PPR: Umno tiada hak tentukan pembeli

Nasional
Typography

KOTA BHARU: Pengalaman projek perumahan rakyat (PPR) di Gua Musang yang dikatakan dikawal sepenuhnya Umno dibimbangi menular kepada PPR di sini.

PPR Gua Musang yang dibina bagi memenuhi janji Umno pada pilihan raya kecil Galas pada 2010. Ia terbiar tanpa penghuni dalam tempoh begitu lama selepas siap dibina.

Hanya tahun lepas sebahagian mangsa banjir 2014 dan pembeli PPR diberi kunci rumah berkenaan. Namun malangnya pada peringkat awal penghuni di situ terpaksa bergelap kerana tiada elektrik.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tanjung Mas, Rohani Ibrahim berkata, beliau akan memastikan apa yang berlaku di tempat lain tidak terjadi di PPR Kota Bharu.

Katanya, biar pun projek berkenaan dikendalikan kerajaan persekutuan, namun Umno tiada hak bagi menentukan bakal pembelinya.

“Kita akan memastikan bukan hanya ahli Umno dan Barisan Nasional sahaja yang mendapat manfaat projek berkenaan.

“Sepatutnya kuota ditetapkan antara kerajaan Persekutuan dan negeri iaitu 50:50 bagi mengelakkan ketidakadilan berlaku,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan hari sukan Maahad Pengajian Islam di sini hari ini.

PPR Wakaf Mek Zainah kini sedang giat dibangunkan. Pecah tanah projek itu dilakukan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak ketika kempen pilihan raya umum 2013. – HARAKAHDAILY 1/3/2017