26
Fri, Apr
8 Artikel Baru

PAS diakui rakyat, sinonim dengan Islam

Nasional
Typography

PRU14 telah berakhir. Terkejut, gembira, duka semua perasaan dikongsi rakyat Malaysia yang cakna politik. Kekalahan yang memalukan Umno dan sekutunya di dalam BN, telah dihidu awal dengan palitan demi palitan salah laku dan juga tekanan ke atas hidup rakyat, dimainkan dengan baik oleh pembangkang, walaupun PH terkadang melampaui norma-norma kempen yang betul.

Sentuhan isu GST, 1MDB, kemewahan melampau pemimpin, ugutan oleh ahli politik terhadap rakyat marhaen, membuakkan kebencian yang mendekam di sanubari mereka, dan terjadilah apa yang telah Allah tentukan.

Saya tinggalkan kegembiraan pihak yang menang itu dengan saya menumpukan kepada PAS, kerana ia lebih realistik bagi saya untuk mengupasnya. Tidak dinafikan, tawa dalam duka ketika ini menyelubungi perasaan ahli dan penyokong PAS. Tawa setelah 14 tahun menanti untuk mengambil kembali tampuk pemerintahan Terengganu yang sehingga kini, PAS meyakini ia dirampas dengan cara yang jahat dengan bantuan SPR ketika itu.

Gembira juga setelah debaran mempertahankan Kelantan, berakhir dengan izin Allah, PAS menguasai majoriti dua per tiga, tanpa kedua-dua negeri meninggal sebuah kerusi pun kepada musuh tegar terbaharunya, PAN. Tetapi duka di kebanyakan tempat selainnya. PAS terpukul agak teruk.

Kita dengan jelas dapat melihat pola pengundian dengan membahagikan kawasan kepada dua bahagian iaitu negeri-negeri yang dimenangi PH serta negeri-negeri pendukung PAS. Sokongan kepada PH sangat jelas dengan Johor yang dikatakan tempat lahirnya Umno, tumbang tanpa disangka-sangka.

Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Melaka dan Selangor juga memberikan undi mereka kepada PH dengan mereka berjaya menubuhkan kerajaan. Cuma perayaan mereka terbantut di Perak dan Kedah kerana masih tergantung sehingga kini. Di Terengganu dan Kelantan, PAS jelas mendominasikan majoriti Dun. Dan Kedah juga sebenarnya tidak mengecewakan, hampir mengulangi kejayaan 2008, 16 kerusi dan sekarang 15 kerusi.

Bentuk pengundian ini memperjelaskan isu kos sara hidup, GST, 1MDB, kenaikan harga minyak yang dimainkan kesemua pembangkang, sama ada PAS dan PH mendapat tempat yang khusus di hati rakyat. Mereka merasa keperitannya, ditambah dengan keadaan ekonomi dunia semasa yang tidak baik, membantu lagi kempen pembangkang.

Semakin tambah meluat rakyat apabila melihat pemimpin BN yang seperti memperbodohkan rakyat dengan dakwaan-dakwaan songsang harga barang terkawal, menjual ayam dengan harga RM1 seekor, mengadakan apa yang kononnya didakwa sebagai jualan rakyat ketika hampir PRU, menambahkan lagi sebab rakyat mahu menjatuhkan mereka. Ini tuntas, sebabnya jelas.

Tetapi isu-isu lain yang khusus dimainkan oleh PAS seperti hasrat ingin memperkasakan Syariat Islam di Malaysia serta isu-isu keagamaan lain, tidak mendapat sokongan yang menyeluruh, termasuklah isu masalah siasatan rasuah terhadap BN dan PH. Ia tertumpu kepada tiga tanah kelahiran Ulama ini sahaja yang menerima isu agama.

Rakyat di negeri-negeri ini masih berkeyakinan dengan kesungguhan PAS bagi memartabatkan Islam di Malaysia ini. Oleh kerana itulah, walaupun PAN yang juga menjanjikan asas Islam di dalam kempennya, gagal mencuri banyak kerusi seperti yang mereka harapkan di sini. Namun Selangor paling bersedih.

Saya percaya ini kerana PAS Selangor tidak mempunyai bilangan pengundi teras yang cukup, di samping tindakan ahli BN sendiri yang berpaling tadah kepada PH, menghasilkan keputusan ini.

Jadi jelas, PAS masih diyakini rakyat dalam memperjuangkan Islam di Malaysia. PAS tetap sinonim dengan Islam. PAS tiada masalah dengan salah laku. Akan tetapi sokongan untuk PAS, tidak menyeluruh, hanya tertumpu kepada tempat-tempat khusus. Saya yakin PH kali ini menggunakan taktik yang sama yang pernah digunakan BN pada tahun 2004.

Mereka menyasarkan pemindahan pengundi secara sekata ke banyak tempat sasaran mereka. Mereka sudah bersedia dengan persempadanan semula yang mana tidak akan menjejaskan mereka. Mereka bekerja bertahun-tahun untuk ini, bersungguh-sungguh berkempen mengajak orang ramai menyertai mereka sambil memalitkan isu-isu kepada BN dan PAS.

Ditambah dengan perubahan undi oleh orang BN sendiri, mereka berjaya. Ahli dan penyokong PAS mesti juga melihat isu pengagihan pengundi ini sebagai salah satu strategi. Mereka mesti membantu PAS dalam hal ini. Tidak hanya terkumpul jumlah undi di dalam satu Dun atau Parlimen dan mendapat majoriti yang banyak, tetapi tetap menang satu kerusi sahaja.

Kita dipandu sistem ‘First past post’ iaitu kiraan kerusi parti mana yang sampai jumlah majoriti dahulu dan bukannya ‘Propotional representative’ yang mengira undi keseluruhan negara bagi kemenangan sesuatu parti. Ingat PRU lalu? Pakatan Rakyat memenangi 52 peratus undi popular, tetapi tetap kalah kerana kerusi yang dimenangi kurang daripada BN.

Ahli dan penyokong PAS jangan fobia dengan taktik ini. Ia adalah sah di sisi undang-undang asalkan kita mematuhi kehendak SPR. Ahli dan penyokong PAS mesti juga bekerja keras bagi memenangi hati rakyat terutama pengundi-pengundi baharu untuk menjadi pengundi tegar PAS.

Kita berkerja atas kepercayaan kita melakukan semua ini untuk Islam. Kita tidak kisah kalah, kerana kita pernah kalah banyak kali. Kita tidak peduli jika tidak menjadi kerajaan kerana kita biasa menjadi pembangkang. Tetapi kita hendaklah kalah dengan strategi-strategi yang telah kita lakukan dengan baik. Jadi kalah kita kalah bermaruah.

Sekarang perancangan PAS sudah bagus, tetapi perlukan lagi kerja keras dari ahli dan penyokong bagi mendaulatkan Islam di Malaysia yang tidak ada parti lain dan dipercayai rakyat selain PAS. Kita mesti pertahankan ini. Kita mesti mengambil tempat Umno bagi memujuk ahli-ahli mereka memberikan kepercayaan kepada PAS setelah Umno dahulu mengecewakan mereka dengan palitan dosa dan noda yang tidak terhitung. PAS harapan Melayu Islam menggantikan Umno dengan identiti yang sangat jauh lebih baik atas nama Islam, kerana PAS telah membuktikannya. Ayuh kita dekatkan diri dan yakinkan ahli Umno untuk menyokong PAS.

MOHD NASIR ABDULLAH 
Al-Khor, Qatar
10 Mei 2018 - HARAKAHDAILY 10/5/2018