19
Wed, Jun
26 Artikel Baru

Al-Kahfi: Imuniti fitnah Dajjal akhir zaman (18)

Nasional
Typography

وَلَا تَقُولَنَّ لِشَاْيۡءٍ إِنِّي فَاعِلٞ ذَٰلِكَ غَدًا

"Dan janganlah engkau berkata mengenai sesuatu (yang hendak dikerjakan): "Bahawa aku akan lakukan yang demikian itu, esok"."

إِلَّآ أَن يَشَآءَ ٱللَّهُۚ وَٱذۡكُر رَّبَّكَ إِذَا نَسِيتَ وَقُلۡ عَسَىٰٓ أَن يَهۡدِيَنِ رَبِّي لِأَقۡرَبَ مِنۡ هَٰذَا رَشَدٗا
"Melainkan (hendaklah disertakan dengan berkata): "Insya Allah". Dan ingatlah serta sebutlah akan Tuhanmu jika engkau lupa; dan katakanlah: "Mudah-mudahan Tuhanku memimpinku ke jalan petunjuk yang lebih dekat dengan kematangan berbanding ini"."


Penekanan utama ayat:

●      Zikir sepanjang hidup

Di dalam Islam, banyak diajar untuk melafazkan ucapan-ucapan tertentu ketika berhadapan situasi-situasi tertentu. Subhanallah ketika teruja, Alhamdulillah ketika menerima nikmat dan ketika bersin, Bismillah sebelum memulakan perkara baharu, Innalillah ketika ditimpa musibah dan banyak lagi. Termasuklah InsyaAllah jika berjanji. Hikmahnya supaya kita sentiasa mengingati Allah.

●     Bahana tidak ucap InsyaAllah

Sebab turun ayat ini adalah kerana ketika orang Yahudi bertanya Nabi 3 soalan. Nabi berjanji untuk menjawab keesokan hari dengan sangkaan bahawa wahyu Allah akan turun segera. Tetapi Baginda lupa menyatakan ucapan InsyaAllah. Lalu Allah tangguhkan jawapan sehingga 15 hari.

●     Jika lupa ucap

Seandainya kita lupa mengucapkan lafaz istithna' (InsyaAllah), dituntut kepada kita mengucapkan segera bila-bila masa kita kembali teringat selagi belum berlaku apa yang dijanjikan.

●     Hidayah dan matang

Tanda seseorang beroleh hidayah adalah mereka dikurniakan kematangan dalam berfikir. Kematangan dikaitkan dengan pandai membezakan yang benar dan yang salah. Untuk mencapai tahap kematangan, seseorang perlu berusaha menimba ilmu pengetahuan mengenai ajaran Islam. Ia tidak akan datang bergolek.

Ibrah akhir zaman:

Ayat ini mengajar umat supaya tidak melupakan tuhan dalam segala perbuatan. Apatah lagi dalam menghadapi akhir zaman yang sangat mencabar kini. Jangan terlalu yakin bahawa kita mampu hadapi tanpa perlu berharap kepada Ilahi. Kadang-kadang melihat kepada kekuatan dan persediaan kita menjadikan tawakkal mula luntur.

Sebagaimana yang dinyatakan pada bab terdahulu, ini adalah zaman kebangkitan Islam. Sekuat manapun Islam ditekan, namun ia tidak akan berjaya disekat. Akan tiba masanya ia kembali berada di atas. Walau bagaimanapun, kemenangan Islam itu ada formulanya tersendiri iaitu:

●     Kemenangan di sisi Allah. Firman Allah S.W.T:

وَمَا ٱلنَّصۡرُ إِلَّا مِنۡ عِندِ ٱللَّهِ ٱلۡعَزِيزِ ٱلۡحَكِيمِ

"Dan (ingatlah bahawa) pertolongan yang membawa kemenangan itu hanya dari Allah Yang Maha kuasa, lagi Maha Bijaksana."

[Aal-E-Imran:126]


●     Allah menolong mereka yang menolong agamaNya. Firman Allah S.W.T:

يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓاْ إِن تَنصُرُواْ ٱللَّهَ يَنصُرۡكُمۡ وَيُثَبِّتۡ أَقۡدَامَكُمۡ

"Wahai orang-orang yang beriman, kalau kamu membela (ugama) Allah nescaya Allah membela kamu (untuk mencapai kemenangan) dan meneguhkan tapak pendirian kamu."

[Muhammad: 7]


●     Allah menolong mereka yang bersama kumpulan orang beriman. Firman Allah S.W.T:

هُوَ ٱلَّذِيٓ أَيَّدَكَ بِنَصۡرِهِۦ وَبِٱلۡمُؤۡمِنِينَ

"Dia lah yang menguatkanmu dengan pertolonganNya dan dengan (sokongan) orang-orang yang beriman."

[Al-Anfal: 62]

Ayat al-Kahfi menunjukkan bahawa Allah boleh menangguhkan pertolongan sekiranya kita lupa padaNya. Mungkin inilah jawapan kenapa Islam masih ditindas dan gilirannya masih belum tiba. Mungkin masih ramai yang tidak bergantung kepada Allah S.W.T dalam setiap perencanaan. Walaupun apa yang dilakukan adalah demi Islam sebagaimana janji Nabi terhadap Yahudi juga adalah demi dakwah Islam, tetapi jalan yang tidak kena boleh menyebabkan pertolongan itu tertangguh.

Dalam sebuah hadis, ada lelaki yang mahu berhadapan dengan Dajjal bagi mematahkan hujah yang menyesatkan orang itu. Namun setelah berhadapan, lelaki ini boleh bertukar menjadi pengikut tegar Dajjal pula. Menggambarkan kita perlu sentiasa meletakkan kebergantungan kepada Allah walaupun sudah berada di jalan kebenaran.

Justeru pentingnya umat ini memahami Islam dengan sebenar-benar kefahaman. Jangan terpengaruh dengan semangat orang sekeliling tanpa asas ilmu, yang akhirnya menjadikan kita bukan sahaja tidak membantu kemenangan bahkan melambatkannya lagi.

Contohnya mereka yang kononnya pergi atas nama jihad ke Syria, Yaman dan sebagainya. Niat itu murni, namun tidak jelas siapa musuh siapa kawan. Akhirnya berlawan sesama Islam dipergunakan musuh. Sedangkan mengikut fiqh, tiada istilah jihad dalam perang saudara sesama Islam.

Hadis yang menyatakan tentang Syria bukan sahaja mengenai lokasi kubu al-Mahdi, tetapi juga lokasi tentera Sufyani dan tentera Bani Kilab yang memusuhi Islam. Bimbang yang pergi berjihad itu menjadi sebahagian tentera Sufyani tanpa sedar. Waliyazubillah.

(ALANG IBN SHUKRIMUN) - HARAKAHDAILY 24/5/2019 

FB IMG 1558711977551