Menentang 355 kerana benci pada Islam

Nasional
Typography

DUNIA merujuk kepada al-Quran dalam menggubal undang-undang setelah gagal menangani banyak masalah manusia, malangnya di Malaysia terdapat yang menentang usaha mengangkat perundangan Islam.

Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menyifatkan golongan tersebut sebagai tidak rasional, berfikiran tidak matang, melampau, fobia dan benci terhadap Islam di mana sepatutnya mereka mengkaji mengenai perkara itu.
 
"Kaji semua yang pentingnya. (Malangnya mereka ambil) sikap buta tuli nak lawan Islam semata-mata. Sebut Islam nak lawan, ini dah kacau, ini dah tak betul, fikir cara tak betul. Semata-mata fobia, Islamophobia, ini sebenarnya sehingga sikap benci terhadap Islam sampai begitu sekali," bidasnya pada Majlis Makan Malam dan Dialog Politik di Setiawangsa, baru-baru ini.

Terdahulu beliau mengemukakan tindakan Persidangan Dunia di Belanda dalam menggubal undang-undang antarabangsa, berkaitan kawalan peperangan, tindakan melampau dan penggunaan senjata pemusnah.

Jelasnya, dari rujukan al-Quran telah terhasil Piagam Geneva di mana walaupun Barat dan negara kuasa besar dunia tidak menghormatinya, tetapi orang Islam tetap wajib menghormati.

Tuan Guru turut mengemukakan kisah operasi Panglima Tentera Islam, Khalid Ibnul Walid ke atas Bani Juzaimah dengan membunuh tawanan dan memusnahkan harta sebagai tindakan yang salah.

Lalu jelasnya, Rasulullah telah mengarahkan penilaian dilakukan terhadap mangsa dan harta dengan dibayar Diyat (ganti rugi) atas kezaliman dan kemusnahan itu termasuk bekas minum anjing.

"Diganti juga, besar kecil diganti. Kerana mengikut ajaran Islam kalau tak ganti berdosa. Ini hukum Islam dalam undang-undang perang, undang-undang antarabangsa. Di mana orang Barat mengambil, tapi mereka tak amal, itu cerita lain.

"Dalam masalah suaka politik, bila ada negeri yang dizalimi rakyatnya, rakyat dia melarikan diri ke negeri lain, tuhan sebut dalam Quran (at-Taubah: 6), ‘Jika sekiranya seorang Musyrikin (bukan Islam dizalimi di negara dia datang ke negeri orang Islam) minta perlindungan, hendaklah diberi perlindungan.’

"Ini perintah Quran, beri perlindungan, dan ajak dia kepada Islam. Dia tak mahu masuk Islam, tak boleh paksa dia masuk Islam, letak di tempat yang aman, tak boleh hantar balik ke negeri dia.

"Tempat aman sama ada duduk dalam negeri kita, beri pasport, beri penempatan sementara, ataupun hantar negeri lain ketiga yang tak kacau dia, (tetapi) tak boleh hantar balik," terang beliau.

Tambah beliau lagi, Akta 355 bukanlah hukum Hudud dan Qisas yang mana kedua hukum itu bidang kuasa negeri dan masih terhalang untuk dilaksanakan.

Tetapi katanya, RUU Pindaan Akta 355 adalah untuk membolehkan negeri melaksanakan sebahagian hukum Islam iaitu Takzir diperkenalkan antaranya hukuman sebat dalam Islam yang berbeza dari sebat undang-undang sivil hari ini.

Terang Tuan Guru, berbanding sebatan sivil yang menyiksa, sebatan dalam Islam hanya untuk mendidik di mana prosedur pelaksanaannya jauh berbeza dari sivil.

"Di mana alatnya tak boleh besar, tak boleh kecil, tak boleh angkat tinggi lebih daripada kepala, dipukul di tengah khalayak untuk dimalukan dia, bukan disakitkan dia.

"Kesannya, bakal nak buat jenayah tak jadi, teringat, kehebatan masuk dalam hati dia, psikologi. Yang menerima hukuman pula berasa malu, segan," perincinya.

Beliau turut menjelaskan bahawa kes rasuah tidak termasuk dalam Hudud kerana dalam perlakuannya si pemberi dan penerima saling setuju terhadap kerja haram itu.

Maka Islam jelasnya, tidak mengehadkan hukuman di mana ia termasuk di dalam Takzir iaitu mengikut budi bicara badan kehakiman dan pihak pemerintah daripada hukuman paling ringan hingga paling berat.

"Takzir boleh sampai peringkat hukuman mati, tapi bukan hukuman mandatori. Oleh sebab itu hukuman pengedar dadah mandatori mati itu salah mengikut Islam. Sepatutnya yang bincang 355 ini bincang pasal ini, bukan mandatori, sebatan dulu, malukan dulu.

"Setelah caranya tak berjaya, tak ada jalan, barulah hukuman mati. Tak ada mandatori. Mengapa tak dibincang pasal ini? Sepatutnya banyak tentang Islam ini kalau kita kena tahu. Malangnya 355 dipertikaikan hanya nak menaikkan taraf Mahkamah Syariah.

"Ini sudah melampau, sudah tidak rasional berfikir. Sepatutnya kita melihat undang-undang Islam dalam masalah hukuman mati, masih lagi hukuman tali gantung, tali gantung ini hukuman tahun berapa? Hukuman sebelum masihi tali gantung.

"Sedangkan Nabi kita sebut, "Bila kamu jatuhkan hukuman bunuh, bunuh dengan cara yang terbaik (tidak menyeksa)". Ini terpulang kepada kajian saintifik, mana dia hukuman yang tidak menyeksa.

"Itu dikaji, ini patut dikaji, bagaimana cari hukuman mati yang tidak menyakitkan. Mereka jatuhkan hukuman, ini, ini patut dikaji, ini masih lagi pakai tali gantung, mengapa tak bincang pasal ini?" persoalnya.

Tuan Guru turut mengutarakan mengenai pengampunan di mana misalnya dalam kes jenayah hari ini diampun oleh Lembaga Pengampun, sedangkan dalam pengampun adalah mangsa jenayah itu sendiri.

Ataupun katanya, jika hukuman mati, terserah kepada keluarga wali dia terdekat yang berhak untuk mengampun penjenayah atau ditukar dengan bayaran ganti rugi. – HARAKAHDAILY 13/3/2017