23
Thu, May
35 Artikel Baru

Guru suluhan ilmu, sinari masa depan ummah

Nasional
Typography
PEMUDA PAS Selangor mengucapkan Selamat Hari Guru sempena tarikh 16 Mei kepada semua individu yang bergelar guru, cikgu, pendidik, asatizah serta murabbi. Sesungguh apa juga istilahnya, kesemua individu ini adalah golongan yang mulia atas pengorbanan masa dan tenaga dalam menyampaikan ilmu yang bermanfaat kepada ummah dan manusia sejagat. 
 
Tanggungjawab dalam menyampaikan ilmu dan mengajar merupakan satu kemuliaan kerana ia melakukan tugas yang dipikul oleh para Rasul. Firman Allah S.W.T :
 
هُوَ ٱلَّذِی بَعَثَ فِی ٱلۡأُمِّیِّـۧنَ رَسُولࣰا مِّنۡهُمۡ یَتۡلُوا۟ عَلَیۡهِمۡ ءَایَـٰتِهِۦ وَیُزَكِّیهِمۡ وَیُعَلِّمُهُمُ ٱلۡكِتَـٰبَ وَٱلۡحِكۡمَةَ وَإِن كَانُوا۟ مِن قَبۡلُ لَفِی ضَلَـٰلࣲ مُّبِینࣲ
 "Dia lah yang telah mengutuskan dalam kalangan orang-orang (Arab) yang Ummiyyin, seorang Rasul (Nabi Muhammad SAW) dari bangsa mereka sendiri, yang membacakan kepada mereka ayat-ayat Allah (yang membuktikan keesaan Allah dan kekuasaanNya), dan membersihkan mereka (dari iktiqad yang sesat), serta mengajarkan mereka Kitab Allah (Al-Quran) dan Hikmah (pengetahuan yang mendalam mengenai hukum-hukum syarak). Dan sesungguhnya mereka sebelum (kedatangan Nabi Muhammad) itu adalah dalam kesesatan yang nyata."
[Al-Jumu'ah: 2]
 
Jasa para guru sangat besar dalam membentuk generasi rabbani dengan suluhan ilmu. Ilmu menjadi alat mengenal Allah sekali gus mengubah hidup masyarakat yang jahil kepada masyarakat yang mengenal hakikat kebenaran yang dibawa oleh Islam. 
 
Para guru juga diibaratkan sebagai sebatang lilin kerana sanggup membakar diri demi menyinari kegelapan. Pengorbanan para guru untuk anak bangsa, ummah dan negara adalah pengorbanan yang tiada tolok bandingannya yang mesti diingati dan dihormati oleh segenap lapisan masyarakat tanpa dihadkan kepada anak murid semata-mata. 
 
Para guru merupakan contoh teladan kepada anak didik. Generasi yang cemerlang akan lahir dari karakter seorang guru yang mempunyai nilai keikhlasan dan keperibadian yang unggul. Sehubungan itu, kejayaan sesuatu sistem pendidikan tidak hanya pada proses pengajaran yang disampaikan tetapi juga dilihat pada faktor teladan baik dan kepimpinan seseorang guru tersebut. 
 
مَن طلبَ الجُهدَ الثقِيلَ وَالعَمَل القاسِيَ مِن أتبَاعِهِ فليكن مِثالا للعَمل أولا
 
"Barangsiapa yang menginginkan jerih payah dan kerja yang serius dari para pengikutnya, maka ia harus menjadi contoh terlebih dahulu dalam pekerjaan itu".
 
Ucapan Selamat Hari Guru juga didedikasikan secara khusus kepada para guru PASTI dan SRITI yang merupakan entiti khas di bawah Pemuda PAS Selangor. Kedua-dua entiti ini amat penting dalam menjayakan agenda membangunkan masyarakat yang memahami Islam yang syumul bermula sejak dari kecil lagi. 
 
Pemuda PAS Selangor berharap para ibu bapa dan seluruh lapisan masyarakat agar dapat memainkan peranan dalam membantu para guru menjalankan proses pembelajaran dan pendidikan buat anak bangsa dan ummah. 
 
"Bangkit; Pemuda Perintis Kebangkitan Ummah"
 
USTAZ HANAFI ZULKAPLI
Ketua Pemuda
Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor
Tarikh : 11 Ramadhan 1440 / 16 Mei 2019 - HARAKAHDAILY 15/5/2019