PAN jadi liabiliti Pakatan Harapan

Nasional
Typography

BACHOK: Impian PAN untuk menggantikan PAS bagi mengukuhkan Pakatan Harapan kini terserlah apabila kewujudannya membuatkan pakatan pembangkang itu semakin bercelaru.

PAN yang bermula dengan PASMA dan Harapan Baru bermula dengan rekod yang tercalar kerana gagal mempertahankan jawatan pada muktamar PAS 2015.

Percubaan PASMA menyingkirkan kepimpinan ulama gagal sehingga hampir kesemua pemimpin yang tewas tidak mampu menerima hakikat ditolak perwakilan.

Ekoran itu pelbagai alasan dicipta termasuk ‘chai’ semata-mata bagi memburukkan ulama yang menjadi pilihan perwakilan pada muktamar PAS.

Mohd FadhilAktivis anak muda Mohd Fadhil Aiman berkata PAN muncul sebagai NGO yang dinamakan sebagai PASMA bergerak bagi menjatuhkan Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Namun katanya mereka sendiri yang terpelanting daripada kedudukan dalam PAS setelah perwakilan PAS menyedari tindak tanduk mereka.

“PAN wujud kononnya hendak menggantikan PAS dalam Pakatan Harapan. Tapi apa yang berlaku bukan ganti sebaliknya menyebabkan Pakatan Harapan menjadi tambah kecamuk.

“Saya pun hairan ketika kehadirannya membebankan Pakatan Harapan, tiba-tiba pemimpin mereka di Kelantan bercakap pula hendak rampas daripada PAS,” katanya.

Baru-baru ini Timbalan Presiden PAN Salahudin Ayub dilapor mendakwa parti itu yakin mampu merampas Kelantan pada pilihan raya umum akan datang.

Azmi NorNaib Yang Dipertua PAS Pengkalan Chepa, Azmi Nor juga melahirkan rasa hairan PAN menguar-uarkan berjaya menubuh banyak cawangan di Kelantan.

Katanya, pada peringkat awal tidak dinafikan jelajah parti itu agak mendapat sambutan, namun sekarang orang ramai sudah bosan dengan retorik mereka.

“Saya pun hairan dakwaan ada ahli PAS di Pulau Melaka menyertai PAN, sedangkan Cawangan PAS di situ pun tidak kenal orang terbabit,” katanya.- HARAKAHDAILY 2/3/2017