Perkongsian Dari Parlimen: Jenayah penderaan kanak-kanak

Nasional
Typography

TUAN Haji Nasrudin bin Hassan [Temerloh] minta Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menyatakan kejadian jenayah seperti penderaan kanak-kanak yang berlaku di taska dan pusat jagaan kanak-kanak di negara ini dan tindakan-tindakan yang dibuat dalam menanganinya.

JAWAPAN.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat [Datuk Hajah Azizah binti Datuk Seri Panglima Mohd. Dun]:

Bismillahir Rahmanir Rahim, Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan selamat menyambut Hari Wanita kepada semua wanita yang ada di dalam Dewan ini dan juga di luar Dewan ini.

Tuan Yang di-Pertua saya mahu izin untuk menjawab soalan yang diberikan oleh Yang Berhormat Gerik pada 8 Mac 2017, Yang Berhormat Temerloh pada 20 Mac 2017 dan Yang Berhormat Wangsa Maju pada 30 Mac 2017 bersekali kerana pertanyaan-pertanyaan tersebut saling berkait.

Tuan Yang di-Pertua, Kementerian Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat melalui Kebajikan Masyarakat Malaysia dipertanggungjawabkan menguatkuasakan Akta Taman Asuhan Kanak-kanak 1984, Akta Pusat jagaan 1993, Peraturan-peraturan Taman Asuhan Kanak-kanak 2012 dan Peraturan-peraturan Pusat Jagaan 1994.

Prosedur operasi standard ataupun SOP yang digunakan KPWKM untuk memastikan keselamatan kanak-kanak yang ditempatkan di pusat jagaan kanak- kanak dalam keadaan yang selamat adalah berdasarkan kepada Peraturan Taman Asuhan Kanak-kanak 2012 dan Peraturan-peraturan Pusat Jagaan 1994.

Setiap pengusaha taska dan pengendali pusat jagaan hendaklah mematuhi keperluan dan kehendak yang dinyatakan dalam peraturan yang telah pun ditetapkan.

Bagi memastikan tahap penyampaian perkhidmatan pusat jagaan, termasuk pusat jagaan kanak-kanak yang dikendalikan oleh pihak swasta berada di tahap keselamatan yang tinggi, kementerian menjalankan pemantauan ke pusat jagaan berkaitan. Di antara bentuk pemantau yang dijalankan ialah:

(i)  menjalankan aktiviti pengesanan ke pusat jagaan dan taska tidak berdaftar sepanjang masa dan memberi peringatan supaya berdaftar dengan JKM;

(ii)  menjalankan pemeriksaan berkala dan mengejut ke premis pusat jagaan dan taska oleh pegawai yang diberikan kuasa;

(iii)  mengambil tindakan seperti dalam peruntukkan Akta Pusat Jagaan 1993 dan Akta Taman Asuhan Kanak-kanak 1984, seperti arahan bertulis, tutup sementara, batal pendaftaran, lak, kompaun dan menjalankan pendakwaan di mahkamah.

Dari Januari hingga Disember 2016 JKM telah mengeluarkan arahan bertulis kepada 42 buah taska dan 16 buah pusat jagaan. 19 buah taska dan tiga buah pusat jagaan diambil tindakan lak. 14 buah taska dan empat buah pusat jagaan dikenakan tindakan kompaun.

Tiga buah taska dikenakan tutup sementara, 53 buah tiga dan 18 pusat jagaan dibatalkan pendaftaran dan 10 buah taska dan sembilan buah pusat jagaan telah didakwa.

Tuan Yang di-Pertua, kementerian sentiasa proaktif memastikan kanak-kanak di taska dan pusat jagaan diberikan perlindungan sewajarnya. Langkah-langkah dan tindakan yang berbentuk advokasi, pemantauan, kawalan dan punitif sememangnya diberikan keutamaan.

Antara tindakan yang diambil oleh pihak kementerian dalam usaha menangani kes jenayah di taska dan pusat jagaan adalah seperti berikut:-

(i)  menjalankan pemeriksaan berkala dan mengejut ke atas taska dan pusat jagaan oleh pegawai yang diberikan kuasa;

(ii)  mengenakan tindakan penguatkuasaan ke atas pengusaha taska dan pengendali pusat jagaan yang melanggar Akta Taska serta peraturan yang berkaitan;

(iii)  membuat pindaan Akta Kanak-kanak 2001 dengan mengenakan hukuman yang lebih tinggi kepada pesalah;

(iv)  mewujudkan Task Force Ramping Up The ECCE Industry yang berperanan untuk menangani isu-isu di taska termasuklah isu keselamatan dan penderaan kanak-kanak;

(v)  menjalankan audit pematuhan taska ke atas 600 buah taska berdaftar di seluruh Malaysia bagi memastikan taska menyediakan perkhidmatan pengasuhan dan pendidikan yang berkualiti serta mematuhi akta dan peraturan yang ditetapkan;

(vi)  mengadakan program advokasi seperti Program Jom Daftar untuk menggalakkan pengusaha taska dan pengendali pusat jagaan mendaftarkan operasi mereka dengan JKM;

(vii)  bekerjasama dengan pihak media dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam membantu meningkatkan kesedaran awam tentang isu-isu keselamatan dan perlindungan kanak-kanak.

Nasrudin Hassan
Ahli Parlimen Temerloh - HARAKAHDAILY 13/3/2017