Siapkan dulu 20,000 rumah Felda terbengkalai

Nasional
Typography

KUALA LUMPUR: Presiden Pertubuhan Generasi Warisan Kebangsaan (Generasi) Roslan Md Esa menggesa Pengerusi Felda, Tan Sri Shahrir Abdul Samad menyelesaikan 20,000 unit lagi Perumahan Generasi Baru Felda (PGBF) yang masih terbengkalai sekiranya beliau benar-benar mahu membantu Felda.

Roslan berkata, kerajaan membelanjakan RM1.4 billion untuk 20,000 unit rumah bagaimanapun peruntukan tersebut telah habis tetapi rumah belum siap sepenuhnya sebaliknya hanya 9,000 unit lebih sahaja yang kelihatan.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Shahrir yang dilaporkan berkata, Felda merancang memperluaskan Program Perumahan Berperancangan Generasi Kedua ke seluruh negara dalam usaha mengatasi masalah perumahan dihadapi golongan itu pada masa ini.

Menurut Shahrir menerusi program itu, Felda bekerjasama dengan kerajaan negeri menyediakan tapak rumah untuk peserta yang terpilih sebelum mereka yang terlibat membuat membuat pinjaman dengan Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) untuk pembinaan rumah.

Beliau tidak menolak bahang pilihan raya yang semakin hampir membuatkan pengerusi baru Felda begitu yakin untuk menyelesaikan masalah perumahan sedangkan kekangan kewangan agensi itu berada di tahap kritikal.

"Di mana rumah PGBF yang dijanjikan? Atau mungkin kerana bahang pilihan raya semakin hampir, maka hendak menarik sokongan peneroka Felda dan generasi kedua Felda? Buktikan kepada kami, mana pelan bertindak untuk rumah PGBF yang terbengkalai ini?

"Jangan semua dikatakan ok! Apabila cemas hendak menghadapi PRU? Jika ini benar, ini adalah bentuk politik yang hanya memangsakan rakyat sahaja khasnya warga Felda," soalnya kepada Harakahdaily.

Justeru beliau percaya dengan mengheret bekas pengerusi Felda yang lalu ke muka pengadilan akan terbongkar segala masalah yang berlaku di dalam Felda.

"Pendedahan dan salah laku, salah urus tadbir, keputusan yang tidak logik yang dilakukan oleh Isa Samad terhadap Felda dan peneroka perlu disiasat dan didakwa ke muka pengadilan," katanya. – HARAKAHDAILY 1/3/2017