22
Sun, Sep
28 Artikel Baru

Al-Kahfi: Imuniti fitnah Dajjal akhir zaman (10)

Nasional
Typography

وَرَبَطۡنَا عَلَىٰ قُلُوبِهِمۡ إِذۡ قَامُواْ فَقَالُواْ رَبُّنَا رَبُّ ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَٱلۡأَرۡضِ لَن نَّدۡعُوَاْ مِن دُونِهِۦٓ إِلَٰهٗاۖ لَّقَدۡ قُلۡنَآ إِذٗا شَطَطًا

"Dan Kami kuatkan hati, semasa mereka bangun lalu berkata: "Tuhan kami ialah Tuhan yang mencipta dan mentadbirkan langit dan bumi; kami tidak sekali-kali akan menyembah Tuhan yang lain dari padanya; jika kami menyembah yang lainnya bermakna kami memperkatakan dan mengakui sesuatu yang jauh dari kebenaran."


Penekanan utama ayat:

●     Ribat

Ribat (رباط) dengan maksud ikat. Tuhan menggunakan terma ikatan bagi menggambarkan keteguhan hati yang dikurnia oleh Allah kepada Ashabul Kahfi. Keteguhan hati adalah perkara wajib bagi menghadapi musuh agama agar tidak mudah terhasut atau takut dengan dakyah musuh.

●     Berani mengaku Islam

Perkataan (قاموا) yang bermaksud berdiri menggambarkan keberanian. Ashabul Kahfi berani menyatakan kebenaran di hadapan pemerintahan yang syirik. Itulah jihad paling afdal sebagaimana yang dinyatakan oleh Nabi S.A.W.

●     Tolak tuhan lain

Tidak cukup dengan menyatakan Allah satu-satunya tuhan, Ashabul Kahfi turut berani menafikan agama selain Islam. Itulah konsep ajaran Islam yang sebenar. Dakwah Islam adalah kombinasi antara amar makruf dan nahi mungkar.

Ibrah akhir zaman:

Di akhir zaman, racun Sekularisme menjalar ke seluruh organ umat Islam. Sehingga penganut Islam sendiri merasa janggal dan tidak berbangga menjadi seorang Islam. Sanggup meninggalkan syiar-syiar Islam seperti solat, bertudung, menyimpan janggut dan sebagainya kerana malu dikenali sebagai seorang Islam.

Namun ajaran yang ditunjukkan melalui perilaku Ashabul Kahfi adalah berani menyatakan pegangan akidah mereka. Bukan itu sahaja, malah berani menolak tuhan dan anutan yang sedang disembah masyarakat ketika itu dengan kritikan yang agak keras, sehingga menyatakan sembahan selain Allah adalah satu pembohongan.

Sekularisme yang menjadi akar kepada Liberalisme membuahkan satu lagi penyakit akidah yang digelar Pluralisme agama. Pandangan agar semua agama diiktiraf adalah pencabulan terhadap ketuanan Islam. Sedang al-Quran secara jelas menyatakan, hanya Islam agama yang diiktiraf di sisi Allah:

إِنَّ ٱلدِّينَ عِندَ ٱللَّهِ ٱلۡإِسۡلَٰمُۗ

"Sesungguhnya ugama (yang benar dan diredai) di sisi Allah ialah Islam."

[Aal-E-Imran: 19]

Simptom-simptom Pluralisme agama dapat dikesan sekiranya muncul dakwaan mengatakan kita tidak boleh katakan Islam sahaja agama yang betul, maqasid menjaga agama bermaksud menjaga semua agama, meraikan upacara keagamaan kaum lain dan seumpamanya. Tidak dinafikan, ini juga kerana barah demokrasi. Demi mendapatkan sokongan orang kafir, sanggup bersikap apologetik terhadap agama sendiri.

Ramai pendakwah hari ini mengambil jalan ringan mengajak kepada Islam dengan hanya menggunakan pendekatan amar makruf, tetapi dalam waktu sama mengabaikan nahi mungkar. Ini kerana tugas nahi mungkar lebih mencabar, mengundang kebencian dan permusuhan. Bagi menyokong pendekatan mereka, nas-nas agama seperti rahmatan lil alamin diseleweng sehingga menyamakan konsep love dan peace ajaran Kristian dengan rahmat Islam.

Jika dikaji lafaz syahadah yang menjadi syarat seseorang memeluk Islam, sebelum mengaku Allah sebagai tuhan, perlu menafikan dahulu tuhan selain Allah. Lafaz syahadah sudah terkandung maksud perjuangan Islam menentang syirik, namun tanpa sedar ramai agamawan sendiri tersekular.

Di mana kita mahu letakkan perintah tuhan berikut?:

يَٰٓأَيُّهَا ٱلنَّبِيُّ جَٰهِدِ ٱلۡكُفَّارَ وَٱلۡمُنَٰفِقِينَ وَٱغۡلُظۡ عَلَيۡهِمۡۚ وَمَأۡوَىٰهُمۡ جَهَنَّمُۖ وَبِئۡسَ ٱلۡمَصِيرُ

"Wahai Nabi, berjihadlah menentang orang-orang kafir dan orang-orang munafik, dan bertindak keras terhadap mereka. Dan (sebenarnya) tempat mereka ialah neraka Jahannam, dan itulah seburuk-buruk tempat kembali."

[At-Tawbah:73]

Mungkin inilah sebab tuhan jadikan umat akhir zaman ini hina dan derita. Sabda Rasulullah S.A.W:

ما ترك قوم الجهاد , إلا عمهم الله بالعذاب

"Apabila sesuatu kaum meninggalkan jihad, maka Allah akan menimpakan mereka dengan azab."

[HR Thabrani]

10 Ramadhan 1440
15 Mei 2019

(ALANG IBN SHUKRIMUN) - HARAKAHDAILY 15/5/2019