PAS alu-alukan pembebasan DSAI

Nasional
Typography

PAS mengalu-alukan pembebasan Datuk Seri Anwar Ibrahim pada hari ini. PAS menentang tindakan dan pertuduhan ke atas beliau tanpa melalui perbicaraan yang adil di Mahkamah Syariah.

Pembebasan beliau sudah tentu memberi ruang luas untuk turut terlibat di dalam politik negara, di saat berlakunya perubahan parti yang menerajui negara.

Sejajar dengan prinsip Rule of Law atau Kedaulatan Undang-undang, PAS juga memohon RCI ditubuhkan terhadap skandal 1MDB meskipun ada pendakwaan pada waktu-waktu terdekat pada mereka yang terlibat.

PAS juga mencadang agar kerajaan membuka semula siasatan terhadap kematian Teoh Beng Hock dan Paderi Pastor Koh yang kehilangan sehingga kini agar kebenaran dapat diketahui.

Bagi kes Memali, PAS menggesa RCI juga dapat ditubuhkan agar kebenaran dapat ditentukan tanpa sebarang prejudis. Siasatan telus juga perlu diberikan kepada isu pembelian kapal selam Scorpene dan penjualan Ibu Pejabat Felda.

Kerajaan juga harus bertindak mengikut cadangan RCI Skandal Forex atau membicarakan skandal itu semula agar diketahui segala hujung pangkalnya.

Penilaian secara adil perlu dilakukan untuk setiap kes tanpa mengira siapa terlibat. Prinsip Rule of Law mesti dijunjung sentiasa. Pendakwaan tidak boleh dilakukan sewenang-wenangnya, dan pengguguran satu-satu dakwaan terhadap mana-mana individu tidak boleh dilakukan mengikut pangkat dan kuasa seseorang. Jika tidak, ia tidak membawa perbezaan daripada Sistem Kerajaan BN dahulu.

Semua ini perlu dilakukan agar semua kes yang lama dapat ditutup rapi dan tidak lagi mengganggu perjalanan negara ke masa depan yang lebih mencabar demi Malaysia yang lebih sejahtera. Salam sejahtera dan selamat berpuasa.

TUAN IBRAHIM TUAN MAN 
Timbalan Presiden PAS
17 Mei 2018 - HARAKAHDAILY 17/5/2018