Tafakkur dan Tafaqquh Juz 9

Nasional
Typography

TAFAKKUR pada hari ini sekitar ayat yang membincangkan perihal hati manusia yang sentiasa berbolak-balik. Allah S.W.T memberi perumpamaan golongan yang tidak mendidik hati sehingga keras membatu adalah sama seperti binatang ternak bahkan lebih sesat lagi, Firman-Nya yang berbunyi:

وَلَقَدْ ذَرَأْنَا لِجَهَنَّمَ كَثِيرًا مِنَ الْجِنِّ وَالْإِنْسِ ۖ لَهُمْ قُلُوبٌ لَا يَفْقَهُونَ بِهَا وَلَهُمْ أَعْيُنٌ لَا يُبْصِرُونَ بِهَا وَلَهُمْ آذَانٌ لَا يَسْمَعُونَ بِهَا ۚ أُولَٰئِكَ كَالْأَنْعَامِ بَلْ هُمْ أَضَلُّ ۚ أُولَٰئِكَ هُمُ الْغَافِلُونَ

"Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk neraka Jahanam banyak daripada kalangan jin dan manusia yang mempunyai hati tetapi tidak mahu memahami dengannya (ayat-ayat Allah), dan yang mempunyai mata tetapi tidak mahu melihat dengannya (bukti ke-Esaan Allah) dan yang mempunyai telinga tetapi tidak mahu mendengar dengannya (ajaran dan nasihat). Mereka itu seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi. Mereka itulah orang-orang yang lalai."

[al-A'raf: 179]

Pada hakikatnya, semua perkara dikuasai oleh hati manusia, baiknya hati, maka baiklah seluruh anggota begitulah juga sebaliknya. Apabila kita melihat, yang melihat itu bukannya mata. Mata hanya sebagai alat sahaja dan yang sebenarnya melihat adalah hati. Jika hati baik, maka yang dilihat adalah hal-hal yang baik. Hati yang baik tidak sanggup untuk melihat kejahatan dan kemungkaran.

Begitulah juga apabila seseorang itu berfikir, maka bukan otaknya yang berfikir akan tetapi hatinya yang berfikir dan memahami sesuatu. Inilah yang dimaksudkan oleh Firman Allah di atas, bahawa adanya hati yang faqih dan hati yang tidak faqih. Otak pada hakikatnya hanyalah alat bagi hati untuk menerima perintah daripada hati. Akal sebenarnya boleh merosakkan anggota apabila hati manusia tadi rosak.

Mengikut Pakar Sains, manusia mempunyai dua jenis minda iaitu akal atau minda sedar dan hati yang dipanggil minda segar atau minda bawah sedar. Hati sebenarnya berpotensi sebanyak 88 hingga 90 peratus untuk menguasai seluruh keupayaan tubuh badan manusia. Oleh kerana itulah, Islam sangat mementingkan penjagaan hati agar tidak dicemari dengan sifat Mazmumah yang boleh merosakkan seluruh anggota.

Sempena kedatangan Ramadan, kita mestilah berusaha mendidik hati agar sentiasa tunduk dan patuh terhadap tuntutan Allah walaupun bercanggah dengan emosi dan kecanggihan zaman. Sesungguhnya rahsia kemuliaan yang Allah S.W.T kurniakan kepada manusia berbanding dengan haiwan ialah kefaqihan hati.

USTAZ DATO' BENTARA KANAN MENTERI BESAR KELANTAN
09 Ramadan 1439H - HARAKAHDAILY 25/5/2018