26
Wed, Jun
17 Artikel Baru

Al-Kahfi: Imuniti fitnah Dajjal akhir zaman (8)

Nasional
Typography

فَضَرَبۡنَا عَلَىٰٓ ءَاذَانِهِمۡ فِي ٱلۡكَهۡفِ سِنِينَ عَدَدٗا

"Lalu Kami tidurkan mereka dengan nyenyaknya dalam gua itu, bertahun-tahun, yang banyak bilangannya."

ثُمَّ بَعَثۡنَٰهُمۡ لِنَعۡلَمَ أَيُّ ٱلۡحِزۡبَيۡنِ أَحۡصَىٰ لِمَا لَبِثُوٓاْ أَمَدٗا

"Kemudian Kami bangkitkan mereka (dari tidurnya), untuk Kami menguji siapakah dari dua golongan di antara mereka yang lebih tepat kiraannya, tentang lamanya mereka hidup (dalam gua itu)."


Penekanan utama ayat:

●     Tutup telinga

Ashabul Kahfi telah ditidurkan selama 309 tahun. Secara logiknya, sangat sukar seseorang untuk tidur sebegitu lama tanpa sebarang gangguan. Antara gangguan di dalam tidur adalah bunyi yang bising. Justeru menutup telinga merupakan salah satu kaedah tuhan mengekalkan mereka dalam keadaan tidur tanpa gangguan.

●     Dibangkitkan semula

Tujuan dibangkitkan adalah bagi menyedarkan semua orang akan keajaiban kuasa tuhan. Jika mereka tidur selama-lamanya, pasti penduduk tempat asal mereka menganggap mereka sudah mati dan diri Ashabul Kahfi sendiri tidak merasa ditidurkan. Dua golongan yang disebutkan itu merujuk kepada penduduk yang mengetahui hikayat pemuda yang melarikan diri 3 kurun dahulu sebagai satu golongan, dan pemuda Ashabul Kahfi sendiri sebagai satu lagi golongan.

●     Abstrak Ashabul Kahfi

Dua ayat ini adalah pelengkap kepada dua ayat terdahulu, yang menjadi ringkasan kepada cerita Ashabul Kahfi. Penditilan kisah tersebut akan bermula dari ayat 12 hingga 26. Kaedah meringkaskan ini digunakan dalam bidang akademik dalam penulisan tesis atau jurnal yang disebutkan sebagai abstrak.

Ibrah akhir zaman:

Antara cara Allah selamatkan manusia daripada kerosakan dunia adalah dengan tidak mendedahkan mereka kepada kerosakan tersebut. Menutup telinga adalah simbolik kepada pemeliharaan diri daripada kerosakan yang sedang berlaku.

Perkara yang disebutkan ini sinonim dengan zaman fitnah Dajjal yang kita hadapi sekarang. Era langit terbuka yang menyajikan berbagai maklumat tanpa sempadan dan batas-batas benar atau salah benar-benar membuatkan manusia terancam dari sudut pemikiran. Perkara ini telah digambarkan oleh Nabi S.A.W beribu tahun dahulu. Pada suatu hari Rasulullah S.A.W bermimpi melihat beberapa keadaan golongan yang diseksa di dalam neraka. Baginda S.A.W bertanya kepada malaikat yang mengiringinya di dalam mimpi itu, lalu malaikat tersebut menjawab:

 الرَّجُلُ الَّذِي أتَيْتَ عَلَيْهِ يُشَرْشَرُ شِدْقُهُ إِلَى قَفَاهُ ، ومِنْخَرُهُ إِلَى قَفَاهُ ، وَعَيْنُهُ إِلَى قَفَاهُ ، فإنَّهُ الرَّجُلُ يَغْدُو مِنْ بَيْتِهِ فَيَكْذِبُ الكِذْبَةَ تَبْلُغُ الآفاقَ .

"Adapun orang yang diseksa dengan penyangkut besi yang menembusi pipi sehingga ke belakang lehernya dan disengkut lubang hidung sehingga menembusi belakang lehernya dan disengkut mata sehingga menembusi batang lehernya ialah kerana kerjanya sejak pagi menyebarkan pembohongan ke sehingga seluruh ufuk penjuru dunia”

[HR Bukhari]

Mungkin tidak dapar dibayangkan ketika Nabi bersabda itu, bagaimana mungkin pembohongan boleh tersebar ke seluruh ufuk dunia. Namun dengan teknologi maklumat yang ada hari ini, semua itu bukan lagi mustahil. Bahkan terdapat hadis yang menggambarkan keadaan serupa di mana maklumat sampai hingga ke padang pasir. Diriwayatkan daripada Huzaifah al-Yaman:

لَيُوشِكَنَّ أَنْ يُصَبَّ عَلَيْكُمُ الشَّرُّ مِنَ السَّمَاءِ حَتَّى يَبْلُغَ الْفَيَافِيَ " , قَالَ : قِيلَ : وَمَا الْفَيَافِي يَا أَبَا عَبْدِ اللَّهِ ؟ قَالَ : " الْأَرْضُ الْقَفْرُ " .

"Semakin dekat kejahatan menimpa kamu daripada langit, sehingga sampai ke padang pasir."

[HR Ibn Abi Syaibah]

Ramai alim eskatologi berpandangan apa yang digambarkan oleh hadis ini merupakan konsep penyebaran maklumat menggunakan pancaran satelit di angkasa lepas. Namun yang dibimbangi, teknologi ini menyebarkan banyak kejahatan di samping kebaikan yang tidak dinafikan.

Terapi yang paling baik dalam menghadapi perkara ini adalah meminimakan penglibatan kita di alam maya. Jangan terlalu obses dengan teknologi maklumat yang ada hari ini sehingga meletakkan kebergantungan yang besar dengan teknologi.

Malangnya hari ini manusia sudah tidak boleh dipisahkan daripada teknologi ini. Jangan sehari, kalau tidak dapat akses internet beberapa jam sahaja rasa sudah tidak boleh hidup. Tidak dinafikan manfaatnya besar, cuma apabila kita berada di ruang siber tanpa kawalan, kita terancam untuk dirosakkan dengan dakyah-dakyah yang tidak terhitung lagi banyaknya.

(ALANG IBN SHUKRIMUN) - HARAKAHDAILY 14/5/2019