19
Wed, Jun
26 Artikel Baru

Al-Kahfi: Imuniti fitnah Dajjal akhir zaman (15)

Nasional
Typography

إِنَّهُمۡ إِن يَظۡهَرُواْ عَلَيۡكُمۡ يَرۡجُمُوكُمۡ أَوۡ يُعِيدُوكُمۡ فِي مِلَّتِهِمۡ وَلَن تُفۡلِحُوٓاْ إِذًا أَبَدٗا

"Sesungguhnya, kalaulah mereka mengetahui hal kamu, tentulah mereka akan merejam (membunuh) kamu, atau mereka akan mengembalikan kamu kepada agama mereka (secara paksa); dan jika berlaku demikian, kamu tidak sekali-kali akan berjaya selama-lamanya".

Penekanan utama ayat:

●     Kezaliman

Tabiat penguasa bagi mengekalkan kekuasaan mereka adalah dengan memastikan ideologi yang mereka terapkan kepada rakyat tidak akan menggugat kuasa mereka. Oleh kerana Decius mahu supaya rakyat tunduk kepadanya, maka seluruh rakyat dipaksa menganut agama yang dicipta olehnya yang boleh dimanipulasi sesuka hati. Sekiranya ada yang membaca ideologi atau agama yang bercanggah, orang ini mesti disekat habis-habisan.

Hatta sebilangan penguasa Islam sendiri sengaja menanam doktrin-doktrin yang tidak berkait dengan Islam tetapi dijenamakan atas nama Islam demi survival kuasa. Istilah seperti Islam Hadhari, Maqasid Syariah dan Muslim Progresif nampak cantik, tetapi agendanya adalah doktrinisasi umat agar selari dengan aspirasi pemerintah.

●     Kufur atau mati

Dua pilihan yang umat ini perlu pilih pada kemuncak perjuangan Islam; kebahagiaan dunia dan kesengsaraan akhirat atau sebaliknya. Jarang pejuangnya diberi anugerah untuk menikmati kebahagiaan dunia dan akhirat, melainkan mereka terpaksa memilih dahulu kesusahan dunia. Sunnatullah perjuangan akan terus berulang hingga ke hari kiamat. Apa yang penting adalah kita mengetahui sama ada ingin mencontohi Yaasir dan Sumaiyyah ataupun Ammar.

●     Kejayaan hakiki

Di dalam ayat tersebut jelas merujuk mereka yang berpaling daripada agama Islam tidak akan beroleh kejayaan selama-lamanya. Menunjukkan kejayaan hakiki adalah kejayaan akhirat. Tiada guna umat Islam beroleh kesejahteraan hidup di dunia, tetapi mereka menggadaikan nasib hari akhirat. Orang yang bijak adalah mereka yang sentiasa muhasabah diri dan beramal untuk hari selepas mati.

Ibrah akhir zaman:

Ayat ini menegaskan bahaya kesan maklumat aktiviti kita didedahkan kepada musuh Islam. Sememangnya matlamat musuh Islam adalah supaya semua penganut agama ini meninggalkan Islam dan mengikut agama mereka. Firman Allah S.W.T:

وَلَن تَرۡضَىٰ عَنكَ ٱلۡيَهُودُ وَلَا ٱلنَّصَٰرَىٰ حَتَّىٰ تَتَّبِعَ مِلَّتَهُمۡۗ

"Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali akan bersetuju atau suka kepadamu (wahai Muhammad) sehingga engkau menurut ugama mereka."

[al-Baqarah: 120]

Juga firman Allah S.W.T:

وَلَا يَزَالُونَ يُقَٰتِلُونَكُمۡ حَتَّىٰ يَرُدُّوكُمۡ عَن دِينِكُمۡ إِنِ ٱسۡتَطَٰعُواْۚ

"Dan mereka (orang-orang kafir itu) sentiasa memerangi kamu hingga mereka (mahu) memalingkan kamu dari ugama kamu kalau mereka sanggup (melakukan yang demikian)."

[al-Baqarah: 217]

Justeru itu berpegang pada pesanan ayat sebelumnya supaya berhati-hati (وليتلطف) adalah satu kemestian. Umat Islam perlu menutup segala ruang dan peluang musuh daripada mengesan maklumat dan aktiviti umat Islam terutama sekali perkara yang melibatkan perancangan ke arah mengembalikan kekuasaan Islam oleh aktivis gerakan Islam.

Malangnya teknologi maklumat hari ini yang menjadi tunjang kepada IR4.0 makin menyukarkan kita untuk berpegang kepada kaedah kerahsiaan organisasi dan keterbukaan dakwah (سر التنظيم وعلانية الدعوة). Mesin, jentera dan peranti yang dijana melalui teknologi kecerdasan buatan (artificial intelligence) memerlukan jumlah data yang sangat banyak untuk berfungsi. Justeru ia memerlukan pengguna memberikan maklumat atau membenarkan peranti sendiri mengakses maklumat pengguna samada data peribadi atau log aktiviti harian.

Fenomena Internet of Things (IoT) pula menghubungkan mesin, peranti dan jentera yang kita gunakan dengan jaringan maklumat global. Mereka yang berada di US boleh mengetahui aktiviti seharian kita di Malaysia dengan maklumat yang dikumpul oleh jam pintar yang kita pakai. Data dari seluruh dunia boleh diakses oleh sesiapa sahaja melalui kemahiran Big Data.

Kemahiran Big Data termasuklah dari sudut pengumpulan data, simpanan, penyusunan, analisa, perkongsian dan banyak lagi. Ia amat membantu urusan perniagaan dalam menjangkakan kemahuan pengguna (bussiness intelligence). Namun dari satu segi yang lain, ia juga boleh digunakan bagi membaca trend politik malah boleh melibatkan soal keselamatan dan kedaulatan.

Seperkara yang perlu difahami, akses yang diberikan oleh pemilik perisian dan sistem mestilah tidak penuh sebagaimana yang mereka boleh akses. Soalnya sekarang, siapa yang memiliki dan membangunkan teknologi ini? Adakah orang Islam? Jika bukan, maka siapakah mereka?

Mujurlah hari ini, masih terdapat undang-undang yang melindungi maklumat dan data peribadi seseorang. Tetapi haruslah diingat, di saat huru-hara berlaku, tiada lagi peranan undang-undang dalam mengawal manusia. Maka selamatkah maklumat kita nanti?

Bukan itu sahaja, IoT boleh membenarkan sesuatu mesin, jentera dan peranti dikawal daripada jauh. Jika seseorang berniat jahat, mereka tidak perlu menghantar sebarang objek untuk melakukan sesuatu yang buruk terhadap kita. Cukup dengan mereka mengakses peranti kita daripada jauh, dan mereka boleh arahkan peranti tersebut berbuat apa sahaja mengikut kemampuan peranti tersebut.

Justeru perlu untuk umat Islam berhati-hati (وليتلطف) dalam berkongsi maklumat di internet atau menyerahkan kebenaran alses kepada sebarang aplikasi. Keghairan berkongsi apa sahaja di media sosial seperti lokasi, rancangan, aktiviti harian perlu dikawal sebaik mungkin. Liputan aktiviti gerakan Islam terutama yang melibatkan dalaman sama ada gambar mahupun video juga perlu untuk diminimakan, bimbang maklumat ini mempermudahkan musuh merencana agenda untuk meruntuhkan agama kita.

20 Mei 2019
15 Ramadhan 1440

(ALANG IBN SHUKRIMUN) - HARAKAHDAILY 20/5/2019