Pelihara hubungan antara agama dengan hikmah

Nasional
Typography

MAPIM mengambil perhatian berat terhadap isu terkini berkenaan dengan kedudukan hubungan masyarakat Islam dan bukan Islam. Isu yang telah dibangkitkan oleh seorang pegawai Jakim dalam kuliahnya telah mendapat respon dari masyarakat Islam dan bukan Islam.

Kini ia semakin panas apabila golongan politik dan khalayak awam mulai memberi komentar.

Sementara Islam mengariskan fiqh tersendiri dalam mengatur hubungan antara agama, adalah tidak bijak untuk membangkitkan soal amalan orang bukan Islam yang dilihat secara negatif secara terbuka dikhalayak ramai.

Masyarakat Islam memang mempunyai panduannya sendiri dalam urusan harian yang berbeza dengan bukan Islam. Akan tetapi tidak perlu dibangkitkan secara terbuka sehingga dianggap oleh orang bukan Islam sebagai menghina mereka.

Menjelaskan bahawa Islam ada cara tersendiri dalam menentukan urusan harian seseorang Muslim. Ia termasuk soal makanan, pakaian, acara sambutan agama, pergaulan dan berurusan dalam perdagangan.

Kami berpendapat rakyat Malaysia memang perlu akui bahawa menjaga keharmonian antara kaum dan agama amat penting. Dengan tidak bermaksud untuk mengenepikan syariat atau sebarang hukum agama Islam, setiap penda'wah harus berhikmah dalam menyatakan pandangan secara terbuka bila menyentuh isu perhubungan antara masyarakat Islam dengan bukan Islam.

Ini tidak samasekali bermakna Islam harus tunduk kepada orang bukan Islam dalam menentukan peraturan hidup orang Islam. Islam tidak boleh dicorakkan berdasarkan restu orang bukan Islam.

Akan tetapi ucapan secara terbuka bila menyentuh soal budaya harian orang bukan Islam yang tidak tepat atau dibicarakan secara rambang akan mencetuskan reaksi negatif dan kemarahan mereka. Sebagaimana orang Islam punya sensitiviti demikian juga penganut agama dan kaum lain ada juga sensitiviti mereka. Inilah garis pemisah yang telah ditetapkan oleh Al Quran dalam Surah Al Kafirun.

Oleh kerana itu adalah sangat diperlukan agar semua penda'wah tahu bagaimana Islam dapat dipertahankan kemurniannya dan dalam masa yang sama mahu memberi gambaran masyarakat Islam boleh hidup harmonis dengan masyarakat bukan Islam.

Kami memberi perhatian berat terhadap kecenderungan polarisasi kaum dan agama di negara ini yang sudah dibina selama 60 tahun. Islam sebagai agama resmi adalah tonggak negara manakala penganut agama lain dibenarkan mengamalkan agama masing-masing.

Dari prinsip ini kita memelihara keharmonian antara agama di negara ini dengan sebaik mungkin.

Kami menyeru semua pihak terutama ahli agama dapat mencari titik temu yang terbaik dan berhemah dalam menjaga keharmonian antara kaum dan agama sekaligus dapat menunjukkan keindahan Islam kepada masyarakat bukan Islam.

Perbedaan pendapat antara tokoh agama secara terbuka perlu dielakkan agar tidak timbul kekeliruan dan akhirnya membawa polimik yang berpanjangan diperingkat masyarakat. Menyatakan kebenaran adalah prinsip , akan tetapi bagaimana ia disampaikan dan mengambil contoh dari sesuatu yang menjadi perdebatan awam perlu dibicarakan dengan bijak.

Isu yang pernah dibahaskan didalam majlis fatwa yang resmi seharusnya menjadi panduan dan jika ada khilaf seharusnya dibicarakan dalam majlis yang tertutup agar tidak mencetuskan kekeliruan. – HARAKAHDAILY 13/10/2017