19
Sat, Oct
19 Artikel Baru

Kafir mengkafir isu lapuk

Nasional
Typography

PAS tidak pernah mengkafirkan individu orang UMNO yang muslim sebagaimana dakwaan Dr Mahathir. PAS hanya menjelaskan perkara yang boleh membatalkan Syahadah dan menjadi kufur agar umat berhati-hati. Dalam istilah fiqh ia dipanggil " التكفير بالنوع at-Takfir bin Nau' '' atau takfir secara umum. Atau juga disebut" Takfir Berdasarkan Sifat." Ia adalah perbahasan yang makruf di kalangan ulamak dalam kitab-kitab Aqidah. Dalam al-Quran terdapat ayat-ayat yang menjelaskan konsep Takfir ini seperti firman Allah dalam surah al-Maidah ayat 44

وَمَن لَّمْ يَحْكُم بِمَا أَنزَلَ اللَّهُ فَأُولَٰئِكَ هُمُ الْكَافِرُونَ

"Sesiapa yang tidak berhukum dengan apa yang diturunkan oleh Allah maka merekalah sebenar-benar orang yang kafir"

Ungkapan menghina hukum jenayah Islam seperti, "kalau laksanakan hukum potong tangan habislah kudung tangan orang Islam" dan "kalau laksanakan hukuman rejam habislah batu di jalanan", adalah ungkapan yang boleh menjadikan seorang muslim jatuh kufur.

Adapun menghukumkan seseorang muslim secara individu sebagai kafir ia bukannya tugas pendakwah tetapi hakim di mahkamah setelah ditegakkan hujah. Seorang yang melafazkan kata kufur tidak semestinya terus menjadi kafir melainkan apabila cukup segala syarat-syarat yang mengesahkan dirinya terkeluar daripada Islam.

Alhamdulillah setelah dakwah yang panjang memakan masa puluhan tahun, hari ini masyarakat Islam semakin memahami kewajipan menegakkan Syariat Allah dalam perundangan jenayah. Kata-kata penghinaan seumpama itu sudah tidak kedengaran lagi melainkan daripada segelintir yang masih lagi bebal tentang hukum Islam.

Dr Mahathir dalam menyerang PAS, sengaja membangkitkan isu kafir mengkafir bagi menanam kebencian terhadap PAS dan menjauhkan masyarakat Islam daripada PAS. Itu adalah strategi Dr Mahathir ketika beliau masih menjadi Perdana Menteri sebelum ini. Namun, masyarakat Islam boleh menilai pendekatan semasa PAS yang harmoni menjelaskan dakwah Islam sesuai dengan suasana masyarakat yang semakin dekat dengan Islam disebabkan ledakan kuliah ilmu di surau, masjid, pejabat kerajaan dan di internet.

PAS sudah jauh menapak ke depan dengan Budaya Politik Matang dan Sejahtera yang diperkenalkan sejak akhir 2015 bagi menyantuni masyarakat melayu muslim pelbagai peringkat sesuai dengan realiti semasa kefahaman masyarakat Islam tentang Islam.

Dr Mahathir pula mahu undur ke belakang melihat senario dakwah hampir 40 tahun lalu. Sewajarnya juga rakyat menilai kembali gaya pemerintahan Dr Mahathir dan sikapnya terhadap dakwah Islam sepanjang dekad pemerintahan beliau. Usah diharap untuk seorang yang mempunyai rekod yang kurang baik terhadap agenda Islam seperti menghapuskan geran perkapita sekolah agama rakyat untuk kembali ke tampuk pemerintahan. Usah undur ke belakang.

Saya harap jangan ada ilmuwan Islam termasuk Mufti yang menari mengikut tarian Dr Mahathir menyerang PAS dalam agenda yang sama. Amanat Hj Hadi dijadikan sasaran kononnya penyebab kepada perpecahan. Hakikatnya pemecah belah adalah golongan yang lari dari landasan Islam yang sebenar, bukannya pendakwah yang menyeru manusia kembali kepada Islam. Saya menyeru semua bersikap adil menilai Amanat Hj Hadi secara ilmiyah dan akademik.

Seperti saya tegaskan sebelum ini bahawa Amanat Hj Hadi menjelaskan dasar dan prinsip Amar Makruf Nahi Mungkar dan menjelaskan perkara yang boleh membatalkan Syahadah bukannya mengkafirkan orang UMNO. Itu adalah tuduhan dan tohmahan tidak berasas.

DR MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI
Ahli Parlimen Kuala Nerus
Khamis 4 Januari 2018 – HARAKAHDAILY 4/1/2018