Dun Kelantan belum terima soalan Adun PAN

Nasional
Typography

KOTA BHARU: Pada persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) lepas, Adun Parti Amanah Negara (PAN) Salor Datuk Husam Musa kerap bertegang leher dengan wakil kerajaan.

Ketika pihak kerajaan menggulung perbahasan beliau acap bangun membangkitkan pelbagai isu, sedangkan ketika Exco menjawab soalan lisan Adun Salor jarang kelihatan di Dun.

Bagaimanapun pada persidangan Dun akhir Mac ini Adun PAN difahamkan belum menghantar sebarang soalan untuk dijawab pihak kerajaan.

Perkara itu disahkan Speaker Dun, Datuk Abdullah Ya’kob dengan menjelaskan setakat ini pihaknya belum menerima sebarang soalan sama ada untuk jawapan bertulis atau mulut dari Adun Salor.

“Sebanyak 11 soalan diterima dari ahli-ahli dewan yang mahu mendapatkan jawapan bertulis. Manakala soalan untuk jawapan mulut sebanyak 25 soalan,” katanya di sini.

Beliau berkata sehingga semalam tiada satu soalan pun dari wakil PAN diterima pihak Dun. – HARAKAHDAILY 2/3/2017