Agenda siapa menimbulkan prejudis kepada syariah?

Nasional
Typography

MENGAPA melampau-lampau dalam prejudis terhadap kehakiman syariah sehingga memperbesarkan andaian hakim boleh buat kesilapan menghukum yang tidak bersalah, atau menghukum dengan hukuman berat konon kerana had penjara telah dinaikkan kepada 30 tahun penjara dan had denda dinaikkan ke RM100,000?

Apa kehakiman sivil yang ada sekarang ini suci bersih sangatkah dari kesilapan sehingga berprasangka sebegitu sekali kepada Kehakiman Syariah? Sehingga menceduk kes kes terpencil luar negara konon untuk membuktikan syariah zalim!

Kalau begitu kita pun boleh mengeluarkan seribu satu macam kisah dalam dunia bagaimana mahkamah bukan syariah membuat kesilapan dan berlaku kezaliman dalam penghakiman dan jenis hukuman.

Kes orang yang tidak bersalah disabitkan bersalah banyak berlaku di mana-mana dalam dunia.

Yang dihukum gantung sampai mati pun ada.

Hukuman yang tidak munasabah, si miskin mencuri gula dan milo kerana teringin minum sendiri untuk anak-anak dipenjara berbulan bulan. Yang kaya pecah amanah dan rasuah lebih ringan pula hukumannya.
Bukan pelik ada mahkamah menjatuhkan hukum penjara lebih 100 tahun. Saya terbaca ada satu kes sampai 158 tahun penjara.

Ini perkara subjektif.

Soalnya secara makro, kesan agregat, adakah secara keseluruhannya sistem pengadilan itu telah cukup berkesan dalam mewujudkan kesejahteraan, keamanan dan keadilan di dalam masyarakat?

Sebenarnya apa apa kecacatan akan ada proses semak imbangnya.

Di mahkamah sivil ada susunannya keputusan boleh dirayu ke Mahkamah Rayuan hinggalah ke Mahkamah Persekutuan.

Mahkamah Syariahpun ada proses rayuannya yang tersendiri. Ada hak untuk diwakili peguam yang dipilih sendiri. Ada Mahkamah Rendah dan Mahkamah Tinggi.

Adalah sangat jahat cuba mengajak rakyat berprasangka buruk kepada Hakim Hakim Syariah seolah olah mereka manusia yang tidak berhati perut yang 'gila' mahu mendera, menyebat manusia, mendenda sampai bangkrap atau memenjarakan orang sampai ke tua agar mati di dalam penjara.

Saya ceritakan satu kes arbitrasi yang saya pernah terlibat sama yang saya melawan syarikat antarabangsa dari Kanada. Arbitrator yang dilantik adalah seorang mantan hakim mahkamah rayuan yang tinggi kedudukannya di dalam kehakiman Malaysia. Dia bukan seorang Islam.

Bayangkan selang setiap dua jam akan ada waktu rehat. Saya kebetulan memerhati gerak geri mantan hakim ini. Waktu rehat beliau ke lounge terbuka dan meminum arak. Bukan sekali berlaku. Hampir setiap kali waktu rehat, 'break' perbicaraan.

Tak dinafikan, sebaik dia mengadili, tidak pula nampak ada kesan macam orang mabuk, perbicaraan dikendali dengan profesional. Tetapi itulah... pengadil yang dilantik jadi arbitrator yang latar belakangnya seorang mantan hakim yang terhormat dalam mahkamah sivil.

Walau bagaimanapun kami menang kes ini. Berjaya ketepikan tuntutan lebih RM40 juta. Ini kes pada tahun 1999, lebih 16 tahun lalu.

Bandingkan kualiti seseorang sebelum boleh melayakkan diri mereka sebagai Hakim Syariah. Dengan kelayakan pendidikan, keperibadian beragama dan sahsiah. Bukan mudah.

Bagi yang biasa dengan perbicaraan syariah akan tahu selain hujahan berdasarkan rujukan preseden kes terdahulu, penghakiman selalu akan sarat dengan nas Quran dan Hadis serta nasihat agama yang menginsafkan.

Seorang yang jahil agama, seorang pendosa mempunyai kebarangkalian yang sangat kecil menjadi Hakim Syarie. Hampir tidak berpeluang langsung.

Seorang yang faham agama, berilmu, baik pengamalan agama mempunyai kebarangkalian yang sangat tinggi untuk tidak zalim dan berusaha berlaku adil lantaran faham soal dosa dan pahala

Malaysia pula negara demokrasi, bukannya autokrasi. Bukan seperti zaman raja-raja dahulu yang terpulang budi bicara raja menghukum.

Jika kezaliman terlalu nyata, rakyat mempunyai ruang melalui proses demokratik untuk meminda undang undang. Menukar parti yang memerintah pun boleh.

AHMAD AMZAD HASHIM
Pengarah Jabatan Penerangan PAS Pusat
8 Mac 2017 – HARAKAHDAILY 8/3/2017