20
Tue, Aug
21 Artikel Baru

Al-Kahfi: Imuniti fitnah Dajjal akhir zaman (7)

Nasional
Typography

أَمۡ حَسِبۡتَ أَنَّ أَصۡحَٰبَ ٱلۡكَهۡفِ وَٱلرَّقِيمِ كَانُواْ مِنۡ ءَايَٰتِنَا عَجَبًا

"Adakah engkau menyangka (wahai Muhammad), bahawa kisah "Ashaabul Kahfi" dan "Ar-Raqiim" itu sahaja yang menakjubkan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan Kami?"

إِذۡ أَوَى ٱلۡفِتۡيَةُ إِلَى ٱلۡكَهۡفِ فَقَالُواْ رَبَّنَآ ءَاتِنَا مِن لَّدُنكَ رَحۡمَةٗ وَهَيِّئۡ لَنَا مِنۡ أَمۡرِنَا رَشَدٗا
"(Peristiwa) ketika serombongan orang-orang muda pergi ke gua, lalu mereka berdoa: "Wahai Tuhan kami! Kurniakanlah kami rahmat dari sisiMu, dan berilah kemudahan-kemudahan kepada kami agar beroleh kematangan dalam urusan kami"."


Penekanan utama ayat:

●     Keajaiban tanda kekuasaan tuhan

Ayat ke 9 secara umumnya bermaksud wahai Muhammad, jangan kamu sangka kisah Ashabul Kahfi yang ditidurkan selama lebih 3 kurun itu satu-satunya keajaiban tuhan. Sebenarnya banyak lagi keajaiban tuhan di alam ini yang boleh kita perhatikan seperti kejadian langit, bumi, tumbuhan, haiwan dan sebagainya. Sekecil dan sehina nyamuk pada pandangan manusia pun, tidak ada seorang yang boleh menciptakan sesuatu seperti itu.

●     Pemuda ke gua

Antara sunnatullah perjuangan yang ditunjukkan oleh para Nabi dan umat terdahulu adalah melarikan diri daripada masyarakat yang rosak atas alasan menjaga agama daripada terpesong. Ashabul Kahfi adalah contoh pemuda yang lari ke gunung dan bersembunyi di gua, kerana berhadapan dengan raja yang memerintahkan rakyatnya mengikut agama syirik.

Di dalam Islam, melarikan diri daripada masyarakat diwajibkan sekiranya terdapat ancaman pada agama masing-masing. Tetapi jika masih mampu mempertahankannya, kita wajib bersama masyarakat dan terlibat dalam kerja amar maaruf nahi mungkar.

●      Doa

Doa adalah senjata orang beriman dan bukti penyerahan diri seorang hamba kepada tuhannya. Doa bererti meminta. Sebagai orang beriman, tempat meminta kita hanyalah Allah S.W.T. Jangan terlalu mengharap kepada manusia dan diri sendiri, kerana tidak ada daya dan upaya melainkan Allah S.W.T sahaja.

Matlamat ibadah doa yang dilakukan oleh hamba adalah mengharapkan kebaikan daripada tuhan. Walau bagaimanapun, tuhan lebih mengetahui kebaikan untuk hambaNya. Mungkin hamba berdoa diberikan sesuatu, tetapi boleh jadi sesuatu itu tidak baik baginya, lalu tuhan mustajabkan doanya dengan memberikan kebaikan dalam bentuk lain mengikut pandangan Ilahi yang tepat.

Ibrah akhir zaman:

Ayat ini merupakan penutup 10 ayat pertama yang Rasulullah pesan agar membacanya bagi menyelamatkan diri daripada fitnah Dajjal. Sebagaimana yang dinyatakan sebelum ini, fitnah Dajjal yang paling dahsyat adalah berbentuk kekeliruan pemikiran sehingga merosakkan akidah. Sebelum kemunculam Dajjal lagi, fitnahnya sudah mula tersebar.

Ibnu Umar menceritakan ketika beliau dan para Sahabat duduk bersama Rasulullah lalu Baginda menyebutkan berbagai perkara sehingga sampai ke bab fitnah al-Ahlas. Seorang daripada mereka bertanya apakah fitnah al-Ahlas? Sabda Rasulullah S.A.W: 

هِيَ هَرَبٌ وَحَرْبٌ ثُمَّ فِتْنَةُ السَّرَّاءِ دَخَنُهَا مِنْ تَحْتِ قَدَمَيْ رَجُلٍ مِنْ أَهْلِ بَيْتِي يَزْعُمُ أَنَّهُ مِنِّي وَلَيْسَ مِنِّي وَإِنَّمَا أَوْلِيَائِي الْمُتَّقُونَ ثُمَّ يَصْطَلِحُ النَّاسُ عَلَى رَجُلٍ كَوَرِكٍ عَلَى ضِلَعٍ ثُمَّ فِتْنَةُ الدُّهَيْمَاءِ لَا تَدَعُ أَحَدًا مِنْ هَذِهِ الْأُمَّةِ إِلَّا لَطَمَتْهُ لَطْمَةً فَإِذَا قِيلَ انْقَضَتْ تَمَادَتْ يُصْبِحُ الرَّجُلُ فِيهَا مُؤْمِنًا وَيُمْسِي كَافِرًا حَتَّى يَصِيرَ النَّاسُ إِلَى فُسْطَاطَيْنِ فُسْطَاطِ إِيمَانٍ لَا نِفَاقَ فِيهِ وَفُسْطَاطِ نِفَاقٍ لَا إِيمَانَ فِيهِ فَإِذَا كَانَ ذَاكُمْ فَانْتَظِرُوا الدَّجَّالَ مِنْ يَوْمِهِ أَوْ مِنْ غَدِهِ. 

"Ia adalah huru-hara dan peperangan. Kemudian selepas itu berlaku fitnah As-Sarra', asapnya berada di bawah kaki lelaki yang mendakwa dari kalangan ahli keluargaku, namun sebenarnya dia bukan. Sesungguhnya keluargaku adalah kekasih Allah yang bertaqwa. Kemudian manusia bersepakat pada seseorang seperti bertemunya pinggul di tulang rusuk (yang tidak lurus pekertinya). Kemudian Fitnah Duhaima’ yang tidak ada seorangpun dapat terlepas darinya. Jika dikatakan: "Ia telah selesai", maka sebenarnya ia makin berlanjutan sehingga seseorang pada pagi hari beriman, tetapi pada petang hari men­jadi kafir. Sampailah ke suatu masa manusia terbahagi menjadi dua khemah, kemah keimanan yang tidak mengandung sedikitpun kemunafikan dan khemah kemunafikan yang tidak mengandung sedikitpun keimanan. Jika itu sudah terjadi, maka tunggulah kedatangan Dajjal pada hari itu atau keesokannya."

[HR Abu Daud]

Oleh kerana itulah 10 ayat perisai Dajjal ini diakhiri dengan doa yang memohon tuhan memberikan kematangan dalam setiap urusan manusia. Hanya dengan kematangan (الرشد) manusia boleh mempertimbang antara baik dan buruk, benar dan batil. Kematangan mengandungi maksud kebijaksanaan (الحكمة) dan terus di atas jalan kebenaran (الاستقامة). Lawan kepada kematangan adalah penyelewengan (الغي) dan kesesatan (الضلال).

Di akhir zaman, pertimbangan manusia akan rosak. Yang benar akan dianggap bohong, yang betul dianggap salah. Justeru kematangan berfikir adalah satu keperluan. Sabda Rasulullah S.A.W:

سَيَأْتِي عَلَى النَّاسِ سَنَوَاتٌ خَدَّاعَاتٌ يُصَدَّقُ فِيهَا الْكَاذِبُ , وَيُكَذَّبُ فِيهَا الصَّادِقُ , وَيُؤْتَمَنُ فِيهَا الْخَائِنُ ، وَيُخَوَّنُ فِيهَا الْأَمِينُ ، وَيَنْطِقُ فِيهَا الرُّوَيْبِضَةُ ، قِيلَ : يَا رَسُولَ اللَّهِ ، وَمَا الرُّوَيْبِضَةُ ؟ قَالَ : الرَّجُلُ التَّافِهُ يَنْطِقُ فِي أَمْرِ الْعَامَّةِ

"Akan datang kepada manusia, tahun-tahun yang banyak pembohongan. Padanya dibenarkan pembohong dan orang yang benar dituduh berbohonh. Pengkhianat diberikan kepercayaan dan orang yang jujur dikhianati. Dan ketika itu golongan ruwaibidhah gemar bercakap". Sahabat bertanya "Apakah itu Ruwaibidhah?". Jawab Nabi "Orang yang lekeh tetapi bebas berbicara perkara besar""

 [HR Ibn Majah]

Ayat ini juga menerangkan soal penggantungan kita dengan Allah di akhir zaman yang penuh pancaroba ini. Doa adalah senjata mukmin yang sangat penting untuk diamalkan kerana sebagai manusia biasa yang serba lemah, sangat sukar berhadapan dengan fitnah Dajjal yang dibimbangi oleh seluruh nabi-nabi tanpa pertolonganNya. Manusia tika itu memerlukan keajaiban dari tuhan supaya mampu mengatasi hukum alam yang sudah dimanipulasi oleh Dajjal.

Keajaiban akan berlaku di saat Dajjal muncul. Masa akan berubah kepada sehari umpama setahun. Sabda Rasulullah SAW ketika menjawab soalan sahabat akan tempoh kekuasaan Dajjal: 

. أربعون يومًا : يومٌ كسنةٍ ويومٌ كشهرٍ ، ويومٌ كجمعةٍ ، وسائرُ أيَّامِه كأيَّامِكم فقلنا : يا رسولَ اللهِ : هذا اليومُ الَّذي كسَنةٍ أتكفينا فيه صلاةُ يومٍ وليلةٍ ؟ قال : لا ، اقدُروا له قدرَه ،

"0 hari. Sehari umpama setahun, sehari umpama sebulan, sehari umpama seminggu dan baki lagi umpama hari-hari biasa. Sahabat bertanya apakah cukup untuk kami solat sehari semalam pada hari umpama setahun itu? Jawab baginda: Tidak, bahkan sukatlah dengan kadar hari biasa."

[HR Abu Daud]


Manusia boleh bertahan tanpa makan dan minum. Sabda Rasulullah S.A.W:

إِنَّ قَبْلَ خُرُوجِ الدَّجَّالِ ثَلاَثَ سَنَوَاتٍ شِدَادٍ يُصِيبُ النَّاسَ فِيهَا جُوعٌ شَدِيدٌ يَأْمُرُ اللَّهُ السَّمَاءَ فِي السَّنَةِ الأُولَى أَنْ تَحْبِسَ ثُلُثَ مَطَرِهَا وَيَأْمُرُ الأَرْضَ فَتَحْبِسُ ثُلُثَ نَبَاتِهَا ثُمَّ يَأْمُرُ السَّمَاءَ فِي السَّنَةِ الثَّانِيَةِ فَتَحْبِسُ ثُلُثَىْ مَطَرِهَا وَيَأْمُرُ الأَرْضَ فَتَحْبِسُ ثُلُثَىْ نَبَاتِهَا ثُمَّ يَأْمُرُ اللَّهُ السَّمَاءَ فِي السَّنَةِ الثَّالِثَةِ فَتَحْبِسُ مَطَرَهَا كُلَّهُ فَلاَ تَقْطُرُ قَطْرَةٌ وَيَأْمُرُ الأَرْضَ فَتَحْبِسُ نَبَاتَهَا كُلَّهُ فَلاَ تُنْبِتُ خَضْرَاءَ فَلاَ تَبْقَى ذَاتُ ظِلْفٍ إِلاَّ هَلَكَتْ إِلاَّ مَا شَاءَ اللَّهُ‏.‏ قِيلَ فَمَا يُعِيشُ النَّاسَ فِي ذَلِكَ الزَّمَانِ قَالَ ‏التَّهْلِيلُ وَالتَّكْبِيرُ وَالتَّسْبِيحُ وَالتَّحْمِيدُ وَيُجْرَى ذَلِكَ عَلَيْهِمْ مَجْرَى الطَّعَامِ

"Sesungguhnya sebelum keluar Dajjal akan berlaku 3 tahun yang sangat dahsyat. Manusia akan dilanda kelaparan yang teruk. Allah akan memerintahkan langit menghentikan satu per tiga hujan, dan memerintahkan bumi menahan satu per tiga tumbuhan. Pada tahun kedua, Dia akan memerintahkan langit menghentikan dua per tiga hujan, dan memerintahkan bumi menahan dua per tiga tumbuhan. Pada tahun ketiga, tuhan akan memerintahkan langit menghentikan keseluruhan hujan dan bumi menahan keseluruhan tumbuhan. Kesemua tanah akan kering kontang dan tandus. Sahabat bertanya apakah makanan manusia pada waktu itu? Baginda menjawab, tahlil takbir dan tahmid. Perkara tersebut akan dapat menggantikan makanan."

[HR Ibn Majah]


Nabi Isa akan turun dari langit. Sabda Rasulullah S.A.W:

أنَّهُ إذا خرج مسيحُ الضَّلالةِ الأعورُ الكذَّابُ نزل عيسَى ابنُ مريمَ على المنارةِ البيضاءِ شرقيَّ دِمشقَ بين مَهْرودَتَيْن، واضعَا يديهِ على منكبيْ ملَكينِ ، فإذا رآهُ الدَّجَّالُ انماعَ كما ينماعُ المِلحُ في الماءِ ، فيدركهُ فيقتلهُ بالحَربةِ عندَ بابِ لُدٍّ الشَّرقيِّ على بضع عشرةَ خطواتٍ منه

"Ketika keluar al-Masih yang sesat lagi penipu, turum Nabi Isa AS dari atas menara putih di Timur Damsyik mengenakan dua pakaian yang indah, sambil meletakkan tangan pada bahu malaikat. Apabila Dajjal melihatnya hampir binasa seolah garam yang larut di dalam air. Maka Dajjal lari lalu Nabi Isa mengejarnya lalu dibunuh menggunakan tombak di Timur Bab Ludd, beberapa belas langkah daripadanya."

[Ibn Taimiyah dalam Jawab al-Sahih]


Ini semua adalah contoh inayah dan bukti kuasa tuhan. Tinggal lagi hamba sahaja yang tidak putus berdoa untuk memastikan ia termasuk di kalangan orang yang menerima bantuan Ilahi.

(ALANG IBN SHUKRIMUN) - HARAKAHDAILY 14/5/2019