15
Tue, Oct
14 Artikel Baru

Ada lagi ke chai muktamar di Kedah?

Nasional
Typography

KETIKA proses pengundian dijalankan bermula jam 3 petang tadi, perwakilan yang layak mengundi kelihatan beratur panjang. Mereka berbaris panjang menunggu giliran untuk membuang undi.

Bermula dari dalam Dewan Datuk Mohd Fadzil Mohd Noor sehingga ke tingkat satu, tempat pembuangan undi berlangsung. Hampir jam 6 petang masih ada perwakilan yang  beratur di tangga untuk naik ke tingkat atas.

Pengundian secara elektronik (e-voting)  hanya membenarkan 10 orang bagi satu kumpulan untuk masuk ke bilik tempat mengundi. Kaedah mengundi secara e-voting pertama kali diperkenalkan PAS.

Biar pun ramai perwakilan yang merungut kerana terpaksa beratur panjang, namun mereka tetap menunai tanggungjawab bagi memilih pemimpin untuk membantu Presiden Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan timbalannya Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man bagi mengemudi parti sesi 2017-2019.

Empat calon bertanding merebut kerusi Naib Presiden. Tiga calon mempertahankan jawatan iaitu Ustaz Idris Ahmad, Datuk Mohd Amar Abdullah dan Datuk Iskandar Abdul Samad.

Bekas ketua penerangan Ustaz Nasruddin Hassan turut mencuba mengintai peluang menduduki kerusi nombor tiga.

Manakala 26 calon menawarkan diri bertanding bagi menduduki 18 kerusi anggota jawatankuasa PAS Pusat bagi sesi baharu.

Ketika pengundian dijalankan muktamar ditangguh dan akan bersidang jam 8.30 pagi esok.

Biarpun ada rungutan kaedah baru pengundian, namun proses itu berjalan lancar selepas diberi penjelasan oleh Setiausaha Lembaga Pemilihan PAS, Wan Rohimi Wan Daud.

Tumpuan perwakilan sekarang hanya terarah kepada siapa yang akan mengekalkan kerusi naib presiden, memandangkan empat pemimpin yang dicalon ada kewibawaan tersendiri.

Kesemua mereka wakil rakyat, di mana dua sebagai anggota parlimen dan dua lagi Adun.

Rentak pemilihan mungkin berdasar kepada negeri iaitu Kelantan, Pahang, Selangor dan Perak.

Namun bagi PAS Kubang Kerian tiada perkiraan awal dibuat bagi memilih sesiapa sahaja untuk menduduki kerusi naib presiden. Yang Dipertuanya, Ustaz Abdul Rahman Yunus  berkata, beliau dan perwakilan tidak pernah berbincang mengenai siapa yang mahu dipilih.

“Kita beri kebebasan kepada perwakilan bagi menentukan siapa yang mereka fikir layak. Ini kerana empat calon yang disenarai ada kelebihan  masing-masing,” katanya di sini.
 
Tiada senarai chai
 
Tidak lagi kedengaran ada chai seperti yang cuba digambarkan pihak yang tewas pada pemilihan dua tahun lepas. Malah penulis pun tidak menjumpai ada senarai chai seperti yang cuba digambarkan pada 2015.

Tiada pula helaian chai yang boleh ditemui di kerusi perwakilan atau mana-mana tempat di Dewan Datuk Fadzil Mohd Noor. Apapun yang jelas isu chai hanya timbul apabila ada pihak yang merasakan cukup hebat, namun tidak dipilih perwakilan.

Sistem e-voting seperti yang diberitahu Wan Rohimi, perwakilan boleh menukar pilihan untuk kali kedua sebelum menghantar undi kepada sistem. Selepas pilihan dibuat di skrin komputer, ia akan dicetak dikertas sebelum dimasukkan ke dalam tong disediakan.

“Keputusan pemilihan itu hanya akan dibuat pada hari terakhir muktamar,” katanya pada taklimat sebelum pengundian dijalankan petang tadi.

Keputusan pemilihan itu tentunya dinanti dengan alunan debar oleh perwakilan. Ini antara segmen menarik yang dibiarkan ternanti-nanti pada muktamar di Kota Sarang Semut.

Debaran yang kedua, tentunya berkaitan usul yang digeger di seluruh negara sebelum  ini tentang tahaluf siyasi dengan PKR.

Kata Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Datuk Dr Mahfodz Mohamad, terdapat lebih 30 PAS kawasan yang melulus usul tersebut pada mesyuarat yang diadakan sebelum ini.

Isu tersebut seakan-akan menjadi fokus utama pada muktamar kali ini. Namun apa yang berlaku pada hari pertama muktamar tadi, isu itu seolah-olah dibiarkan tenggelam.

Tiada disebut pada ucapan dasar Presiden yang bertema Sejahtera Bersama Islam. Sebanyak 83 paragraf ucapan tersebut, Tuan Guru Abdul Hadi tidak menyentuh secara langsung mengenai tahalus siyasi dengan PKR.

Pada ucapan terbabit  Presiden mengajak perwakilan menyedari dan memahami realiti halangan dan kelebihan yang ada di hadapan kita.

“Malah PAS amat menyedari kepelbagaian rakyat yang ada dalam negara bernama Malaysia ini,” katanya.

Mesej ucapan dasar itu memperlihatkan kepelbagaian rakyat di negara kita perlu diambil kira dalam merencana perubahan, pembangunan fizikal dan spiritual.

Dan sekiranya kita amati pula penjelasan dibuat Dr Mahfodz ketika penggulungan muktamar Dewan Ulama Khamis lepas, ia menjelaskan lagi situasi itu.

Kata beliau, Majlis Syura Ulama sudah membuat kajian berkaitan tahaluf siyasi dengan PKR  selepas usul mengenainya ditimbul pada muktamar lepas. Dan sekarang hanya keputusan sahaja belum dinukilkan.

Kemudian penegasan dapat dibayangkan apabila Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat, Datuk Dr Khairuddin Aman Razali menyebut hanya Majlis Syura Ulama yang boleh memutuskan berkaitan tahaluf siyasi berdasar perlembagaan parti.

Mesej-mesej yang dihantar tersebut seakan-akan memberi gambaran, biarpun usul tahaluf dengan PKR dibincang esok atau lusa, namun kata pemutus berada di genggaman Majlis Syura. – HARAKAHDAILY 29/4/2017

e voting 2

e voting 1