil gambar pangkah BN pada kertas undi baru diberi habuan.

“Masa mengundi mereka diminta merakamkan gambar dengan handphone. Kemudian gambar itu ditunjukkan kepada petugas Umno untuk mendapatkan habuan,” dakwa beliau. – HARAKAHDAILY 14/3/2017