Pusat janji bantu RM7 juta setelah p’raya hampir tiba

Nasional
Typography

BERIKUT adalah maklum balas berhubung laporan akhbar Sinar Harian bertarikh 13 September 2017 tentang cadangan membaikpulih Flat Desa Perangsang, Tmn Medan, Petaling Jaya oleh Kerajaan Persekutuan dengan kos RM7 juta.

Flat Desa Perangsang mempunyai 7 buah blok. Ia dibangunkan oleh pemaju swasta dan bukan pemaju yang ada kaitan dengan Kerajaan Negeri Selangor (PKNS), seperti yang didakwa oleh berita tersebut.

Flat Desa Perangsang adalah salah satu pemajuan darI lebih 100 pemajuan di kawasan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).

Kerajaan Negeri Selangor telah memberi bantuan pembaikan melalui Skim Baikpulih Negeri Berkebajikan (CERIA) kepada flat itu sejak 2011, setahun selepas Skim CERIA dilancarkan pada 2010.

Antara bantuan yang telah diberikan kepada Flat Desa Perangsang ialah pembaikan enam buah lif (RM119,686.00), pembaikan tangki air (RM114,904) dan pembaikan pagar (RM204,315.00).

Jumlah keseluruhan bantuan yang telah diberikan kepada Flat Desa Perangsang ialah RM438,905.

Jumlah besar peruntukan yang telah dibelanjakan untuk seluruh negeri Selangor di bawah Skim CERIA sejak 2010 adalah RM85.356 juta yang meliputi bantuan pembaikan bagi 263 pembangunan berstrata.

Kerajaan negeri akan sentiasa komited dalam membantu penduduk dan mengucapkan ribuan terima kasih di atas keprihatinan Kerajaan Pusat untuk membantu penduduk Flat Desa Perangsang di Dun Taman Medan.

Kerajaan negeri berharap agar pembaikan dapat dijalankan dengan segera tanpa menunggu tarikh pilihan raya kerana ia sangat penting untuk membantu penduduk di Flat Desa Perangsang.

Kerajaan negeri membantu rakyat sepanjang masa dan bukan bila pilihan raya hampir tiba sepertimana Kerajaan Persekutuan.

Dato' Iskandar Abdul Samad
Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan Dan Kehidupan Bandar Negeri Selangor
13 September 2017 - HARAKAHDAILY 13/9/2017