Selamat Hari Sukan Negara 2017

Sukan & Budaya
Typography

PELAKSANAAN Hari Sukan Malaysia (HSN) pada 14 Oktober 2017 esok seharusnya disambut baik oleh rakyat dengan semangat kesukanan dan muhibbah yang tinggi. HSN merupakan suatu inisiatif negara di mana ia adalah satu langkah proaktif di dalam proses transformasi ke arah mencapai hasrat menjadikan Malaysia sebagai sebuah 'Negara Bersukan' (Sporting Nation).

DACS Malaysia berharap dengan adanya program sebegini, ia akan merancakkan lagi aktiviti bersukan, beriadah dan gaya hidup sihat dalam kalangan rakyat, baik bagi mereka yang berusia muda mahupun tua.

DACS Malaysia berpendapat perpaduan dalam kalangan rakyat harus terus dipupuk tanpa mengira perbezaan keturunan, bangsa dan had umur menerusi sukan dan riadah.

Bagi mewujudkan sebuah negara yang mengeluarkan hasil produktiviti yang tinggi, amalan hidup sihat mesti diamalkan oleh setiap rakyat.

Penerapan amalan budaya hidup cergas dan aktif amat penting bagi masyarakat kita memandangkan peratusan masyarakat Malaysia yang aktif bersukan masih lagi rendah iaitu pada kadar sekitar 40 peratus berbanding dengan 50 hingga 60 peratus di negara maju. Budaya sukan melalui amalan gaya hidup cergas dan aktif pada masa yang sama dapat membantu menurunkan kadar penyakit kronik dikalangan rakyat Malaysia.

Keadaan tubuh badan dan gaya hidup yang sihat juga akan dapat memandu pencapaian ekonomi negara menerusi amalan kerja yang produktif.

Teladan baginda Rasulullah (saw) dalam bidang sukan dan riadah harus dijadikan contoh. Baginda Rasulullah (saw) pernah dicabar bergusti dengan seorang lelaki yahudi dan akhirnya baginda Rasulullah (saw) menang serta lelaki yahudi itu menganut agama Islam kemudiannya.

Malah baginda Rasulullah (saw) menggalakkan umat Islam untuk belajar memanah, berenang dan menunggang kuda.

Natijahnya, sukan bukan sahaja menjadikan tubuh badan yang sihat, ia melatih kita untuk mempunyai kemahiran mental yang tinggi dan fokus dalam pekerjaan yang dilakukan selain menjauhi perkara yang sia-sia dan tidak berfaedah seperti melepak dan minum arak.

Baginda Rasulullah (saw) pernah bersabda mafhumnya "mukmin yang kuat lebih disukai Allah dari mukmin yang lemah". Sementara itu, dalam mafhum sabda baginda Rasulullah (saw) yang lain, baginda menyatakan Allah mencintai mukmin yang melakukan sesuatu pekerjaan secara "itqan" iaitu ketekunan yang membuahkan hasil kerja yang produktif.

Banyak aktiviti menarik yang akan dianjurkan oleh DACS sempena Hari Sukan Negara tahun ini seperti Perlawanan Bola Sepak bersama Belia India, Kejohanan Sepak Takraw, Perlawanan Persahabatan Badminton, Senamrobik Islamik (Aeromik) Beramai-Ramai, Mendaki Gunung Irau, Charity Run, Jungle Trekking, Perlawanan Futsal dan lain-lain di seluruh negara.

DACS Malaysia berharap rakyat dari segenap lapisan akan dapat menyertai pelbagai program yang diadakan dan menunjukkan semangat perpaduan yang tinggi.

Hal ini kerana perpaduan dalam kalangan rakyat mutakhir ini dilihat semakin rapuh lantaran tindakan, singgungan dan kecaman berunsur politik yang dimuntahkan oleh barisan ahli politik yang tidak matang dan rasional.

DACS Malaysia juga sebelum ini telah mengadakan banyak program yang mengajak rakyat khususnya belia mendekati aktiviti sukan dan kegiatan luar.

Kewujudan Alternative Riding Club (ARC), Alternative Cycling Club (ACC), perlumbaan motorsikal di Litar Lumba Rakyat, Alternative Photography Club (APC), DACS Motorsport Club (DMC), DACS Fit dan pelbagai lagi aktivti luar anjuran DACS harus dimanfaatkan oleh rakyat.

Akhir kalam, dengan mengamalkan gaya hidup yang sihat, ia dapat menghindarkan diri kita daripada penyakit, merapatkan jalinan ukhwah antara ahli keluarga dan menghasilkan produktiviti kerja yang baik serta dapat melahirkan budaya kerja yang baik dan cemerlang.

Sekali gus ia akan memupuk semangat perpaduan dalam kalangan rakyat malah diisi pula dengan pertukaran pendapat dan ilmu antara rakyat.

#Jom turun padang.

MUHAMMAD FADZLI ABU BAKAR
Pengarah Department of Arts, Culture and Sports (DACS) Dewan Pemuda PAS Malaysia - HARAKAHDAILY 13/10/2017