Sejarah apa lagi mahu dicipta Hannah Yeoh?

Nasional
Typography

SUNGGUH saya sangat meluat bila membaca Kenyataan Media Adun N31 Subang Jaya dari DAP, Hannah Yeoh, sekejap tadi bagi menyambut pengumuman pengisytiharan oleh DAP semalam bahawa beliau adalah calon DAP bagi kerusi P117 Segambut dalam PRU 14.

Tulis Hannah Yeoh di dalam Kenyataan Media ini, beliau terhutang budi kepada Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor kerana memberikan kepercayaan kepada beliau untuk menjawat jawatan Speaker Dewan Undangan Negeri Selangor dari tahun 2013 hingga sekarang.

Sungguh saya sangat tidak faham mengapa beliau perlu mengungkapkan rasa terhutang budi beliau kepada Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor kerana memberikan kepercayaan kepada beliau untuk menjawat jawatan Speaker Dewan Undangan Negeri Selangor.

Selaku Speaker Dewan Undangan Negeri Selangor, apalagi selaku peguam, adalah sangat tidak logik untuk beliau tidak membaca dan memahami segala peruntukan yang terkandung di dalam Undang-undang Tubuh Kerajaan Selangor mengenai kuasa Sultan Selangor.

Perkara LXXI (1) Undang-undang Tubuh Kerajaan Selangor menyebut “Dewan Negeri hendaklah dari semasa ke semasa memilih menjadi Speaker orang yang ditentukan oleh Dewan itu dan tidak boleh menjalankan apa-apa urusan semasa jawatan Speaker kosong selain pemilihan Speaker”.

Jelas berdasarkan kepada peruntukan yang terkandung di dalam Undang-undang Tubuh Kerajaan Selangor ini bahawa pemilihan Hannah Yeoh sebagai Speaker Dewan Undangan Negeri Selangor adalah dibuat oleh Dewan Undangan Negeri Selangor.

Mengapa Hannah Yeoh mengungkapkan rasa terhutang budi beliau kepada Sultan Selangor, bukan kepada ahli-ahli Dewan Undangan Negeri Selangor, kerana memberikan kepercayaan kepada beliau untuk menjawat jawatan Speaker Dewan Undangan Negeri Selangor?

Apakah ini adalah cubaan jahat Hannah Yeoh untuk memberikan persepsi kepada rakyat Malaysia kononnya beliau adalah dipercayai oleh Sultan Selangor dan kononnya pemilihan beliau sebagai Speaker Dewan Undangan Negeri Selangor adalah dibuat oleh Sultan Selangor?

Jika benar begitu, apakah ini adalah bukan cubaan jahat Hannah Yeoh untuk mempergunakan nama baik Sultan Selangor demi untuk kepentingan politik kepartian sempit beliau, khususnya di saat pemimpin Pakatan Harapan (PH) lain bermasalah dengan Raja-raja Melayu?

Tulis Hannah Yeoh di dalam Kenyataan Media ini juga, beliau mencipta sejarah bila menjadi pemimpin DAP pertama memenangi kerusi N31 Subang Jaya dalam PRU 12 dan mencipta sejarah bila menjadi pemimpin wanita pertama menjadi Speaker Dewan Undangan Negeri.

Dan sungguh saya tertanya-tanya sejarah apa lagi yang mahu dicipta oleh Hannah Yeoh bila beliau berkata perpindahan beliau ke kerusi P117 Segambut dalam PRU 14 dari kerusi N31 Subang Jaya dalam PRU 12 dan PRU 13 diharapkan akan mencipta satu lagi sejarah.

Kalau mahu dikatakan bahawa Hannah Yeoh mahu mencipta sejarah menjadi pemimpin DAP pertama memenangi kerusi P117 Segambut maka ini bukanlah lagi sejarah kerana kerusi P117 Segambut ini memang telah sedia dimenangi oleh pemimpin DAP sejak sekian lama.

Apakah mungkin sejarah yang mahu dicipta oleh Hannah Yeoh ini ialah menjadi pemimpin wanita pertama menjadi Speaker Dewan Rakyat? Kemungkinan ini tinggi kerana beliau sendiri menyebut akan melakukan perkara sama, yang berbeza hanyalah ia kini di Parlimen.

Apakah rakyat Malaysia sudah sedia untuk menerima Evangelis sebagai Speaker Dewan Rakyat? - HARAKAHDAILY 10/4/2018