19
Fri, Jul
46 Artikel Baru

AG digesa bentang kertas siasatan Skandal SRC

Nasional
Typography

PADA 11 Mac 2015, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Nancy Shukri di Dewan Rakyat mendedahkan bahawa Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah hanya menerima bayaran berjumlah RM1,000 sebagai Ketua Pendakwa Raya dalam kes membabitkan Penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata pendedahan jumlah bayaran berkenaan dibuat selepas persetujuan oleh Jabatan Peguam Negara dan Shafee.

Ketika itu dan sehingga kini, rakyat sudah tertanya-tanya mungkinkah bayaran kepada Shafee sebegitu murah?

Kerana itu, dakwaan terbaru bahawa terdapat transaksi dana RM9.5 juta daripada syarikat SRC International disalur Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak daripada akaun peribadinya ke dalam akaun peribadi Shafee sangat menarik perhatian rakyat dan menular dengan mudah.

Sekiranya perkara ini dibiarkan, PAS bimbang tuduhan ini akan menjadi semakin tular dan benar di minda rakyat, kerana penjelasan bahawa Shafee hanya dibayar RM1,000 sebagai Ketua Pendakwa Raya dalam kes Anwar sememangnya susah diterima rakyat.

Oleh itu, PAS menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Bank Negara dan Lembaga Hasil Dalam Negara untuk campurtangan di dalam isu ini demi menjaga nama baik negara kerana PAS percaya PM dan Shafee akan terus membisu terhadap tuduhan yang tular ini.

Perkara ini sangat mudah disiasat kerana ia melibatkan transaksi pada jumlah yang besar iaitu RM9.5 juta antara dua individu. Sekiranya tuduhan itu benar, jawapannya ya, sekiranya tuduhan itu tidak benar, jawapannya tidak.

SPRM boleh berkongsi Kertas Siasatan SPRM ke atas skandal SRC RM42 juta kepada Bank Negara dan Lembaga Hasil Dalam Negara untuk mempercepatkan siasatan.

Sekiranya terdapat transaksi itu, di mana datangnya sumber duit itu dan apakah duit itu telah dibayar cukai?

Selain itu, PAS juga menggesa Peguam Negara membentangkan Kertas Siasatan SPRM ke atas skandal SRC RM42 juta ke dalam akaun PM Najib kepada umum.

PAS yakin dua cadangan di atas pasti dapat membersihkan nama baik PM dan Shafee memandangkan Peguam Negara berkata kertas siasatan itu menunjukkan tiada kes untuk mendakwa PM.

TUAN IBRAHIM TUAN MAN
Timbalan Presiden PAS
5 Jun 2017 – HARAKAHDAILY 5/6/2017