19
Thu, Sep
52 Artikel Baru

Selamat kembali ke Tanah Air buat Dhuyufur Rahman

Nasional
Typography

DEWAN Muslimat PAS Malaysia berbesar hati mengucapkan ‘Selamat Kembali’ buat semua tetamu Allah S.W.T yang telah selesai melaksanakan Rukun Islam kelima, ibadah haji.

Penerbangan pulang pertama jemaah haji dijadual akan tiba pada hari ini Isnin, 19 Ogos 2019, manakala penerbangan terakhir adalah pada 13 September 2019.

Subhanallah! Pastinya perasaan bercampur-baur untuk kembali ke tanah air, setelah puas mengerjakan ibadah haji dan merasai ketenangan dan keseronokan beribadah. Sedih meninggalkan bumi suci Makkah, dalam masa sama berasa gembira untuk bertemu semula keluarga tersayang yang tak pernah putus berdoa dan menanti kepulangan.

Kami Muslimat PAS mendoakan seluruh Jemaah haji akan selamat tiba di Malaysia seterusnya pulang ke pangkuan keluarga. Semoga ibadah haji kalian diterima oleh Allah S.W.T dan mendapat haji yang ‘mabrur’.

Sabda Rasulullah S.A.W, riwayat Bukhari dan Muslim bermaksud:

“Sesiapa yang melakukan ibadah haji ke Baitullah dengan tidak mengucapkan perkataan keji, tidak berbuat fasik, dia akan kembali ke negerinya dengan fitrah jiwanya yang suci ibarat bayi baru lahir daripada perut ibunya.”

Mudah-mudahan dhuyufur Rahman yang kembali ke tanah air dapat istiqamah dalam beramal, menjaga diri daripada melakukan perkara yang dilarang oleh Allah S.W.T dan menjadikan lafaz talbiah yang pernah dituturkan sebagai pendorong dan motivasi untuk menjadi hamba-Nya yang bertakwa.

Tidak dilupakan juga bagi jemaah haji yang diuji dengan gangguan kesihatan seperti demam, batuk atau selsema hendaklah bersegera mendapatkan rawatan perubatan di premis-premis kesihatan. Kebiasaannya serangan jangkitan MERSCOV sering terjadi kepada jemaah haji yang baru pulang dari Tanah Suci. Di samping terus-menerus mengamalkan gaya hidup sihat dan minum air secukupnya bagi mengelak masalah dehidrasi yang berpanjangan.

Di kesempatan ini juga, kami mendoakan semua yang menyimpan impian dan sedang berusaha mengumpul duit untuk mengerjakan ibadah, agar dipermudahkan urusan dan dikurniakan rezeki untuk ke sana suatu hari nanti.

YB SENATOR USTAZAH NURIDAH MOHD SALLEH
Ketua
Dewan Muslimat PAS Malaysia
19 Ogos 2019 bersamaan 18 Zulhijjah 1440 - HARAKAHDAILY 19/8/2019

IMG 20190819 WA0009