17
Tue, Sep
38 Artikel Baru

Melayu bersatu: Ulasan tambahan

Nasional
Typography

PADA 9 Julai 2019 saya menaikmuatkan rencana saya “Melayu Bersatu: Ulasan Ke Atas Pelawaan Tun Dr. Mahathir.” Rencana itu turut disiarkan oleh Bebasnews, Ismaweb dan Malaysiakini. Dalam rencana itu saya bincang cadangan Tun Dr Mahathir daripada dua perspektif:

1. Tawaran itu ditujukan kepada ahli-ahli parti Melayu supaya menyertai Bersatu.

2. Tawaran itu ditujukan kepada parti-parti Melayu untuk bergabung dengan Bersatu.

Saya katakan bahawa penggabungan parti-parti Melayu dengan Bersatu tidak boleh berlaku selagi Bersatu berada di dalam PH.

Sehari kemudian, pada 10 Julai 2019, Tun Dr Mahathir mengeluarkan kenyataan menjelaskan bahawa pelawaannya itu ditujukan kepada ahli-ahli parti-parti Melayu untuk menyertai Bersatu.

Saya tidak fikir beliau ada masa atau mempeduli untuk membaca rencana saya. Tetapi, alasan-alasan beliau bahawa pelawaan itu bukan ditujukan kepada parti-parti Melayu adalah sama dengan masalah-masalah yang saya bangkitkan jika ia ditujukan kepada parti-parti Melayu.

Maka, jelaslah sekarang bahawa pelawaan beliau adalah kepada ahli-ahli parti Melayu untuk menyertai Bersatu, lebih-lebih lagi supaya ahli-ahli Parlimen melompat kepada Bersatu.

Selama ini, perbuatan ahli-ahli Parlimen dan Dun melompat parti dipandang sebagai satu perbuatan tidak bermoral. Ia dilakukan oleh orang-orang yang opportunis. Jika ada parti yang mempelawa mereka melompat pun, ia dilakukan diam-diam. Ini adalah kali pertama dalam sejarah politik Malaysia, pelawaan itu dibuat secara terbuka. Sama ada ia memalukan atau tidak, bermoral atau tidak, saya serahkan kepada pembaca.

Adalah jelas sekarang bahawa sebab beliau berbuat demikian adalah seperti yang dijangka: untuk menguatkan kedudukan beliau dan parti beliau dalam PH.

Apakah kemungkinan reaksi PKR dan DAP? Sebelum ini pun kedua-dua parti itu tidak senang dengan tindakan ahli-ahli Parlimen Umno melompat masuk ke dalam Bersatu. Biar apa pun alasan yang mereka beri, sebab sebanarnya ialah mereka tidak mahu Bersatu mempunyai lebih banyak ahli Parlimen daripada mereka. Saya percaya pendirian mereka tidak berubah.

Walau bagaimanapun, saya tidak fikir ia akan berjaya menyatukan orang Melayu dan memperkuatkan politik orang Melayu di bawah Bersatu, di dalam PH. Sebabnya, orang Melayu, yang berparti atau tidak berparti, tidak akan berduyun-duyun memasuki Bersatu selagi Bersatu berada di dalam PH dan DAP juga berada di dalamnya. Lagi pula, selagi DAP berada di dalam PH, kita tidak boleh mengharapkan PH akan berbuat sesuatu untuk mempertahankan hak-hak orang Melayu dan kedudukan agama Islam.

Mungkinkah ahli-ahli Parlimen Umno menyahut pelawaan itu? Kita tunggu dan lihat sahajalah. – HARAKAHDAILY 11/7/2019