Isu berkaitan perundangan perairan T'ganuĀ 

Nasional
Typography

SAYA tertarik dengan satu surat terbuka kepada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) yang didakwa mewakili warga APMM yang disiar dalam satu portal yang mendedahkan senarai apa yang didakwa sebagai salah laku dalam perolehan aset APMM.

Oleh kerana ia tidak dapat dikenalpastikan siapa penulisnya, benarkah dari kalangan warga APMM? dan sejauh mana kebenaran maklumat yang ditulis misalnya harga perolehan kapal atau bot berkenaan, kaedah pemilihan pembina, pembaiki atau selenggara aset APMM, ia masih tidak lebih dari satu 'surat layang' yang tidak boleh dipertanggungjawabkan.

Walau bagaimanapun, selaku ahli Parlimen, saya baru sahaja beberapa hari yang lalu berkunjung hormat ke Pangkalan APMM Kuala Terengganu bertemu Pengarah Daerah Maritim Terengganu Kapten (Maritim) Abdul Rahim Ramli dan pegawai-pegawainya.

Tujuan saya untuk mengucap tahniah atas kejayaan APMM menahan 2 kapal nelayan Vietnam beserta 13 anak kapal yang menceroboh perairan Terengganu. Selain dari itu atas hasrat saya untuk menjalin hubungan kerja yang rapat dengan semua agensi kerajaan seperti APMM.

Ini kerana soal Keselamatan dan Penguatkuasaan Perairan Terengganu adalah bukan perkara kecil dan jangan sesekali dipandang tidak begitu penting, tidak apa apa dibuat ala kadar. Ia berkait kesejahteraan rakyat dan kesejahteraan negara.

Mengapa saya menegaskan demikian?

Pertama, pada hari ini harga ikan dan sotong di Terengganu antara yang paling mahal. Puncanya kurang hasil tangkapan nelayan yang mendarat di Terengganu. Walhal perairan Terengganu sangat kaya dengan jenis ikan yang bernilai tinggi.

Masalah berkait pencerobohan kapal nelayan asing khususnya Vietnam dengan segala kelengkapan pukat dari jenis yang diharamkan di Malaysia. Kaedah penangkapan yang merosakkan batu karang, tukun-tukun yang menjadi habitat ikan, menghapuskan anak-anak ikan yang belum matang, merosakkan segala bubu yang dipasang oleh nelayan tempatan.

Ia berlaku hampir setiap hari dan sentiasa dilihat oleh nelayan tempatan dan pekerja-pekerja di pelantar minyak. Saya dimaklumkan oleh nelayan tempatan yang kapal peronda 'kerajaan' amat jarang kelihatan walaupun setiap hari ada saja pencerobohan kapal nelayan Vietnam.

Rabu yang lalu dalam kunjungan saya ke Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, ACP Idris Rafar, beliau memaklumkan isu nelayan Vietnam bukan setakat isu di perairan. Pada hari ini nelayan Vietnam sudah naik ke darat tanpa dokumen kemasukan yang sah, masuk ke dalam masyarakat kita.

Isu pencerobohan nelayan Vietnam menyebabkan ikan banyak dikaut oleh mereka yang punya sistem pukat jenis 'kaut semua'. Kerana itu hasil tangkapan nelayan tempatan merosot teruk. Itu menyumbang kenaikan harga ikan yang beri kesan kepada rakyat Terengganu.

Isu kedua adalah keselamatan aktiviti cari gali dan pengeluaran petroleum di perairan Terengganu. Malaysia memperoleh pendapatan dalam jumlah besar dari hasil petroleum. Wang petroleum yang menjana pertumbuhan dan pembangunan pelbagai projek mega yang sebahagian besarnya dibelanjakan di sebelah pantai Barat khususnya Lembah Klang.

Bagaimana kita menjaga keselamatan 'kilang duit' negara kita?

Perairan Terengganu dan Kelantan menempatkan lebih 180 buah pelantar minyak dan gas. Dari jumlah itu sebanyak 153 pelantar minyak berada di perairan Terengganu. 60 peratus dari jumlah berkenaan jarak terdekat ke Kuala Terengganu yang menempatkan Pangkalan APMM dan Pelabuhan Kuala Terengganu yang kini menjadi Hub Logistik Kapal Sokongan Industri Petroleum yang semakin diminati.

Kawasan sekitar pelantar minyak menjadi habitat ikan yang paling kaya dengan ikan berkualiti tinggi. Maka kerana itu kapal nelayan asing seperti Vietnam yang menceroboh sentiasa berlegar hampir ke kawasan pelantar minyak.

Ancaman keselamatan boleh wujud terhadap pelantar dan warga kerja dari pencerobohan anasir asing seperti nelayan Vietnam, lanun, anasir subversif militan mahupun jika berlaku konflik antara negara yang melibatkan Malaysia.

Umumnya saya melihat secara kasar 'first impression' bahawa aset APMM berada dalam keadaan yang menyedihkan dan tidak siap siaga untuk mereka melaksanakan fungsi dengan sepatutnya.

Saya dapat rasakan kekecewaan warga APMM di sana yang nampak punya semangat dan disiplin yang baik tapi terhalang oleh aset yang tidak cukup, tidak sesuai, aset yang terbengkalai rosak tidak diperbaiki malah peruntukan belanjawan yang kurang hingga senggaraan pangkalan tidak dapat dibuat secara sepatutnya, seluruh bangunan berpanas kerana tidak ada wang untuk baiki sistem penyaman udara bangunan.

Saya dulu pernah menjadi ahli Majlis Industri Pertahanan Malaysia antara tahun 1999 hingga tahun 2004 ketika APMM mula ditubuhkan. Kapal-kapal peronda APMM banyak yang sudah terlalu berusia dibina sejak tahun 1960-an, dibeli Kerajaan Malaysia secara second hand untuk TLDM. Sebahagian sudah masuk muzium dan masih banyak kini diserapkan ke APMM.

Kapal-kapal peronda yang lain pula diserah dari Polis Marin, Jabatan Laut, Kastam. Banyak yang tidak sesuai dengan bentuk operasi APMM yang lebih besar keluasan dan jarak operasinya.

Adalah menjadi harapan rakyat agar apa-apa yang tidak kena dengan dasar dan pelaksanaan Kerajaan Barisan Nasional yang lalu dapat diperbaiki dan dijadikan lebih baik oleh Kerajaan Persekutuan yang baru di bawah Pakatan Harapan.

Sebagai ahli Parlimen dari PAS, saya akan memberi kerjasama terbaik kepada Kerajaan Persekutuan dalam menjayakan segala agenda yang memberi manfaat kepada rakyat dan negara.

Sejahtera Bersama Islam 

HAJI AHMAD AMZAD HASHIM
Ahli Parlimen Kuala Terengganu  
25 Mei 2018 - HARAKAHDAILY 25/5/2018