15
Tue, Oct
14 Artikel Baru

Selamat Hari Pekerja

Nasional
Typography

MANALAH dunia ini tanpa pekerja? Setiap bangunan, makanan, infrastruktur, sistem elektronik, kenderaan dan sebagainya tidak mungkin ada tanpa pekerjanya.

Idea sehebat manapun, kalau tanpa sekumpulan pekerja untuk melaksanakannya, ia tidak akan menjadi realiti.

Realitinya, dunia berhutang pada setiap pekerja yang mencari nafkah.

Sambutan Hari Pekerja hari ini diraikan dalam suasana suram yang menyelubungi semua pekerja di semua sektor swasta dan kerajaan.

Di sektor swasta, rakyat mula gusar apabila terbaca berita demi berita syarikat yang menutup operasi di negara ini dan akibatnya ribuan rakyat hilang pekerjaan.

Di sektor kerajaan pula bahang kekangan kewangan semakin dirasai di semua jabatan. Pihak universiti tertekan kurangnya dana untuk melaksanakan tugas asas seperti penyelidikan.

Ini menyebabkan bertambahnya bebanan tugas kepada pekerja. Realitinya, rakyat berasa ekonomi sedang meleset tapi malangnya kerajaan merasakan ekonomi sedang bertambah baik.

Jurang ekonomi kaya antara miskin saban hari semakin menjurang. Ini bukti kegagalan sistem kapitalis yang melahirkan golongan kaya bertambah kaya manakala golongan miskin akan terus menderita.

Sambutan Hari Pekerja hari ini menuntut perubahan bagi melahirkan suasana pekerja yang kondusif, berketerampilan dan wibawa.  

Ia tidak terhad kepada aspek fizikal, mental bahkan juga spiritual.

Kita perlu perkasakan kakitangan kerajaan dan swasta bagi membawa perubahan kepada masa depan politik negara ini.

Bangsa yang berjiwa besar adalah bangsa yang menghargai buruh. Semua pekerjaan yang mengangkat kemanusiaan perlu dimartabatkan.

Selamat Hari Pekerja.

Tuan Ibrahim Tuan Man
Timbalan Presiden PAS
1 Mei 2017 - HARAKAHDAILY 1/5/2017