19
Wed, Jun
24 Artikel Baru

Al-Kahfi: Imuniti fitnah Dajjal akhir zaman (21)

Nasional
Typography

وَٱصۡبِرۡ نَفۡسَكَ مَعَ ٱلَّذِينَ يَدۡعُونَ رَبَّهُم بِٱلۡغَدَوٰةِ وَٱلۡعَشِيِّ يُرِيدُونَ وَجۡهَهُۥۖ وَلَا تَعۡدُ عَيۡنَاكَ عَنۡهُمۡ تُرِيدُ زِينَةَ ٱلۡحَيَوٰةِ ٱلدُّنۡيَاۖ وَلَا تُطِعۡ مَنۡ أَغۡفَلۡنَا قَلۡبَهُۥ عَن ذِكۡرِنَا وَٱتَّبَعَ هَوَىٰهُ وَكَانَ أَمۡرُهُۥ فُرُطٗا

"Dan jadikanlah dirimu sentiasa berdamping rapat dengan orang-orang yang beribadat kepada Tuhan mereka pada waktu pagi dan petang, yang mengharapkan keredaan Allah semata-mata; dan janganlah engkau memalingkan pandanganmu daripada mereka hanya kerana engkau mahukan kesenangan hidup di dunia; dan janganlah engkau mematuhi orang yang Kami ketahui hatinya lalai daripada mengingati dan mematuhi pengajaran Kami di dalam Al-Quran, serta ia menurut hawa nafsunya, dan tingkah-lakunya pula adalah melampaui kebenaran."


Penekanan utama ayat:

●      Sabar

Sabar secara istilah bermaksud menahan diri daripada melakukan perkara yang diharamkan oleh Allah Taala. Sabar bukan bererti semata-mata pasif atau tidak menunjukkan tindak balas atas sesuatu. Sekiranya seorang lelaki tidak mengambil tindakan terhadap isteri yang derhaka, itu bukan sabar tetapi dayus. Sekiranya seseorang memarahi orang yang menghina Islam, itu bukanlah bermaksud mereka tidak sabar.

●     Bersama penyeru tuhan

Tuhan perintahkan kita bersabar bersama dengan mereka yang berada di jalan Islam dengan ikhlas. Orang seperti ini jarang memberikan kita keuntungan dari sudut keduniaan. Justeru kesabaran sangat diperlukan dalam menahan diri daripada kemurkaan Allah demi bersama mereka.

●     Hiasan dunia

Sebagaimana dinyatakan sebelum ini, seluruh makhluk adalah kejadian Allah yang indah. Ia menjadi perhiasan walau sejijik dan sehina manapun pada pandangan manusia. Hiasannya bukan sahaja meliputi material, tetapi merangkumi seluruh kenikmatan termasuk perkara yang bersifat metafizik seperti kemasyhuran, kebijaksanaan dan sebagainya.

●     Lalai

Menurut ilmu tasawuf, setiap perkara yang dilakukan tanpa mengingati Allah adalah satu kelalaian. Dengan kejadian manusia, agak mustahil manusia boleh hidup dengan mengingati Allah setiap masa. Lalai pada asasnya tidaklah berdosa. Namun sekiranya ia tidak diubati, boleh membawa seseorang lupa batas halal dan haram lalu menjerumuskan ke lembah dosa.

●     Ikut hawa nafsu

Terdapat perbezaan antara hawa dan nafsu. Hawa merupakan dorongan diri sama ada ke arah kebaikan atau kejahatan. Nafsu pula merujuk kepada diri manusia sendiri secara umum. Boleh diterjemahkan sebagai jiwa. Hawa adalah salah satu elemen jiwa.

Dorongan hawa bergantung kepada bagaimana manusia mendidik jiwanya. Jika banyak diisi dengan panduan agama, maka hawa akan mendorong kearah kebaikan dan membenci maksiat. Begitulah sebaliknya.

Ibrah akhir zaman:

Ayat ini adalah kesinambungan daripada ayat terdahulu, yang menjadi sebahagian daripada resolusi kisah Ashabul Kahfi. Secara lebih spesifik, ayat ini membicarakan mengenai wala' sesama orang beriman. Ianya adalah tuntutan Islam selari firman Allah S.W.T:

وَلِيُّكُمُ اللَّهُ وَرَسُولُهُ وَالَّذِينَ آمَنُوا الَّذِينَ يُقِيمُونَ الصَّلَاةَ وَيُؤْتُونَ الزَّكَاةَ وَهُمْ رَاكِعُونَ

"Sesungguhnya tempat kamu berwala' hanyalah 1.Allah, dan
2.RasulNya, serta
3.orang-orang yang beriman, yang mendirikan sembahyang, dan menunaikan zakat, sedang mereka rukuk (tunduk menjunjung perintah Allah)."

[al-Ma'idah: 55]

Wala' adalah elemen penting jati diri muslim sejati. Menerusi ayat di atas, ia difokuskan kepada tiga arahan penting:

1.    Sabar bersama anggota jemaah yang ikhlas memperjuangkan Islam.

Kesabaran diperlukan kerana bersama dengan jemaah Islam mengundang ujian yang pelbagai. Golongan ikhlas ini tidak mencari dunia, maka bersama dengan kumpulan ini mencabar jiwa-jiwa yang lemah dengan godaan dunia, lalu sabar adalah suatu yang perlu.

Kesabaran perlu senantiasa dibajai kerana jalan juang ini sifatnya panjang dan penuh duri. Konsepnya adalah berbentuk multi hala di mana semua anggota jemaah berpesan supaya sabar. Firman Allah S.W.T:

ثُمَّ كَانَ مِنَ ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ وَتَوَاصَوۡاْ بِٱلصَّبۡرِ وَتَوَاصَوۡاْ بِٱلۡمَرۡحَمَةِ

"Kemudian adalah di kalangan orang beriman itu mereka juga berpesan-pesan dengan sabar serta berpesan-pesan dengan kasih sayang."

[al-Balad:17]

Juga firman Allah S.W.T: 

إِلَّا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ وَعَمِلُواْ ٱلصَّٰلِحَٰتِ وَتَوَاصَوۡاْ بِٱلۡحَقِّ وَتَوَاصَوۡاْ بِٱلصَّبۡرِ

"Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar."

[al-Asr: 3]

2.    Jangan pandang sebelah mata kepada mereka hanya kerana menginginkan habuan dunia.

Musuh Islam di luar sana senantiasa mencari peluang merosakkan jemaah Islam. Mereka akan tawarkan habuan dunia baik dari segi takhta, harta mahupun keseronokan yang lain supaya anggota jemaah ini tergoda lalu meninggalkan wala' sesama orang beriman. Ia adalah bentuk rasuah agama yang ditegah oleh Nabi S.A.W menerimanya. Sabda Baginda:

خُذُوا الْعَطَاءَ مَا دَامَ عَطَاءً ، فَإِذَا صَارَ رِشْوَةً عَلَى الدِّينِ فَلا تَأْخُذُوهُ ,

"Ambillah pemberian selagimana ia adalah pemberian. Tetapi apabila ia menjadi rasuah terhadap agama maka janganlah mengambilnya."

[HR Thabrani]

3.    Jangan mentaati mereka yang tidak berada di jalan Allah.

Tawaran dunia ataupun rasuah agama yang dilakukan oleh musuh Islam bertujuan bagi mengubah wala' orang beriman daripada sesama mereka kepada pihak lain yang tidak berjuang atas matlamat Islam. Sejarah telah menunjukkan betapa banyak jemaah dan individu yang rosak kerana termakan budi atau terperangkap dengan tawaran dunia yang mereka terima.

Itulah juga modus operandi Dajjal. Menggunakan habuan dunia untuk menarik penganut Islam menjadi penganutnya. Bermula daripada lemahnya jiwa daripada godaan dunia, boleh membawa kepada kufur kepada Allah.

Namun gejala akhir zaman, Nabi ceritakan bagaimana umat ini tidak lagi cermat dalam keluar masuk kewangan mereka. Sabda Rasulullah S.A.W:

يأتِيَنَّ عَلَى النَّاسِ زَمانٌ لاَ يُبَالِي المَرءُ بِمَا أَخَذَ المالَ أَمِنْ حَلالٍ، أمْ مِنْ حَرامٍ

"Akan tiba masanya manusia tidak mepedulikan harta yang mereka perolehi, sama ada halal atau haram."

[HR Bukhari]

Kadang-kadang golongan yang ingin menghalalkan penerimaan daripada sumber yang boleh menggugat wala' ini beralasankan maqasid penerimaan kerana nak lawan musuh Islam, atas tujuan dakwah dan sebagainya. Sedangkan Nabi S.A.W telah menegaskan:

مَنِ اكْتَسَبَ مَالاً مِنْ مَأْثَمٍ فَوَصَلَ بِهِ رَحِمَهُ، أَوْ تَصَدَّقَ بِهِ، أَوْ أَنْفَقَهُ فِي سَبِيلِ اللهِ؛ جُمِعَ ذلِكَ كُلُّهُ جَمِيعًا فَقُذِفَ بِهِ فِي جَهَنَّمَ

"Barangsiapa yang mengambil harta daripada jalan dosa, maka dia gunakan untuk menghubung silaturahim, bersedekah atau menginfakkannya di jalan Allah, maka Allah akan himpunkan semua itu kembali lalu dihumban ke atasnya di neraka Jahannam!"

[HR Munziri]

(ALANG IBN SHUKRIMUN) - HARAKAHDAILY 26/5/2019