23
Thu, May
35 Artikel Baru

Al-Kahfi: Imuniti fitnah Dajjal akhir zaman (11)

Nasional
Typography

هَٰٓؤُلَآءِ قَوۡمُنَا ٱتَّخَذُواْ مِن دُونِهِۦٓ ءَالِهَةٗۖ لَّوۡلَا يَأۡتُونَ عَلَيۡهِم بِسُلۡطَٰنِۭ بَيِّنٖۖ فَمَنۡ أَظۡلَمُ مِمَّنِ ٱفۡتَرَىٰ عَلَى ٱللَّهِ كَذِبٗا

"Kaum kita itu, menyembah beberapa tuhan yang lain dari Allah; sepatutnya mereka mengemukakan keterangan yang nyata yang membuktikan ketuhanan makhluk-makhluk yang mereka sembah itu? (Tetapi mereka tidak dapat berbuat demikian); Maka tidak ada yang lebih zalim dari orang-orang yang berdusta terhadap Allah."

Penekanan utama ayat:

●     Bukti=Dalil

Islam agama yang berpaksikan dalil atau bukti. Segala apa yang didakwa perlu disokong dengan hujah yang tuntas sama ada naqli (nas) ataupun aqli (akal). Setiap hukum sama ada wajib, sunat, makruh atau haram semuanya mempunyai dalil yang menyokong. Jika tidak, ia tertolak daripada agama.

●     Dusta terhadap Allah

Isu ketuhanan adalah perkara ghaib yang tidak boleh dikesan melalui pancaindera. Ia hanya boleh dibahas melalui wacana akal yang terbatas, dan disokong oleh khabar-khabar yang sahih. Jika perkara ini tidak dapat dibentangkan, maka ia boleh dikira sebagai satu pembohongan.

Ibrah akhir zaman:

Islam adalah agama ilmu. Pendekatan Islam dalam dakwah tidak boleh dipisahkan daripada wacana ilmiah dan akademik. Metodologi kajian tentang agama ini perlu mengikut susur galur ilmu yang betul. Ilmu dan Islam tidak boleh dipisahkan.

Mengikut metod ilmiah, sesuatu dakwaan mestilah didatangkan dengan bukti. Inilah yang diajar melalui ayat di atas. Apabila Trajan Decius, Kaisar Rom yang dikatakan pemerintah semasa zaman Ashabul Kahfi memerintahkan rakyat supaya menganut agama selain Allah, mereka perlu kemukakan bukti dan hujah bagi membenarkan anutan tersebut. Jika tidak, ia boleh dikira sebagai satu pembohongan.

Perbincangan interfaith secara sihat dan ilmiah ini sepatutnya berlaku. Selain daripada memberi kebebasan kepada manusia untuk memilih anutan, perlu juga disediakan platform wacana ilmiah antara agama supaya manusia boleh membandingkan mana yang terbaik dan paling benar untuk dianuti.

Konsep keterbukaan ini diperjuangkan oleh Islam sebelum tertegaknya tamadun moden Barat hari ini. Agama tidak sepatutnya menjadi perbincangan ekslusif pendita-pendita atau agamawan sahaja. Seluruh manusia berhak mengambil tahu akan agama secara terbuka supaya mereka boleh menilai.

Al-Quran sarat dengan contoh-contoh dialog (جدال) mengenai agama. Nabi Ibrahim dengan Namrud, Nabi Musa dengan Firaun dan Nabi Muhammad S.A.W dengan berbagai golongan. Ia menjadi bukti jelas betapa Islam mengiktiraf pendekatan sebegini. Firman Allah S.W.T:

ٱدۡعُ إِلَىٰ سَبِيلِ رَبِّكَ بِٱلۡحِكۡمَةِ وَٱلۡمَوۡعِظَةِ ٱلۡحَسَنَةِۖ وَجَٰدِلۡهُم بِٱلَّتِي هِيَ أَحۡسَنُۚ إِنَّ رَبَّكَ هُوَ أَعۡلَمُ بِمَن ضَلَّ عَن سَبِيلِهِۦ وَهُوَ أَعۡلَمُ بِٱلۡمُهۡتَدِينَ

(Abdullah Muhammad Basmeih)

"Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalanNya, dan Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk."

(an-Nahl: 125)

Apa yang berlaku di akhir zaman, pendekatan ilmiah sebegini sedaya upaya disekat daripada berlaku. Mereka yang mengangkat terma kebebasan hak asasi manusia sendiri menyekat sebarang usaha perbincangan terbuka ini dengan berbagai alasan.

Semua kenal akan pendakwah dari sub continent bernama Dr Zakir Naik yang hebat berhujah secara ilmiah. Namun orang sepertinya disekat habis-habisan atas dakwaan membawa perpecahan, menghina agama lain dan sebagainya.

Begitu juga program-program anjuran universiti dan pusat pengajian. Walaupun tidak bersifat politik, tetapi banyak usaha menyekat individu atau tajuk tertentu dibahaskan. Pihak yang menjulang semangat kebebasan akademik, kini menjadi regim yang sanggup mengenakan tindakan terhadap ahli akademik yang dianggap merugikan penguasa.

Ini semua adalah barah post truth yang menular dalam masyarakat moden. Mengaku sebagai masyarakat yang bertamadun, tetapi tidak mahu perbincangan ilmu berlaku.

(ALANG IBN SHUKRIMUN) - HARAKAHDAILY 17/5/2019