Selepas 3 tahun MH370 seharusnya ada penjelasan

Nasional
Typography

KUALA LUMPUR: Kerjasama siasatan antarabangsa berhubung kehilangan pesawat MAS MH370 seharusnya telah dapat mendedahkan beberapa maklumat yang selama ini terselindung.

Presiden Majlis Perundingan Islam Malaysia, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, selama tiga tahun kehilangan MH370 masih menjadi tanda tanya di mana kerajaan tidak menjelaskan bagaimana ia boleh berlaku.

"Tidak munasabah maklumat asas mengenai kenapa ia boleh berlaku tidak dapat dikumpulkan sehingga hari ini. Isu ini akan jadi tragedi dan misteri yang tidak mungkin dapat dirahsiakan sampai bila-bila.

"Satu ketika pasti kebenaran akan terdedah. Jika ada yang membuat spekulasi, sudah tentu selepas tiga tahun pihak kerajaan dapat mendedahkan maklumat disebalik kehilangan," ujarnya yang kini dalam perjalanan ke Geneva di Switzerland untuk menghadiri Sidang UNHCR.

Tegasnya, isu ini seharusnya tidak boleh lagi hanya tertumpu kepada pencarian, tetapi siasatan disebalik kehilangan pesawat itu patut menjadi fokus.

Senada dengan gesaan itu, Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat, Datuk Dr Khairuddin Aman Razali at-Takiri berharap pihak kerajaan menyediakan pampasan tambahan yang wajar kepada ahli keluarga mangsa.

Ujarnya, ia sebagai mengubat perasaan mereka yang masih belum diberikan jawapan dan kepastian terhadap tragedi tersebut.

Beliau juga menuntut pihak kerajaan meneruskan usaha sehingga dapat memberi jawapan terhadap isu itu kerana ia menimbulkan persoalan antarabangsa terhadap keselamatan sistem pengangkutan negara.

Dr Khairuddin menyifatkan kehilangan MH370 sebagai tragedi negara yang sangat menyayatkan hati seluruh rakyat Malaysia. – HARAKAHDAILY 8/3/2017