19
Fri, Jul
47 Artikel Baru

Tiada cara lagi mengongkong media

Kolumnis
Typography

SEMUA menyangka pentadbiran baru Tun Dr Mahathir Mohamad agak lunak dan liberal terhadap media dan semakin tua Perdana Menteri (PM) itu percaya tiada mana-mana orang besar bebas dari kritikan.

Jika peribadinya sejak dulu tidak teragak-agak memberi komen dan kritik kepada sesiapa termasuk apa yang terjadi antaranya dengan Tunku Abdul Rahman Putra dalam kejadian surat peribadi antara kedua-duanya lepas 13 Mei 1969 dulu, maka dia juga terpaksa kebal dan tahan apa yang kata padanya.

Pandangan peribadi saya, antara lima PM dan Presiden Umno sebelum dan selepasnya dia yang paling tidak hirau atau sensitif atas akan kesan kebebasan akhbar yang agak terhad di Malaysia.

Sekalipun di zaman kongkongan itu ada, tetapi ia lebih dari penyokongnya, penyokong partinya dari dia sendiri. Lazimnya parti-parti pembangkang tidak diberi permit penerbitan dalam apa bentuk jua.

Pembangkang terpaksa edarkan siaran haram. Pantang kerajaan memberi izin siaran kepada pembangkang.

Tetapi Mahathir beri permit kepada PAS menerbit Harakah sekalipun untuk dalaman, tidak boleh diedar dalam pasaran terbuka. Sekalipun tidak bebas penuh, tapi dia benarkan. Sebelumnya tidak mungkin.

Dia tahu Harakah diedar secara tidak sah kepada umum. Bila ada amaran kementerian orang PAS edar/jual juga pada bukan ahli. Mamak pengedar sorokkan Harakah dan jual kepada orang bertanya "adakah Harakah". Bila mata-mata tidak intip, mamak pamer Harakah secara terbuka.

Minta permit terbuka tidak diluluskannya, tetapi dia tidak serius sekat siaran terhad permitnya dari diedarkan kepada semua.

Mula-mula diizin sekali seminggu. Kerana banyak permintaan, PAS minta dua kali seminggu. Dibenarkannya.

Apa yang kita tidak kata terhadapnya. Kementerian Dalam Negeri (KDN) acap memberi amaran. Harakah tidak hiraukan. Pernah Timbalan Menteri KDN, Megat Junid sebut pada saya, komen terhadap Mahathir keterlaluan. Diingatkannya, dia tidak mahu bertindak, tetapi kalau PM komplen dia tidak dapat buat apa-apa.

Saya tanya dia, adakah PM kata apa-apa? Jawabnya tidak pernah. Ertinya jika ada masalah KDN, bukan darinya tetapi pegawai dan orang yang lebih sudu dari senduk.

Bila PM itu berundur, KDN diletak terus di bawah PM Abdullah Badawi yang semua orang jauh lebih lembut dari Mahathir tetapi digantung permit Harakah dari dua kali seminggu kepada dua kali sebulan. Tentu Mahathir lebih terbuka dari penggantinya. Bila Najib ambil alih diberinya Harakah dua kali seminggu.

Ertinya Mahathir tebih terbuka dari semua PM.

Bagaimanapun ada baiknya ada cacatnya juga. Tunku menulis setiap keluaran Sunday Star. Dia kritik sakan Tun Razak, Hussein Onn dan apa lagi Mahathir. Tunku lebih nekad dari penulis yang kritikal. Hilang sabar Mahathir. Digantungnya harian The Star. Jika tidak silap tiga ia tidak terbit.

The Star diterbitkan semula. Tunku tidak dibenarkan menulis dan tidak lagi jadi pengerusi harian milik MCA itu.

Ia satu cacatnya teruk terhadap media. Mungkin itu bukan dasarnya, mungkin jsu peribadi antara keduanya. Dibandingkan dengan yang lain dia terelok. Tapi keseluruhan dasar BN terhadap media memang tidak mesra.

Bila dia memerintah kerajaan Pakatan Harapan (PH) sekarang, kerajaannya dirasakan lebih mesra media. Mengapa? Media bukan lagi di gedung percetakan yang memerlukan permit tahunan tetapi ia sudah di hujung jari semua orang. Semuanya jadi penyiar dan penerbit. Tidak mungkin kerajaan mengadakan penjara untuk hujung jari rakyatnya.

Memotong jari tidak termasuk dalam kesalahan hudud. - HARAKAHDAILY 15/5/2019