Penduduk tanah NCR hilang keyakinan terhadap hakim

Nasional
Typography

KES tanah adat atau NCR Kampung Haji Wahed mengambil masa bertahun-tahun untuk diselesaikan menyebabkan penduduk kampung dan orang-orang yang menuntut hak tanah nenek moyang mereka memutuskan bahawa hakim yang mengendalikan kes itu perlu ditukar.
 
Alasan mereka kerana peguam yang mereka lantik sukar untuk mengemukakan bahan bukti yang mereka telah kemukakan. Setiap kali ada persidangan mahkamah hakim seolah-olah lebih memihak kepada peguam bela pihak pemaju dan pihak jabatan tanah dan ukur.
 
Ini menyebabkan mereka hilang keyakinan terhadap hakim yang mengendalikan kes tanah tersebut dan akhirnya mereka mengumpulkan lebih dari seribu tandatangan petisyen dari penduduk kampung yang hilang keyakinan terhadap hakim itu. Petisyen itu telah diserahkan kepada pejabat Ketua Hakim Sabah dan Sarawak untuk tindakan lanjut.
 
Esok Selasa (07/03/2017) hakim yang mengendalikan kes tanah tersebut akan memberi keputusan sama ada untuk meneruskan atau memberi peluang kepada hakim lain untuk mendengar kes tersebut.
 
Masalah tanah yang dihadapi oleh penduduk Melayu dan penduduk asal Bumiputera Sarawak memang sudah lama berlaku. Ramai yang mengadu masalah tanah mereka telah diceroboh oleh pihak pemaju tanpa pengetahuan mereka. Mereka juga sudah banyak kali menuntut hak tanah mereka agar pihak kerajaan memberi mereka geran tanah tetapi sukar untuk mendapatkannya. Penduduk asal yang sudah lama menetap di tanah datuk moyang mereka sebelum kedatangan penjajah British lagi sepatutnya diberi keutamaan untuk mendapatkan geran tanah.
 
PAS mengesa pihak kerajaan memberi perhatian serius terhadap isu yang dihadapi oleh penduduk asal Sarawak ini dengan memberi keutamaan kepada mereka dari pemaju kerana tanpa tanah maka sukar bagi mereka untuk bercucuk tanam dan membina tempat tinggal.
 
Jangan biarkan penduduk asal kehilangan tanah tempat mereka tinggal dan menjadikan mereka setinggan dan menjadi pelarian di tanah air sendiri. Utamakan penduduk asal dari orang yang hanya mementingkan keuntungan semata-mata. – HARAKAHDAILY 6/3/2017