26
Sun, May
16 Artikel Baru

Tan Sri Khalid bersama PAS dan Gagasan akan pacu kemenangan

Nasional
Typography
PUSAT Penyelidikan PAS (PPP) meyakini tekad yang ditunjukkan oleh Tan Sri Khalid Ibrahim untuk membantu PAS serta GAGASAN berkempen di Selangor memberi satu kekuatan besar ke arah pembentukan kerajaan baru Selangor pasca PRU 14. Kesungguhan beliau ditunjukkan semasa berceramah di Batang Kali, Hulu Selangor, pada 27 Januari 2018 yang baru lalu.
 
Ceramah yang dianjurkan oleh PAS Kawasan Hulu Selangor itu bertemakan "PAS Memimpin Pembentukan Kerajaan Baru Selangor Selepas PRU 14". Tekad yang ditunjukkan oleh Tan Sri Khalid di dalam ceramah tersebut, seumpama satu 'sepak mula' untuk satu gelombang besar-besaran membentuk kerajaan baru yang dipimpin oleh PAS bersama GAGASAN.
 
Tan Sri Khalid diakui sebagai faktor utama yang melonjakkan kemenangan Pakatan Rakyat (PR) dalam PRU 13 yang lalu. Selain daripada itu, beliau juga masih mempunyai sokongan dari kalangan ahli-ahli PKR termasuk juga DAP. Demikian juga dengan kakitangan-kakitangan awam yang berkhidmat di Selangor, begitu menghormati integriti dan efisiensi beliau. 
 
Di samping sokongan yang masih kuat dari kalangan penyokong-penyokong PR sebelum ini, Tan Sri Khalid juga begitu dihormati oleh Umno sehingga beliau turut dijemput oleh Umno Selangor dalam konvensyen mereka baru-baru ini. Dengan sokongan dari pelbagai pihak, beliau diyakini boleh menarik sokongan majoriti rakyat Selangor ke arah pembentukan sebuah kerajaan baru.
 
PPP juga percaya tekad yang ditunjukkan oleh Tan Sri Khalid untuk membantu PAS dalam menghadapi PRU 14 ini akan menambah satu kekuatan baru untuk mencapai sasaran Presiden PAS di dalam ucapan beliau di FASTAQIM 2.4 di Shah Alam baru-baru ini. Diyakini siri ceramah yang dirintis oleh PAS Hulu Selangor ini akan disusuli oleh 21 lagi PAS kawasan-kawasan yang lain.
 
 
DR MOHD ZUHDI MARSUKI
Pengarah PPP
 
30 Januari 2018
13 Jamadilawal 1438
HARAKAHDAILY  31/1/2018