Dewan Datuk Muhammad Daud semarak majlis ilmu

Nasional
Typography

DEWAN Datuk Muhammad Daud al-Iraqi yang terletak di Bandar Baru Kubang Kerian, Kota Bharu mampu beri manfaat kepada penduduk sekitar.

Penyerahan kunci bangunan itu telah disaksikan oleh Menteri Besar, Ustaz Datuk Bentara Kanan Ahmad Yakob pada majlis semalam.

Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandaraya Islam (MPKB-BRI) menerima penyerahan itu dari Kasjaria Kim Huat Sdn Bhd.

Mengulas mengenainya, Ahmad berkata, dewan serbanguna itu sangat penting bagi menyemarakan majlis ilmu dan kegiatan sosial lain.

"Dengan adanya kemudahan ini ia merupakan satu kelebihan kepada penduduk sekitar bagi mendapat manfaat.

"Kita mengucapkan terima kasih kepada semua pihak kepada MPKB-BRI dan wakil rakyat Demit kerana berusaha dapatkan dewan ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyaksikan penyerahan kunci dewan tersebut kepada kerajaan negeri.

Turut hadir Adun Demit, Mumtaz Mad Nawi; Adun Pasir Tumboh, Abdul Rahman Yunus dan YDP MPKB-BRI, Datuk Zamri Ismail.

Selain mantan Ketua Dewan Ulama PAS Kelantan, Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan, Datuk Che Mohd Rahim Jusoh dan Pengarah Urusan Kasjaria Kim Huat, Chua Siew Seng.

Katanya lagi, nama tokoh berkenaan dipilih kerana peranannya yang tidak pernah jemu menyebar ilmu agama khususnya di Kelantan.

Ketika berucap pada majlis itu, beliau menyifatkan mantan Adun Demit itu sebagai 'kamus bergerak' dalam empat mazhab ahli sunnah.

"Apabila saya berbincang dengan Almarhum Tuan Guru berkaitan hukum dalam empat mazhab, rujukan pertama ialah Dato' Mohammad Daud Iraqi.

"Sama-sama kita berdoa kepada agar Allah membuka semula suaranya bagi kita perolehi ilmu yang luas daripadanya," katanya.

Sementara itu Mumtaz Mad Nawi mengalakan sebarang aktiviti diadakan dengan seliaan daripada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

Beliau turut menyambut baik hasrat Menteri Besar agar dewan tersebut dijadikan sebagai pusat untuk menyampaikan kuliah agama.

"Ia merupakan satu cadangan yang sangat baik disamping program kemasyarakatan dan ia akan disusun di sini.

"Kita akan berbincang dengan PBT, cuma susunan kita agak terhad kerana dewan ini akan digunakan juga oleh orang ramai," katanya. - HARAKAHDAILY 5/3/2017