20
Mon, May
17 Artikel Baru

Henti sandiwara, telus tangani masalah ternakan babi

Nasional
Typography

1. KERAJAAN Negeri Melaka yang diterajui Umno-BN dilihat hanya bersandiwara dalam mengurus isu-isu berkaitan penternakan babi di negeri itu menyebabkan masalah terus berpanjangan. Hingga kini nampaknya ia sekadar berlegar di atas kertas dan media biarpun telah menjangkau sekitar 40 tahun lamanya tanpa penyelesaian komprehensif dan bersepadu.

2. Bahkan, timbul persoalan dan keraguan yang cukup banyak setelah pelbagai kesan sampingan yang timbul secara nyata. Antaranya pencemaran bau dan air melibatkan Sungai Tuang dan Pantai Teluk Gong akibat dari sisa kumbahan najis babi. Juga mengotorkan persisiran pantai dari Pengkalan Balak ke Kuala Linggi sepanjang 24 kilometer.

3. Ia menyebabkan penduduk sekitar terpaksa menghadapi aroma busuk menusuk hidung itu, kerana tempoh masa teramat lama menyebabkan mereka telah lali dengannya. Ia turut menjejaskan perusahaan lain termasuk sektor pelancongan yang menjadi keutamaan negeri Melaka. Selain menyebabkan aktiviti perikanan dan nelayan langsung tidak relevan di situ.

4. Apatah lagi pihak berautoriti lain turut mengakui, antaranya Jabatan Veterinar Melaka menyatakan, daripada 36 kandang babi yang direkodkan di seluruh negeri itu, hanya 14 kandang mematuhi kriteria penilaian ditetapkan. Pun begitu dilaporkan semua kandang babi tersebut beroperasi tanpa lesen yang sah dan tidak mengikut prosedur operasi standard sejak sekian lama.

5. Namun, kerajaan tetap juga tidak menangani serta mengambil tindakan sewajarnya walaupun telah meluluskan banyak undang-undang dan perlesenan berhubung perusahaan dan penternakan sejak tahun 1980 lagi. Malah, meluluskan pula peruntukan kewangan RM50 juta bagi tujuan membangunkan Ladang Babi Moden di Paya Mengkuang. atas tanah 50 ekar.

6. Tetapi hingga kini pihak kerajaan belum pernah mengadakan perbincangan dengan para penternak terbabit mengenai pelan yang akan dilaksana pada tahun 2018 di atas tanah seluas 50 ekar itu. Tiba-tiba pada 1 Jun lalu, Ketua Menteri, Dato’ Seri Idris Haron sendiri mengarahkan semua pengusaha kandang babi menandatangani akuan bersumpah untuk menyelesaikan permasalahan berkaitan.

7. Arahan tersebut sebenarnya membuktikan pihak kerajaan tahu masalah yang berlaku adalah serius, tetapi masih bersikap acuh tidak acuh. Malah, bagai satu gimik dan lakonan yang mungkin dipengaruhi sentimen pilihan raya tidak lama lagi. Juga berbaur ugutan, sedangkan penguatkuasaan tidak berlaku selama ini. Apakah kerana berselindung di sebalik kepentingan tertentu?

8. Kita khuatir peruntukan kewangan turut lesap ke lain dan selepas pilihan raya nanti keadaan akan kekal seperti itu di mana penduduk terus dimainkan janji. Para penternak pula terus berada dalam ketidakpastian dan alam sekitar tetap ternoda dengan impak lebih buruk dan menjijikkan. Ia sekali gus kontradik dengan usaha keindahan, kebersihan dan kecantikan yang diusahakan bagi negeri bersejarah itu.

9. Demikian itu kami menggesa agar kerajaan negeri telus dan jujur dalam menyelesaikan isu berlarutan ini dengan melaksanakan peruntukan sedia ada ke arah kesejahteraan semua pihak. Selain menghindari kemungkinan buruk seperti pencemaran dan penyakit bawaan babi sebagaimana JE di Bukit Pelanduk, Negeri Sembilan suatu masa dahulu.

“Sejahtera Bersama Islam”
“Mara Menuju Cita”

NAZMAN CHE IBRAHIM
Pengerusi Lajnah Pekerja, Pengguna dan Alam Sekitar Dewan Pemuda PAS Malaysia
5 Jun 2017 | 10 Ramadan 1438 - HARAKAHDAILY 5/6/2017