Saya mohon maaf kepada seluruh rakyat Kelantan

Nasional
Typography

UMNO Kelantan dilihat agak tempang menghadapi pilihan raya umum (PRU) ke-14 tidak lama lagi. Tiada lagi aktivis yang mampu menggempur gerak saraf lawan seperti PRU-13. Sekarang bekas Setiausaha Gerak Saraf Umno Kelantan, Kamarudin Mohd Kasim tidak lagi bersama parti itu. Beliau juga sebelum ini menerajui Gerakan Tukar Kerajaan PAS Kelantan Demi Rakyat (Tukar). Ketika itu beliau lebih dikenali sebagai Jogho Kelate. Kamarudin juga mantan Setiausaha Penerangan Umno Kelantan. Pernah juga mengetuai media maya dan IT Umno Kelantan. Bagi mengetahui punca beliau meninggalkan Umno, ikuti temubual bersama wartawan Muhammad Arif Ismail baru-baru ini.

Kamaruddin KassimSejak bila berada dalam Umno?

Saya terlibat dengan Umno ketika bergelar mahasiswa pada 2001. Di UiTM Machang saya dilantik pengerusi kelab penyokong kerajaan. Saya juga mengepalai kumpulan mahasiswa menyokong Umno dan BN Kelantan.

Mengapa menyertai Umno?

Ketika belajar saya hanya sebagai pengerak. Setelah tamat belajar saya bekerja di Kementerian Kebudayaan dan Kesenian di bawah Datuk Rais Yatim. Selepas itu saya dipanggil Tan Sri Annuar Musa untuk berkhidmat di Kada. Kemudian dipindah pula berkhidmat di Perhubungan Umno Kelantan pada 2010. Saya banyak melakukan kerja gerakan saraf, penerangan dan tugas khas bagi membantu Pengerusi Perhubungan Kelantan. Saya juga adalah admin group whatsapp Perhubungan Umno Kelantan. Saya tiada jawatan tetap. Tidak dinafikan banyak isu dalam Umno saya tahu. Begitu juga strategi Umno untuk menghadapi PAS. Bagaimanapun selepas pulang daripada mengerjakan umrah saya rasa perlu berada di luar Umno kerana melihat kelompangan dan penyelewengan yang berlaku. Saya tidak terdaya lagi berada dalam Umno.

Apa tugas saudara ketika menghadapi PRU-13?

Saya memulakan gerakan Tukar pada 2010. Ia adalah inisiatif sendiri melalui badan bukan kerajaan yang saya tubuh. NGO itu ditubuh menjelang PRU 13 bagi melihat sokongan rakyat terhadap Umno. Malangnya menjelang hari mengundi anak-anak muda di perantauan meranapkan gerakan yang saya bina selama tiga tahun. Ternyata PAS Kelantan mempunyai kekuatan akar umbi. Buatlah Tukar 2.0 sekalipun sokongan rakyat terutamanya anak muda tetap tidak berubah. Ketika itu gerakan Tukar membawa dua isu besar iaitu janji kerajaan PAS Kelantan dan tanah adalah maruah. Beberapa siri perhimpunan rakyat diadakan termasuk di hadapan Kota Darulnaim. Setiap siri demontrasi berlaku pergaduhan yang melibatkan Tukar dengan NGO lain termasuk Royalti.

Bagaimana kecederungan politik saudara sekarang?

Setelah meninggalkan Umno, saya memohon maaf kepada seluruh rakyat Kelantan di atas tindakan saya mahu meruntuhkan kerajaan Islam pada PRU 13. Sekarang saya menghambakan diri untuk bersama kepimpinan kerajaan negeri bagi mengekalkan Kelantan di bawah PAS. Saya sekarang juga Setiausaha Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia.

Mengapa menyertai Bersatu?

Saya selalu menyatakan kepada rakan-rakan kenapa keluar Umno dan menyertai Bersatu. Paling ringkas saya tidak mahu berkongsi dosa selagi berada dalam Umno. Bahkan saya merasakan ada kebenarannya. Kita melihat terlalu banyak dosa dilakukan kerajaan BN termasuk isu 1MDB, rasuah, songlap duit rakyat, GST, nilai ringgit jatuh dan banyak lagi isu yang membelenggu rakyat. Malangnya Umno seperti tidak menghirau apa yang dideritai rakyat. – HARAKAHDAILY 2/3/2017